Ya aku tahu hari ini hari Sabtu dan sepatutnya artikel ini diterbitkan pada hari Rabu yang lalu. Tetapi kerana kekangan waktu artikel diterbitkan sedikit lebih lambat. DokuRabu minggu lalu mendapat reaksi yang agak negatif kerana ia menyentuh isu kematian serta apakah moral mendermakan tubuh kepada sains yang kemudiannya dihiris-hiris 27,000 kali untuk hidup kekal abadi. Maka minggu ini aku ingin bercakap pula tentang dokumentari mengenai legenda golf dunia Eldrick Tont Woods.

Tak kenal siapa Eldrick Tont Woods? Ini adalah kerana beliau lebih dikenali sebagai Tiger Woods sejak muncul di dunia sukan pukul bola kecil masuk 18 lubang lebih 30 tahun yang lalu. Tiger ialah insan yang amat sinonim dengan dekad 90an seperti Kurt Cobain, Saddam Hussein, Michael Chang, Puteri Diana, Monica Lewinsky dan Babyrina. Jika anda seorang remaja pada waktu ini, Tiger ialah model remaja terampil yang kehebatannya menjadi kayu ukur yang sukar dicapai.

Dokumentari HBO dua bahagian ini diadaptasi dari biografi Tiger yang ditulis oleh Jeff Benedict dan Armen Keteyian tanpa sebarang kerjasama dari Tiger Woods. Sungguhpun begitu Tiger diterbitkan oleh Alex Gibney yang menerbit dua dokumentari yang cukup kami sukai iaitu Taxi To The Dark Side, Inventor : Out For Blood In Silicone Valley dan Dirty Money. Kesemua dokumentari yang disenaraikan ini berani menyentuh subjek yang sensitif oleh sebab itu expectation aku adalah agak tinggi juga untuk Tiger.

Seperti majoriti dokumentari-dokumentari pasca dunia penstriman, ia hadir dalam dua bahagian. Bahagian pertama menyentuh kehidupan Tiger semasa kecil sehingga beliau menjadi pemain remaja yang membelasah pesaing tanpa kasih belas di padang Golf. Bahagian kedua pula menyentuh zaman kegemilangan beliau sebelum beliau dibelasah pula oleh media di dada akhbar dan kaca TV kerana pelbagai skandal yang memalukan.

Dokumentari cuba menjawab apakah yang berlaku ketika kecil yang membolehkan beliau menjadi antara ahli golf kedua terbaik (di belakang Jack Niklaus) dan adakah ia juga menyebabkan beliau kemudiannya gagal berfungsi sebagai manusia normal di luar padang. Sebagai seorang peminat Tiger Woods, pembikin dokumentari berjaya memberikan beberapa hipotesis yang aku rasakan cukup menarik. Apabila hidup dikongkong sejak berumur 8 bulan untuk memegang kayu golf, Tiger mula memberontak apabila sudah dewasa dan berkeluarga.

Pendedahan yang paling mengejutkan bagi aku ialah ibu beliau, Kutilda Woods adalah lebih bengis dari bapa beliau Earl Woods. Eldrick Tont menjadi Tiger Woods kerana dibesarkan oleh seorang Tiger Mom dari Thailand. Ada beberapa lagi perkara menarik yang didedahkan mengenai Earl Woods dan apa yang berlaku selepas kematian beliau. Aku tak akan sentuh di sini kerana tidak mahu ia menjadi spoilers.

Tiada subjek terlalu sensitif untuk disentuh. Ini membuatkannya lebih menarik ditonton berbanding The Last Dance yang disunting untuk menjaga imej bersih Michael Jordan. Kekurangannya pula ialah ia bergantung kepada sumber pihak ketiga seperti perempuan simpanan beliau Rachel Uchitel. Oleh itu ia lebih sendeng kepada “kebenaran” dari satu pihak sahaja. Jika anda menonton Tiger untuk cerita menumpahkan teh, Tiger adalah cukup menghiburkan. Sebaliknya pula jika anda mahukan dokumentari yang lebih subjektif.

Dalam patheon dokumentari ahli sukan, Tiger boleh aku sarankan kepada semua termasuk mereka yang tidak meminati sukan golf. Ia membuka mata, mengejutkan, menyedihkan dan menyedarkan betapa bahayanya apabila ibu bapa meletakkan terlalu banyak tekanan pada bahu anak sejak kecil untuk memenuhi impian masa muda mereka yang tidak tercapai. Ia juga membuktikan bahawa jika anda ingin anak berjalan lurus, janganlah menjadi ketam yang mengajar.

Tiger boleh ditonton menerusi HBO GO

Sohor Kini