Minggu ini aku menggabungkan ulasan untuk siri dokumentari Bad Sport dan Untold yang mula ditawarkan sejak sebulan yang lalu. Aku gabungkan kedua-duanya kerana subjek skandal sukan yang sama serta kandungan ditayangkan secara eksklusif di Netflix.

Walaupun kedua-dua kandungan bersiri ini diterbitkan oleh syarikat yang berbeza, teknik penyampaian serta suntingan yang digunakan adalah amat mirip sekali. Malahan Bad Sport ditayangkan selang seminggu selepas episod mingguan Untold habis ditayangkan.

Antara kedua-dua siri ini, Untold mungkin lebih menarik kerana dapat dilihat production value yang sedikit lebih baik walaupun masih mengekalkan estetik Netflix. Apakah estetik Netflix? Memulakan dokumentari dengan audio sahaja (contoh : Aku memang penipu tetapi aku masih mempunyai moral), video grainy ditayangkan pada TV CRT lama dan kemudian subjek ditemubual dalam bilik yang gelap. Walaupun telah menjadi klise yang teruk, teknik dokumentari Netflix ini nyata berkesan kerana semakin banyak pula ditayangkan tahun ini.

Untold terdiri daripada lima episod – Malice At The Palace, Caitlyn Jenner, Deal With The Devil, Crime & Penalties dan Breaking Point. Kelima-lima episodnya adalah menarik walaupun subjek utama mungkin tidak begitu dikenali oleh orang di luar Amerika Syarikat. Malice At The Palace dan Caitlyn Jenner mungkin dua episod yang paling menyerlah kerana liga NBA diikuti ramai dan siapa tak kenal dengan Caitlyn Jenner?

Malice At The Palace menyebabkan NBA mewajibkan atlet berpakaian kemas dalam perjalanan ke stadium bagi menjauhkan diri dari imej yang dianggap gengster. Episod ini akhirnya membenarkan kesemua pemain boleh keranjang seperti Ron Artest dan Jermaine O’Neal menceritakan perkara sebenar dan bagaimana NBA gagal mempertahankan mereka walaupun insiden dimulakan oleh penonton. Episod Caitlyn Jenner pula mengingatkan kita mengapa suatu ketika dahulu beliau dianggap sebagai antara atlet terkemuka dunia sebelum menjadi bapa angkat Kardashians dan melakukan pembedahan perubahan jantina.

Jika Untold lebih tertumpu kepada skandal sukan Amerika Syarikat, Bad Sport memberikan lebih tumpuan kepada skandal antarabangsa seperti Caliciopoli Serie A tahun 2006, penipuan Olimpik Musim Sejuk 2002, rasuah Hansie Cronje, pembunuhan kuda, perjudian dan rasuah sukan bola keranjang 1994 dan penyeludupan dadah menggunakan pasukan lumba kereta oleh Randy Lanier.

Sekali lagi skandal yang diketengahkan mungkin tidak dikenali ramai (kecuali Calciopoli) tetapi penerbit berjaya membuatkan penonton tertarik dan peduli dengan apa yang ingin diceritakan. Tanpa pengetahuan latar belakang sekalipun cerita dapat diikuti dengan mudah. Apabila mampu mereka yang dituduh ditemuramah untuk memberikan sebab mengapa mereka melakukan kesalahan sehingga dihukum. Kalau tak sanggup nak tonton kesemua 6 episod, aku sarankan episod pertama Hoops Dreams dan episod lima Horse Hitman.

Siri Bad Sport diterbitkan oleh Adam Hawkins yang sebelum ini menerbitkan siri dokumentari Fear City: New York vs the Mafia dan Don’t F**k with Cats: Hunting an Internet Killer juga untuk Netflix. Hasilnya seperti yang telah aku katakan pada perenggan awal ialah siri yang sedikit formulaic tetapi tidak membosankan.

Aku sarankan kedua-dua siri Untold dan Bad Sport kepada mereka yang ingin siri dokumentari mengenai sukan bagi mengisi kekosongan selepas menonton The Last Dance dan Tiger.

Tonton siri dokumentari Untold di Netflix

Tonton siri dokumentari Bad Sport di Netflix

Untold dan Bad Sport
Ditayangkan di Netflix sekarang
Siri dokumentari skandal-skandal sukan paling sensasi diceritakan oleh mereka yang terlibat.
Positif
Subjek kurang dikenali tetapi diceritakan dengan cukup menarik.
Penglibatan dari mereka yang terlibat.
Suntingan, audio dan jalan penceritaan yang tidak membosankan.
Negatif
Mungkin terlalu mengikut formula Netflix. Kalau tak suka formula mereka anda tak akan menyukai siri-siri ini.
Subjek lebih ke arah skandal di Amerika Syarikat.
8

Sohor Kini