Sony ialah salah satu daripada beberapa syarikat yang masih lagi memerkasakan teknologi realiti maya untuk tujuan hiburan melalui konsol permainan video mereka. Dengan pelancaran konsol PlayStation 5 mereka pada tahun lepas, mereka dilihat sedang membangunkan perkakasan PSVR baru yang boleh memanfaatkan prestasi konsol tersebut.
Ia dilaporkan baru-baru ini bahawa Sony telah mengadakan persidangan pembangun khusus untuk memperlihatkan maklumat baru mengenai PSVR generasi baru ini. Beberapa butiran telah dikenalpasti untuk perkakasan ini, dan ia termasuklah penambahbaikan resolusi 2000×2040 pixel pada satu lensa, yang mana gabungannya akan membentuk paparan dengan resolusi 4K.
Ia juga akan hadir dengan sudut pandangan yang lebih lebar pada sudut 110 darjah, yang sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah mabuk pergerakan yang boleh menjadi masalah dengan sudut penglihatan yang lebih tirus.
Dalam pada itu, PSVR generasi baru ini juga akan memperkenalkan pengawal permainan baharu yang akan menggabungkan kawalan haptik, picu adaptif sama seperti apa yang ditawalkan pada pengawal DualSense baharu dan juga penjejakan pergerakan.
Lebih menarik lagi ialah kemungkinan bahawa PSVR baru ini tidak akan memerlukan kotak seperti apa yang hadir pada model sebelum ini. Ia dikatakan boleh disambungkan secara terus ke PlayStation 5 menggunakan satu kabel sahaja, menjadikannya setaraf dengan peranti realiti maya seperti Oculus Quest 2 dan HTC Vive Pro 2.
Setakat ini ia dijangka bahawa PSVR baru ini hanya akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun hadapan, dan hanya akan dijual menjelang musim cuti 2022 kelak.
Sumber: Engadget