Skip to main content

Setiap kali Ubisoft melancarkan satu permainan dunia terbuka, saya sendiri agak musykil dengan kualiti permainannya yang mana beberapa permainan dunia terbuka keluaran mereka baru-baru ini seperti Assassin’s Creed Valhalla dan Watch Dogs Legion agak mengecewakan kami.

Meskipun begitu, Disember lepas, Ubisoft menghasilkan satu permainan dunia terbuka dengan hak intelek baharu yang mendapat perhatian kami atas sebab ia merupakan francais baharu oleh mereka dan pada masa yang sama permainan ini memfokuskan tamadun Yunani, iaitu penceritaan watak seperti tuhan Zeus, Hades dan wira-wira seperti Achilles, Perseus dan sebagainya.

Jadi adalah ulasan kami untuk Immortals Fenyx Rising, yang dimainkan di konsol PlayStation 5.

Penceritaan Yang Ringkas Tetapi Penuh Lawak Jenaka Comel

Perkara pertama yang saya harus puji berkenaan permainan ini adalah penceritaannya yang disampaikan dengan baik melalui sesi penceritaan bersama Zeus dan Prometheus. Pada permulaan permainan ini, pemain akan diperkenalkan dengan watak Fenyx yang pemain boleh hasilkan sendiri sama ada watak lelaki mahupun perempuan, di mana ia tidaklah memberi sebarang kesan utama untuk penceritaan permainan ini.

Meskipun begitu, permainan ini diteruskan dengan penceritaan oleh dua pihak tersebut yang penuh dengan beberapa lawak jenaka yang agak comel dan pada masa yang sama mengasyikkan.

Walaupun asas penceritaan permainan ini tidaklah begitu mendalam bahkan plot-plotnya adalah sesuatu yang ringkas dan boleh diramal terutamanya pengakhirannya, namun untuk sesuatu naratif yang ringkas ini, Ubisoft berjaya menyampaikan penceritaan yang baik untuk mereka yang inginkan sesuatu penceritaan yang tidak terlalu berbelit.

Saya juga menyukai beberapa penyampaian watak-watak melalui keseluruhan pengembaraan saya sebagai Fenyx di mana setiap kali anda bertemu dengan beberapa watak-watak ternama di dalam tamadun atau mitologi Yunani, anda pasti akan menghargai bagaimana Ubisoft menterjemahkan mereka di dalam permainan ini.

Secara keseluruhan, penceritaan utama permainan ini boleh dihabiskan dengan sekitar 20 jam sahaja dan ia juga menyertakan beberapa misi sampingan yang pemain boleh lakukan. Meskipun begitu, apa yang saya hargai di dalam permainan ini ialah ia tidaklah terlalu meluas dan penceritaan masih lagi berada di skop yang kecil termasuklah penceritaan sampingan.

Selain itu, setiap kali pemain maju di dalam permainan ini, penceritaannya juga disampaikan dengan baik dan tidak begitu meleret, yang menyebabkan saya hargai apa yang Ubisoft hasilkan kali ini berbanding permainan Assasssin’s Creed Valhalla yang terlalu memaksa pemain untuk menyelesaikan misi penceritaan yang sangat panjang.

Saya sendiri akui yang mana untuk membandingkan dua permainan ini, iaitu Assassin’s Creed Valhalla dan Immortals Fenyx Rising adalah dua francais yang berbeza, meskipun begitu saya harus puji bagaimana permainan ini berjaya membuat saya lebih berminat dengan naratifnya, walaupun ia mempunyai plot yang lebih kecil dan ringkas.

Visual Grafik Menawan Di PlayStation 5 Dengan Persembahan Yang Baik, Tetapi Beberapa Pepijat Kecil

Visual Immortals Fenyx Rising boleh dikatakan mempunyai visual kartun yang sangat comel dan apabila dimainkan di konsol PlayStation 5, ia semestinya lebih menyerlah dengan visual terang terutamanya kawasan-kawasan permainan yang sangat meluas.

Dari segi rekaan watak, sehinggalah kesan-kesan kuasa jahat Typhoon, permainan ini berjaya membawa satu arah seni permainan yang saya sangat sukai. Akan tetapi, semestinya arah seni permainan adalah subjektif mengikut pemain dan mungkin juga terdapat beberapa pemain yang lebih menyukai visual yang lebih realistik, namun pada pandangan saya, Immortal Fenyx Rising ini mengingatkan saya akan visual kartun seperti siri Kingdom Hearts, namun dengan kelancaran dan rekaan yang lebih klasik.

Saya juga menyukai beberapa aspek kawasan permainan ini yang direka dengan baik sekali dengan pelbagai lokasi yang sangat menarik untuk dipandang. Dicampur juga dengan rekaan musuh-musuh berdasarkan mitologi Yunani, Ubisoft semestinya berjaya membawa satu arah seni yang menarik dan membuatkan saya berminat untuk mereka menterjemahkan arah seni yang sama dengan mitologi-mitologi lain.

Jika bercakap berkenaan permainan keluaran Ubisoft, semestinya ia tidak asing dengan beberapa pepijat dan Immortals Fenyx Rising ini sememangnya mempunyai beberapa pepijat seperti visual yang rosak, permainan yang tergendala dan beberapa masalah seperti kadar bingkai sesaat terjatuh.

