Hari yang keempat untuk minggu Geeked Netlfix bukan calang-calang. Banyak gila anime, filem dan siri animasi menarik diumumkan. Secara tidak langsung, Netflix dapat memberi justifikasi kepada harga langganan mereka yang mahal – berbanding pesaing. Bukan itu sahaja, kandungan dalam minggu Geeked ini juga majoriti adalah hak intelek yang Netflix pegang dan juga banyak yang asli.


Masters of the Universe: Revelation

Selepas 40 tahun, siri animasi He-Man kembali untuk menghentikan Skeletor. Planet Eternia juga telah musnah dan penjaga Grayskull telah berpecah. Tee-La akan memainkan peranan utama, merungkai misteri peperangan ini dan mencari Sword of Power untuk memulihkan Eternia daripada musnah selamanya.

Video acah pertama bagi siri animasi akhirnya dipertontonkan. Peminat pasti akan teruja dan tidak sabar untuk nantikan kehadiran siri ini. Ia akan disiarkan pada 23 Julai ini.

The Loud House Movie

Berdasarkan siri animasi popular di Nickelodeon, The Loud House kini disampaikan dalam bentuk filem. Satu keluarga kini melancong ke Scotland, dan mendapati mereka adalah keturunan diraja Scottish. Saksikan gelagat mereka sekeluarga dalam pengembaraan cuba hidup sebagai diraja.

Filem ini akan disiarkan pada 20 Ogos.

Twilight of the Gods

Jika anda gemarkan hasil kerja Zack Snyder, seperti filem 300, Watchmen, Zack Snyder’s Justice League, atau yang terkini filem Army of The Dead – anda mungkin ingin cuba saksikan pula siri animasi beliau. Beliau akan mengadaptasi legenda mitos Norse kepada animasi Twilight of the Gods.

Hanya senarai pelakon suara sahaja yang Netflix dedahkan. Tiada lagi sinopsis dan tarikh siaran. Sama-sama kita nantikan.

Mobile Suit Gundam: Hathaway

Anda peminat Gundam? Anda ingat lagi filem animasi 1980-an Mobile Suit Gundam: Char’s Counterattack? Filem anime ini akan menerima sekuel trilogi baharu berdasarkan novel yang memfokuskan watak Hathaway’s Flash. Filem ini berlaku selepas 12 tahun daripada serangan Char.

Earth Federation nperlu dihentiukan oleh Hathaway kerana sudah semakin berkuasa dan merbahaya.

Disebabkan pandemik, filem ini ditunda. Namun, dengan video acah ini – kehadiran filem dan butiran lanjut mungkin akan dikongsi oleh Netflix tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan

Shaman King

Peminat tegar atau Animen Geek pasti kenali Shaman King. Jika anda kenal, anda tahu yang siri ini sudah dilaporkan sejak beberapa tahun lepas untuk hadir dengan olahan semula. Akhirnya Netflix kongsi video acah bagi siri ini

Siri ini akan menceritakan kisah seorang bomoh Yoh Asakura yang ingin menjadi Raja segala bomoh – Shaman King. Ini kerana beliau ingin cuba menghubungi Great Spirit untuk membentuk dunia dengan citarasa tersendiri. Tetapi untuk bertemu dengan Great Spirit, beliau perlu menang satu perlawanan khas yang berlangsung 500 tahun sekali di antara semua bomoh. Ia akan disiarkan pada 9 Ogos kelak.

EDENS ZERO

Di dunia seakan taman tema, Sakura Cosmos yang bercampur dengan manusia, makhluk asing, robot sentri – Shiki Granbell adalah seorang Ether Gear manusia. Beliau bertemu dengan Rebecca Bluegarden dan kucing Happy, iaitu pengembara angkasa – lalu menjadi sahabat. Akibat dihalau daripada tempat tinggal – mereka mengembara mencari Mother iaitu entiti yang dikatakan boleh menunaikan apa jua permintaan.

Siri anime ini akan disiarkan pada 26 Ogos.

Transformers: War for Cybertron: Kingdom

Saya masih ingat semasa masih bersekolah rendah atau tadika, Beast War adakah antara animasi 3D kegemaran saya. Ia adalah satu siri animasi Transformers di mana setiap robot menggunakan identiti haiwan dan serangga. Kelak di Netflix, iaitu pada 29 Julai siri anime baharu War for Cybertron: Kingdom akan disiarkan. Ia adalah penamat kepada trilogi siri sama, di mana yang pertama adalah Siege dan kedua Earthrise.

exception

Selepas lama mendiamkan diri Hirotaka Adachi atau lebih dikenali sebagai Otsuichi, kembali dengan siri anime baharu. Anime ini adalah seram dengan tema raksasa dan angkasa. Masih tiada sebarang sinopsis, pelakon suara atau tarikh siaran lagi. Tetapi ramai tidak sabar akan kehadiran anime ini kerana rekaan watak adalah daripada Yoshitaka Amano – yang terkenal dengan kerja beliau dalam permainan video Final Fantasy.

