Respawn Entertainment dan EA telah mengumumkan yang mereka bakal melakukan sesi beta tertutup untuk Apex Legends Mobile tidak lama lagi, buat masa ini mereka memfokuskan kepada pemain dari India dan juga Filipina terlebih dahulu, sebelum diperluaskan ke negara-negara lain.

Seperti diperkatakan semasa mereka mengumumkan versi Switch untuk permainan ini, Apex Legends Mobile adalah satu versi khusus untuk peranti pintar. Ia tidak akan menyokong fungsi rentas platform, fungsi rentas akaun dengan kata lain anda tidak boleh membawa akaun tersedia anda ke versi ini. Battle Pass juga perlu dibeli secara berasingan.

Ini boleh dikatakan menyamai apa yang dilakukan oleh Tencent di PUBG Mobile dan Activision untuk Call of Duty Mobile, ia mempunyai ekosistem tersendiri berbanding Fortnite yang menggunakan satu ekosistem sahaja untuk semua platform.

Apex Legends sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang. Ia percuma untuk dimainkan dan mempunyai pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini