SEGA hari ini mengumumkan pelancaran pek kandungan muat turun (DLC) terbaharu untuk Farming Simulator 25 iaitu SKY Agriculture Pack. Kandungan tambahan ini memfokuskan kepada pengenalan barisan jentera pertanian modular bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang.
SKY Agriculture Pack membawakan 12 jentera spesifik daripada pengeluar terkemuka Perancis, SKY Agriculture. Jentera-jentera baharu ini merangkumi fungsi penanaman yang pelbagai seperti penyediaan tapak semaian, penanaman tanaman tutup bumi, pengurusan tunggul jerami, serta proses pembajaan. Antara model mesin yang disertakan di dalam pek ini adalah Easydrill P250, Falcon T 240, HR 300 (3m), HR 300 (4m), HRW 6000.36, Methys HDS, P100, Progress P100, Progress P50, Progress TF, Sonic PPF 300/12, dan X50+ Econov. Dari segi reka bentuk teknikal, pembangun turut mengemaskini sistem fizik, animasi mekanikal, serta visual pengumpulan kotoran pada setiap jentera untuk memberikan impak yang lebih realistik.


Bagi permainan asasnya, Farming Simulator 25 menampilkan genre Large-scale farming simulator yang boleh dimainkan secara solo mahupun mod kooperatif dalam talian sehingga 6 orang pemain. Pemain diberikan pilihan untuk mengusahakan empayar pertanian merentasi tiga variasi landskap berbeza iaitu Asia (termasuk kawasan sawah padi), Amerika Utara, dan Eropah Tengah. Selain aktiviti pertanian, penternakan haiwan juga dikembangkan dengan pengenalan kerbau dan kambing di samping haiwan sedia ada seperti lembu, biri-biri, babi, ayam, dan kuda. Secara keseluruhan, permainan ini memuatkan lebih daripada 400 jentera dan barangan tulen daripada 150 jenama antarabangsa.
Pek jentera SKY Agriculture Pack ini boleh didapati secara berasingan atau diperoleh sebagai sebahagian daripada Year 2 Season Pass yang merangkumi tiga lagi penawaran DLC lain pada masa hadapan. Farming Simulator 25 kini boleh dimainkan pada platform PlayStation 5, Xbox Series, PC (melalui Windows, Steam, dan Epic Games Store), serta Mac.


