DokuRabu Schumacher: Dokumentari Lemah Untuk Si Legenda

Pada bulan ini kita menyambut ulang tahun ke-30 Michael Schumacher memulakan kerjaya sebagai pemandu Formula 1. Dalam senarai juara segala juara, Schumacher masih di tangga teratas dengan rekod mungkin akan dipintas oleh Lewis Hamilton sekiranya beliau memenangi kejuaraan ke-lapan beliau tahun ini. Jadi sebelum rekod ini berjaya dipintas, dokumentari Schumacher telah diterbitkan menerusi Netflix minggu lalu.

Harus aku katakan aku bukanlah peminat The Rainmaster semasa kemuncak kepopularan beliau awal milenium ini. Aku lebih meminati Ayrton Senna dan kemudiannya Mika Hakkinen kerana kedua-duanya adalah legenda yang memadu untuk pasukan McLaren. Perasaan aku kepada Schumacher adalah neutral kerana aku memang tak minat Ferrari dan beliau adalah pesaing kepada Senna dan Hakkinen sebelum kedua-duanya bersara.

Kerana aku neutral dan tidak begitu mengenali beliau, dokumentari ini memang menarik minat aku. Dengan sokongan dari ahli keluarga beliau sendiri, expectation aku adalah agak tinggi. Apakah maklumat baharu yang boleh kita tahu pasca menonton sama seperti dokumentari The Last Dance dan Tiger Woods yang aku tonton tahun ini berjaya mendedahkan siapakah sebenarnya Michael Jordan dan Tiger Woods di sebalik imej yang diperlihatkan kepada umum.

Oleh sebab harapan aku yang agak tinggi, dokumentari ini aku rasakan adalah agak lemah dan tidak serasi do justice kepada Schumacher yang merupakan GOAT dalam sukan Formula 1.

Aku mulakan dahulu dengan apa yang aku suka ialah mendedahkan siapakah Schumacher sebagai seorang suami dan bapa kepada dua orang anak. Di zaman kegemilangan beliau, Schumacher terkenal dengan kehidupan di luar litar yang cukup misterius. Sebelum zaman media sosial, beliau tidak keluar majalah atau melakukan temu ramah. Yang kita tahu hanyalah dalam semua perlumbaan, isteri beliau Corrina Schumacher sentiasa di litar memberikan sokongan kepada suami tercinta.

Mungkin kerana sikap beliau yang cukup berahsia ini, imej beliau di mata masyarakat ialah seorang robot dari Jerman yang memandu hampir sempurna tetapi tidak mempunyai sebarang emosi. Beliau tidak cool seperti Mika Hakkinen, tidak obses seperti Ayrton Senna, tidak kelakar seperti Daniel Riccardo dan tidak melakukan banyak kesilapan yang teruk tahap legenda seperti Mahaveer Raghunathan.

Beberapa insiden yang melibatkan beliau sepanjang kerjaya seperti kemalangan dengan Damon Hill, Jacques Villeneuve dan Hakkinen disentuh tetapi tidak insiden melibatkan Rubens Barrichello sehingga mengakibatkan mantan rakan sepasukan terbabit dalam kemalangan pada kelajuan 300 km/j. Kesemua insiden yang disebutkan tadi juga dibincangkan untuk tempoh yang terlalu pendek bagi menjaga imej dan hati keluarga Schumacher.

Cerita sebenar di sebalik insiden kemalangan ketika meluncur salji tahun 2013 yang mengakibatkan beliau mengalami kecederaan otak yang teruk juga tidak dibincangkan dengan terperinci. Keadaan sebenar beliau sekarang juga tidak didedahkan oleh keluarga beliau. Tetapi dalam temu ramah yang diberikan seakan mengesahkan Schumacher kini hidup dalam keadaan vegitatif sehingga tidak lagi mampu berinteraksi.

Di awal ulasan ini aku katakan dokumentari tidak do justice kerana rakaman kejayaan beliau sepanjang kerjaya adalah dalam resolusi rendah. Tiada usaha langsung untuk menggunakan versi remastered yang lebih elok. Adakah kerana isu tiada bajet mencukupi? Formula 1 tidak memberikan akses? Aku tak tahu tetapi adalah mengecewakan ini ialah dokumentari untuk antara pelumba terhebat tetapi execution akhir dari pembikin tidak sebaik dedikasi Schumacher ketika di litar lumba.

Schumacher ialah pelumba terhebat dalam sejarah Formula 1 tetapi dokumentari Schumacher mungkin hanya layak diletakkan di letakkan di tengah-tengah – sama seperti nasib Scuderia Ferrari tahun ini di tangga ke-empat. Sepatutnya lebih baik, sepatutnya lebih terperinci, sepatutnya lebih tidak terlalu apologetik dan sepatutnya lebih mendalam dalam menunjukkan kepada penonton siapakah Michael Schumacher yang sebenarnya.

Pada waktu ini jika anda inginkan dokumentari Formula 1 yang lebih baik, Senna (2011) dan Formula 1 Drive To Survive (2019) adalah pilihan lebih bijak.

Schumacher boleh ditonton menerusi Netflix.

Sohor Kini