Capcom secara rasmi mengumumkan bahawa tarikh pelancaran bagi permainan video Onimusha: Way of the Sword telah diawalkan ke 4 September 2026. Judul terbaharu ini akan tersedia untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam, Epic Games Store, serta Microsoft Store.

Sebelum pelancaran rasmi tersebut, sebuah demo percuma kini sudah boleh dimuat turun oleh pemain di PlayStation Store, Xbox Store, Steam, dan Epic Games Store. Selain memberikan akses awal untuk mencuba sistem pertempuran dan mekanik permainan, pemain yang mempunyai fail simpanan daripada demo ini layak menuntut ganjaran eksklusif berupa Kubi Akari Charm apabila versi penuh dilancarkan kelak.

Sesi pra-tempahan bagi edisi Standard, Deluxe, dan Premium Deluxe juga telah dibuka. Pembeli yang membuat tempahan sebelum 24 September 2026 berpeluang untuk menerima ganjaran tambahan Early Adopter Bonuses. Pemain yang berminat boleh melayari laman web rasmi permainan untuk maklumat lanjut.

Onimusha: Way of the Sword merupakan permainan bergenre Sword-Fighting Action yang membawakan semula francais klasik Onimusha. Berlatarkan kawasan Kyoto pada awal era Edo, kisah permainan fiksi fantasi gelap ini mengikuti pertempuran antara Miyamoto Musashi, seorang samurai yang dilengkapi dengan senjata Oni Gauntlet, menentang makhluk penjejak dari alam bawah yang dikenali sebagai Genma.

Leave a Reply