Acara permainan video gamescom asia x Thailand Game Show 2026 bakal kembali bertempat di Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) dari 29 Oktober hingga 1 November 2026. Penganjuran edisi terbaharu ini menyaksikan perluasan ruang acara kepada lebih 35,000 meter persegi serta penglibatan pereka permainan video veteran, John Romero, sebagai penceramah utama persidangan perniagaan.

Romero, yang merupakan pengasas bersama id Software dan pencipta bersama tajuk ikonik genre first-person shooter seperti Doom, Quake, dan Wolfenstein 3D, bakal menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Why We Still Make Games’. Beliau akan berkongsi pengalaman sepanjang pembabitannya dalam pembangunan industri, cabaran yang pernah dihadapi, serta iktibar yang diperoleh sepanjang beberapa dekad. Sesi persidangan B2B ini dijadualkan berlangsung dari 29 hingga 30 Oktober khusus untuk pengamal industri dan media, menampilkan lebih 70 penceramah dari lebih 20 negara merentasi empat pentas. Antara syarikat dan organisasi yang mengesahkan kehadiran penceramah termasuk AdHoc Studio, DigixArt, Gameloft, Roblox, Rovio Entertainment, Tencent, dan Godot Foundation.
Bahagian perniagaan ini turut menyediakan kawasan pameran yang mengumpulkan pavilion dari 19 negara dan wilayah seperti Austria, Jerman, Filipina, Korea Selatan, Sepanyol, dan Thailand. Berada di dalam segmen sama adalah pertandingan pitching untuk pembangunan indie, ruang rangkaian Invest Circle dan VIP Mixer, serta pameran bakat pelajar menerusi Thailand Game Talent Showcase.
Bagi zon hiburan yang dibuka kepada awam dari 30 Oktober hingga 1 November, kawasan pameran ditingkatkan sebanyak 20 peratus berbanding edisi lalu dengan menggunakan empat dewan utama. Perluasan ini menyokong kehadiran perkakasan, peranti, dan pameran daripada pelbagai jenama penerbit serta pembekal perkakasan seperti AMD, Bandai Namco Entertainment, CAPCOM, Nintendo, Razer Game Services, SANDISK, SEGA, Synnex, dan The Pokémon Company. Beberapa tajuk permainan turut disahkan berada di ruang pameran termasuk FC Online dan Goddess of Victory: NIKKE.


Penganjuran tahun ini turut memperkenalkan platform budaya popular baharu dinamakan ACE Bangkok yang disepadukan di dalam acara. Platform ini memfokuskan kepada segmen anime, manga, komik, filem, televisyen, muzik, dan pencipta kandungan. Di samping akses terus kepada demo permainan baharu dan pelancaran perkakasan, zon hiburan merangkumi program pentas langsung, cabaran esukan, sesi bertemu peminat, pertandingan cosplay, dan zon indie.
Membawa tema rasmi “The Heart of Gaming”, acara ini menyasarkan untuk mengatasi rekod edisi terdahulu yang mencatatkan kehadiran 206,159 pengunjung dari 95 negara serta penglibatan 294 pamer. Tiket bagi gamescom asia x Thailand Game Show 2026 kini boleh didapatkan menerusi laman rasmi gamescom.asia/tickets.


