Sonic The Hedgehog adalah siri permainan video yang dikenali dan digemari orang ramai. Permainan ini diadaptasi menjadi filem aksi nyata pada Februari tahun 2020 dan menerima maklum balas yang amat positif. Itu pun selepas filem ini ditunda, kerana dikecam rekaan awal watak Sonic yang hodoh. Filem ini turut berjaya mengutip lebih RM1 bilion dan disahkan menerima sambungan. Sekuel filem ini dijadualkan untuk ditayangkan pada April 2022.
Butiran mengenai filem kedua masih tidak jelas. Tidak banyak yang dikongsi dari pihak rasmi, selain daripada khabar-khabar angin di luar sana. Setakat yang kita tahu adalah, filem sekuel ini akan menyertakan watak Knuckles. Knuckles pada awalnya dijangka akan muncul dalam filem pertama, tetapi digantikan dengan Tails. Ini kerana menurut sumber, Knuckles akan memainkan peranan penting dalam filem kedua kelak.

Filem sekuel turut ingin menyertakan pelakon hebat/popular seperti Samuel L. Jackson atau Chris Rock untuk membuat penampilan khas. Jeff Fowler pula kekal sebagai pengarah dan Pat Casey dan Josh Miller kekal sebagai penulis. Terkini, The Illuminerdi laporkan yang pelakon suara untuk Knuckles berkemungkinan besar adalah Jason Momoa. Watak Knuckles adalah serius, tetapi lucu kerana beliau jenis yang lurus bendul. Jadi mungkin Jason Momoa sesuai? Suara yang garau, tampak tegas dan serius – pasti lucu untuk lihat reaksi suara beliau jika tertipu.

Dalam francais Sonic, Knuckles pada awalnya adalah watak penjahat. Tetapi lama kelamaan, beliau menjadi rakan Sonic dan juga pesaing yang mesra. Seperti Sonic, Knuckles juga boleh berlari pantas, lompat dan luncur – tetapi beliau lebih perlahan dari Sonic. Kelebihan beliau yang lain adalah mampu bertumbuk kerana mempunyai kebolehan pertahan diri yang baik dan dipadankan pula dengan sarung tangan beliau yang berduri.
Knucles juga adalah penjaga Master Emerald iaitu salah satu daripada tujuh Chaos Emeralds. Colleen O’Shaughnessey dilaporkan akan kekal sebagau pelakon suara “Tails” dan Ben Schwartz kekal sebagai Sonic. Ayuh sama-sama kita nantikan butiran lanjut mengenai filem ini.