April tahun lalu, Respawn Entertainment dan EA telah memulakan ujian beta tertutup untuk permua Apex Legends Mobile. Kemudian ia dikembangkan lagi ke lebih banyak negara untuk diuji oleh para pemain, termasuk di Malaysia.

Baru-baru ini, permua ini dilihat sudah boleh dimuat turun untuk pengguna di Malaysia. Selain Malaysia, negara seperti Agentina, Mexico, Peru, Indonesia, Filipina, Singapura, Australia dan New Zealand turut boleh pra-daftar. Oleh kerana ia masih di peringkat akses awal, hanya pemain yang terpilih sahaja boleh memuat turunnya.

Ia juga terhad kepada peranti Android sahaja dengan sokongan iOS dan untuk negara lain akan dikembangkan tidak lama lagi. Dalam ujian muat turun saya sebentar tadi pada Samsung Galaxy Z Fold2, di Play Store saiz muat turun adalah 2.04GB dengan tambahan sekitar 983MB muat turun dari dalam aplikasi.

Permua ini percuma untuk dimainkan dengan terdapat pembelian dari dalam aplikasi. Bagi yang tidak tahu, Apex Legends adalah permainan video battle royale yang lebih fokus kepada penggunaan senjata setiap pemain. Ia juga sudah dilancarkan kepada pengguna PC dan konsol, serta Switch sebelum versi permua ini diperkenalkan.

Bagi yang berminat, muat turun permua ini di Play Store: Apex Legends Mobile.

Sohor Kini