Apple telah berkongsi rangkuman untuk tahun 2021 bagi gedung aplikasi App Store mereka. Melalui pengumuman tersebut mereka mengatakan yang sejak App Store bermula pada tahun 2008, ia telah menjana pendapatan sebanyak $260 bilion. Berdasarkan laporan oleh Bloomberg, jumlah tersebut adalah $60 bilion penambahan berbanding setahun yang lepas.

Ini dengan kata lain, sepanjang tahun 2021, App Store telah menjana pendapatan sebanyak $60 bilion dan berdasarkan ciapan oleh Daniel Ahmad iaitu penganalisa untuk industri permainan video, 60% daripada jumlah tersebut adalah untuk permainan mudah alih iaitu $36 bilion (~RM151 bilion).

Menurut Apple jumlah tersebut adalah yang diperoleh oleh pembangun, jika kita mengambil kiraan potongan 80%/20%, Apple boleh dikatakan menjana lebih kurang $9 bilion pada tahun 2021 melalui permainan video. Ia adalah jumlah yang lebih kurang berbanding pada tahun 2019 di mana mereka mencatat keuntungan sebanyak $8.5 bilion yang melebihi keuntungan campuran untuk Microsoft, Nintendo dan juga Sony.

Permainan mudah alih akan terus menjadi penjana pendapatan utama di App Store dan juga Play Store, oleh itu tidak mengejutkan jika kita lihat pelbagai penerbit mula memandang serius mengenai industri ini, contohnya Take Two yang baru sahaja mengumumkan pengambil-alihan Zynga dengan bayaran $12.7 bilion.

Sohor Kini