DokuRabu – Rooney : Mengenali Manusia Di Sebalik Legenda

Wayne Mark Rooney ialah pemegang rekod jaringan paling banyak untuk England dengan 53 gol. Sepanjang kerjaya bola sepak di peringkat kelab pula, beliau menjaringkan 313 gol di lima kelab. Status beliau sebagai legenda sukan bola sepak England tidak boleh dinafikan. Walaupun aku peminat pasukan Chelsea, aku boleh akui bahawa Rooney ialah super bakat seperti Sakuragi Hanamichi yang hanya muncul satu generasi sekali.

Pengenalan aku kepada Ronney ialah pada tahun 2002. Satu-satunya cara untuk menonton perlawanan bola ialah di rumah sendiri, di restoran mamak atau di kedai Tom Yam gelas besar lampu neon dengan pekerja dari Selatan Thai. Aku dengan sekitar 8 kawan pergi ke kedai Tom Yan yang terletak di Batu Gajah untuk menonton Arsenal menentang Everton. Di minit-minit akhir Rooney dibawa masuk oleh David Moyes menggantikan Thomas Radzinski.

Pada minit ke 89, Rooney menerima hantaran dari Thomas Gravesen. Bola disambut dari udara menggunakan kaki kiri sebelum Rooney berputar 180 darjah berhadapan dengan gol. Sol Campbell cuba menutup ruang tetapi Rooney pantas merembat dengan kaki kanan dan bola menerjah gawang David Seaman. Everton menang 2-1. Rooney menjadi pemegang rekod penjaring termuda EPL pada usia 16 tahun, 11 bulan, 25 hari. Rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal pasukan Arsene Wenger diranapkan dan legenda Rooney bermula.

20 tahun telah berlaku dan Rooney memang dikenali ramai sebagai pemain bola paling berbakat semula jadi sejak Gascoigne. Tetapi siapakah insan di sebalik legenda ini? Siapakah beliau di kalangan keluarga, dan teman rapat cuba dirungkai oleh dokumentari Rooney yang mula ditayangkan di Prime Video sekarang.

Sebelum mengulas aku perlu menyatakan bahawa aku bukan peminat Man United dan hanya menyokong beliau sekiranya mewakili England. Aku juga mempunyai kecenderungan untuk menyukai dokumentari ikon sukan. Jadi pendapat aku mungkin biased kerana aku suka bola sepak dan aku juga suka dengan dokumentari sukan.

Dokumentari mendapat sokongan penuh dari Rooney dan keluarga. Ini selalunya adalah indikator kandungan yang akan ditonton adalah lebih tepat tetapi mungkin tidak akan terlalu kontroversi. Ini adalah isu aku dengan dokumentari The Last Dance Michael Jordan dan Schumacher yang terlalu sanitised sehingga hanya yang baik sahaja disentuh. Berbeza dengan dokumentari Tiger yang tidak mempunyai masalah menyentuh sisi gelap Tiger Woods kerana tidak melibatkan pemain golf terkemuka dunia ketika pembikinan.

Dokumentari Rooney masih berani menyentuh beberapa kontroversi seperti Wayne beberapa kali curang kepada Colleen. Isu tidak disentuh dengan terlalu mendalam tetapi sekurang-kurangnya Wanyne dan Colleen masih berani membincangkan apa yang berlaku di depan kamera. Dapat dilihat pasangan kurang selesa membincangkan isu ini tetapi ini adalah lebih baik dari tidak ada langsung. Hakikatnya Wayne dan Colleen sudah mengenali satu sama lain sejak berusia 12 tahun. Hubungan yang sejak dari bangku sekolah serta sokongan dari ahli keluarga adalah sebab utama mereka masih bersama walaupun Wayne kerap kali melakukan kesilapan.

Yang menjadikan dokumentari ini menarik pada hemat aku ialah beberapa cerita sebenar yang menjadi bualan ramai sepanjang kerjaya beliau. Kebenaran mengenai insiden yang menyebabkan tuang kaki beliau patah semasa menentang Chelsea sebelum Euro 2004. Aku masih ingin pemain pertahanan Chelsea dipersalahkan tetapi Rooney mengapai kesilapan beliau sendiri yang menggunakan but baharu bagi tujuan mencederakan pemain-pemain Chelsea. Setahu aku isu kontroversi ini tidak pernah didedahkan sebelum ini. Ini hanya satu daripada beberapa lagi pendedahan yang membuatkan Rooney berjaya menjadikan antara dokumentari sukan yang wajib ditonton.

Selain menemubual Wayne dan Colleen, ramai rakan dan bekas pengurus Rooney di temuramah seperti Gary Nevile, David Moyes dan Rio Ferdinand. Setiap satunya menceritakan anekdot menarik, lucu dan tragis mengenai Wayne Rooney. Wayne pula selesa menceritakan pengalaman hidup dari kecil yang penuh cabaran serta apakah pengorbanan yang perlu dilakukan selepas menjadi tumpuan media UK sejak berumur 16 tahun. Pengarah dokumentari Matt Smith berjaya membuatkan Wayne sebagai manusia biasa dengan cabaran yang sama seperti kita semua cuma dengan kanta pembesar 1000% sepanjang masa.

Dokumentari berakhir dengan Rooney memulakan lebaran baru kerjaya sebagai pengurus kelab bermasalah Derby County. Ini membuka peluang kepada dokumentari atau siri All or Nothing Amazon untuk mengikuti kisah belakang tabir seperti All or Nothing Tottenham Hotspur dan Sunderland Till I Die. Jika Rooney serasi dengan jiwa anda, aku sarankan dua dokumentari Amazon Prime dan Netflix ini turut ditonton.

Tonton Rooney di Prime Video sekarang kerana dokumentari ini berjaya mengupas siapakah manusia di sebalik legenda bola sepak dunia. Ia berjaya menjawab persoalan mengapa beliau bermain dengan penuh kemarahan dan agresif. Mengapa beliau juga mempunyai masalah alkohol sepanjang kerjaya serta beban yang ditangguh sebagai The White Pele/The Next Gazza.

Rooney boleh ditonton menerusi Prime Video

Rooney
Ditayangkan di Prime Video
Mengenai siapa Wayne "Wazza" Rooney yang sebenar.
Positif
Menarik dengan anekdot baharu mengenai insiden yang berlaku sepanjang kerjaya.
Tidak mengelak menyentuh subjek sensitif.
Mendapat kerjasama tuan punya badan.
Negatif
Terlalu pendek untuk seorang legenda bola sepak.
Bukan untuk mereka yang tidak meminati bola sepak.
8.4

Sohor Kini