Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Netflix sedang mengadakan acara Netflix Geeked bermula 7 Jun sehingga 11 Jun. Acara hari pertama sudah pun selesai, yang mana banyak filem dan siri TV baharu diumumkan. Geeked Week hari pertama ini akan membuatkan anda tidak sabar untuk menantikan kesinambungan siri TV kegemaran anda atau filem yang dibintangi pelakon kegemaran.

Dalam artikel ini saya senaraikan kesemua yang diumumkan pada hari pertama;

Shadow And Bone Musim Kedua

Para pelakon siri TV Shadow and Bone telah mengumumkan yang mereka akan kembali untuk musim kedua. Siri TV ini mengisahkan pasukan manusia biasa berperang dengan Grisha iaitu mereka yang ada kuasa luar biasa. Alina Starkov yang merupakan watak utama memiliki kuasa hebat dan perlu menghentikan ancaman daripada tenaga bayang-bayang yang memecahbelahkan di antara satu sama lain. Tiada tarikh atau sinopsis lagi, tetapi anda boleh maratonton musim pertama di Netflix.

Sweet Girl

Akan disiarkan pada 20 Ogos, 3 petang. Sweet Girl adalah filem aksi bertemakan keluarga, di mana Jason Momoa berlakon sebagai Ray Cooper dan perlu melindungi anak beliau Rachel lakonan Isabela Merced sambil membalas dendam kepada satu syarikat farmaseutikal yang menyebabkan isteri beliau mati.

Lupin Musim Kedua

Siri TV ini akan kembali untuk musim kedua pada 11 Jun, 3 petang. Lupin adalah siri TV rompakan/balas dendam kerana hidup dan keluarga beliau telah dianiaya oleh Hubert Pelligrini. Apa pula yang akan berlaku dalam musim kedua ini? Sama-sama kita nantikan.

Blodd Red Sky

Blood Red Sky merupakan filem seram bertemakan puntianak. Ia memfokuskan kepada seorang ibu yang sakit dan anak beliau yang menaiki kapal terbang untuk ke satu destinasi, tetapi pesawat mereka telah dirampas menyebabkan pelbagai rahsia mula terbongkar. Filem ini akan disiarkan pada 23 Julai akan datang.

Icy Road

Jika anda dengar ais dan Liam Neeson, ini bukan Cold Pursuit – tetapi filem Icy Road menggunakan tema misi menyelamat. Seorang pemandu jalanan berais yang berpengalaman, lakonan Liam Neeson perlu menyelamatkan beberapa pelombong berlian kerana bencana. Tetapi tanpa disedari, bukan alam patut disalahkan kerana ada ancaman lain yang tidak diduga. Filem ini akan tiba pada 25 Julai.

Kate

Filem ini akan disiarkan pada 10 September, 3 petang. Selepas Kate diracun, dalam masa 24 jam beliau perlu membalas dendam untuk menghentikan musuh. Tanpa diduga, beliau mula membina hubungan bersama anak perempuan salah seorang daripada musuh beliau.

The Last Mercenary 

Jean-Claude Van Damme kembali beraksi dalam filem aksi komedi The Last Mercenary. Memainkan watak La Brume iaitu seorang perisik veteran Perancis yang kini adalah pembunuh upahan. Terdapat penjahat yang mengugut nyawa anak beliau Archibald dan La Brume perlu menghubungi semula rakan lama untuk bantuan. Tetapi Archibald tidak tahu yang perisik veteran ini adalah bapa kandung beliau. Filem ini akan disiarkan pada 30 Julai, 3 petang.

Vikings: Valhalla

Selepas enam musim Vikings, dua tahun lepas Netflix mengesahkan yang siri ini akan menerima siri sampingan Vikings: Valhalla. Siri sampingan ini berlaku pada awal abad ke-11, iaitu 100 tahun sebelum garis masa Vikings. Ia akan memofkuskan kepada watak Leif Eriksson, Freydis Eriksdotter, Harald Hardrada dan Norman King William the Conqueror. Peminat Vikings mungkin akan menggemarinya, atau jika anda adalah peminat permainan video Assassin’s Creed Valhalla dan inginkan sesuatu yang disampaikan ke arah lebih realistik – anda juga boleh cuba. Tarikh dan masa siaran masih belum diumumkan lagi.


Itu sahaja untuk Netflix Geeked hari pertama, nantikan laporan seterusnya untuk hari kedua. Netflix akan mendedahkan lebih informasi mengenai The Umbrella Academy musim ke-3, Locke and Key musim ke-2 dan juga The Sandman.

Sohor Kini