Make My Day

Sebuah filem anime yang berlaku di planet yang sejuk beku serta bersalji. Entah kenapa, tiba-tiba ada raksasa misteri muncul mengancam semua orang. Dengan cuaca gila sejuk, adakah semua orang boleh selamat melarikan diri? Itulah yang Netflix huraikan mengenai filem anime ini. Masih tidak jelas, tidak banyak yang mereka kongsi selain daripada filem ini diarahkan oleh Makoto Honda dengan animasi oleh 5 Inc. Filem ini adalah adaptasi daripada manga karya Yasuo Ohtagaki.

Bright: Samurai Soul

Anda ingat lagi filem Bright? Antara filem Netflix Original dengan lakonan Will Smith, di dunia yang penuh dengan makhluk magis, raksasa, makhluk asing, kuasa luar biasa – sehinggakan ada agensi khas seakan polis untuk mengawal keamanan bandar.

Ini adalah adaptasi filem tersebut dalam bentu siri anime. Mengisahkan seorang RoninIzo dan raksasa orc Raiden – mereka berdua perlu membawa seorang wanita bunian ke dunia bunian.

Ya, agak mengecewakan banyak kandungan yang butirannya Netflix masih rahsiakan. Tetapi, janji Netflix biasanya ditepati. Jadi semua ini akan tiba di platform penstriman Netflix di masa akan datang. Sama-sama kita lihat dan saksikan.

Godzilla: Singular Point

Godzilla Singular Point adalah siri anime baharu dan asli daripada Netflix. Ia membawakan pelakon suara baru dan juga cerita baharu. Siri ini adalah satu lagi projek selepas filem anime Godzilla: Planet of the MonstersGodzilla: City on the Edge of Battle dan Godzilla: The Planet Eater menerima sambutan yang baik. Ia akan diarahkan oleh Atsushi Takahashi (Doraemon the Movie 2017: Great Adventure in the Antarctic Kachi Kochi), studio anime bones (My Hero Academia) dan Orange (Beastars, Land of the Lustrous) bekerjasama untuk animasi dengan konsep lukisan tangan + CGI.

Berdasarkan video acah, siri anime dengan 13 episod ini menggunakan penceritaan dengan elemen teknologi, magis dan juga konsep dunia lain/dimensi lain. Hero juga dilihat adalah orang biasa, di mana semua sudah sedar akan kehadiran Godzilla dan bersedia untuk menentang. Senjata hanyalah robot ciptaan sendiri. Macam menarik, apa pun – ia akan disiarkan pada bulan ini iaitu Jun pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Resident Evil: Infinite Darkness

Dua watak protagonis daripada siri permainan Resident Evil, iaitu Leon S. Kennedy dan Claire Redfield akan kembali beraksi dalam siri animasi empat episdod ini.Ia berlaku pada tahun 2006, di mana Leon telah dijemput ke White House untuk menyiasat kes zombi. Claire pula sedang menyiasat di satu perkampungan di mana beliau menemui satu lukisan misteri. Sedang meminta bantuan daripada White House, Leon dan Claire bertemu mungkin pertama kali selepas Resident Evil: Degenaration dan mendapati lukisan itu ada kaitan dengan fail dan kes zombi sedang Leon siasat.

Netflix hari ini kongsi video baharu, iaitu kurang tiga minit pembukaan siri animasi ini. Reaksi awal saya, WOW!. Netfix tidak bergurau dengan siri ini. Ia kelihatan serius dan masih di awal sebelum pandemik virus zombi bermula. Sepasukan askar seakan pertama kali bertembung dengan zombi, pihak atasan seakan tahu sesuatu tetapi masih berahsia, ada kumpulan penjahat lain yang turut menyerang askar dan banyak lagi.

Siri ini berlaku 2 tahun selepas RE4, 3 tahun sebelum RE5. Dalam francais permainan video, selepas RE4 pada tahun 2004, 2004/2005 berlaku peristiwa RE: Revelations dan ada sela empat tahun – kerana RE5 adalah pada tahun 2009. Jadi, siri Infinite Darkness ini mengisi cerita di ruangan kosong sela masa yang ada.

Siri ini akan disiarkan pada 8 Julai akan datang


Hari kedua terakhir minggu Geeked menawarkan banyak anime, animasi dan filem menarik. Esok hari terakhir, penamat dan penutup acara Geeked Week – kandungan berasaskan permainan video seperti The Witcher dan The Cuphead Show! dan juga lanjutan informasi mengenai musim baharu Cobra Kai.

Sohor Kini