Akan tetapi, sepanjang sesi permainan saya, saya tidaklah temui begitu banyak pepijat yang merosakkan pengalaman permainan secara keseluruhan. Meskipun begitu, saya menghadapi beberapa masalah permainan tergendala lebih dari tiga kali yang agak menjengkelkan. Namun, memandangkan fungsi penyimpanan automatik permainan ini agak kerap, ia sekurang-kurangnya tidak menghilangkan sesi permainan saya dengan banyak.

Bentuk Permainan Yang Cukup Ringkas Dan Mudah Untuk Pemain Baharu Atau Veteran

Apa yang membuatkan permainan dunia terbuka ini sangat seronok untuk dimainkan adalah ia meminjam beberapa aspek kawalan dan bentuk permainan dengan satu lagi permainan dunia terbuka kesukaan saya, iaitu The Legend Of Zelda: Breath Of The Wild, yang mana hasilnya adalah sangat bagus sekali.

Semestinya dengan meminjam beberapa elemen permainan daripada permainan keluaran Nintendo tersebut, Immortals Fenyx Rising ini tidak mempunyai beberapa bentuk permainan yang begitu asli, akan tetapi saya tidak berasa ia adalah satu masalah atas sebab Ubisoft masih lagi berjaya membuatkan permainan ini seronok untuk dimainkan.

Antara bentuk kawalan yang menyerupai permainan Nintendo tersebut semestinya gaya pengembaraan permainan ini di mana pemain akan dilengkapi dengan bar stamina sendiri dengan nilai nyawa yang boleh dinaik-taraf bersama dengan pemain berupaya untuk memanjat pelbagai lokasi. Selain itu, Immortals Fenyx Rising juga mempunyai beberapa lokasi yang dipanggil Vault Of Tartarus di mana ia adalah seakan lokasi Shrine daripada Breath Of The Wild di mana pemain boleh memasuki lokasi tersebut dan menyelesaikan sebilangan tekaria dan mendapatkan ganjaran.

Antara perkara yang saya harus puji adalah sebilangan tekaria di dalam permainan ini dihasilkan dengan begitu baik sekali termasuklah beberapa tekaria yang akan memakan masa hampir sejam untuk menyelesaikannya. Ini juga menyebabkan saya sangat menyukai permainan ini atas sebab beberapa tekaria yang dihasilkan sangat bijak sekali dan memerlukan anda untuk betul-betul memikir untuk menyelesaikannya. Terdapat juga beberapa tekaria yang mudah, termasuklah tekaria-tekaria yang terdapat di dalam kawasan luar dunia terbuka permainan tersebut.

Walaupun banyak elemen-elemen permainan yang dipinjam oleh permainan Nintendo, Ubisoft masih lagi berjaya membawa beberapa kelainan untuk permainan ini seperti kemahiran-kemahiran watak yang pelbagai seperti keupayaan untuk menyerang dengan kuasa-kuasa ‘Tuhan” dan juga keupayaan untuk menggunakan teman burung Phospor yang memudahkan lagi pengembaraan pemain.

Antara kemahiran utama di dalam permainan ini yang sering digunakan untuk menyelesaikan tekaria adalah kemahiran menembak dan mengawal anak panah yang sedikit sebanyak seakan sama dengan kemahiran mengawal anak panah dari permainan Assassin’s Creed Origins. Meskipun begitu, di dalam permainan ini, Ubisoft menghasilkan beberapa tekaria yang sangat bijak dengan menggunakan kemahiran tersebut, sekaligus membuatkan beberapa cabaran permainan ini menjadi lebih seronok.

Dari segi pengembaraan, pemain boleh bergerak dengan menunggang kuda ataupun berjalan kaki. Pada masa yang sama, pemain juga akan dilengkapi dengan satu sayap “Icarus Wings” di mana pemain boleh terbang dan meluncur di udara, seperti mana Link dengan Paraglider di dalam Breath of The Wild.

Dari segi pertempuran, permainan ini sedikit sebanyak adalah sama sahaja dengan permainan-permainan dunia terbuka Ubisoft terutamanya siri Assassin’s Creed atas sebab ia memfokuskan elemen pertempuran jarak dekat. Walaupun pemain boleh bertempur dengan menggunakan panah untuk jarak jauh, kebanyakkan sesi pertempuran memfokuskan pemain untuk bertempur jarak dekat.

Meskipun begitu, apa yang agak berkurang dari segi permainan ini adalah pilihan senjata di mana ia adalah terhad kepada dua jenis senjata sahaja iaitu pedang dan kapak yang mana pemain hanya akan menjumpai senjata-senjata lain yang mengubah rupa bentuknya sahaja dan sedikit statistik. Ini sekaligus mengehadkan beberapa bentuk pertempuran permainan yang berasa agak berulangan atas sebab pemain akan menggunakan senjata yang sama.

Meskipun begitu, dengan pelbagai kemahiran tersedia di campur dengan beberapa perbezaan statistik senjata berdasarkan kelengkapan pemain, ia sekurang-kurangnya tidaklah terlalu membosankan untuk sesi permainan yang berterusan.

Oleh hal demikian, saya berasa Immortals Fenyx Rising mempunyai bentuk permainan yang baik dan ringkas untuk pemain baharu ataupun veteran yang inginkan permainan dunia terbuka yang luas tetapi tidak terlalu kompleks.

Dunia Terbuka Yang Meluas Dengan Pelbagai Lokasi Menarik

Dari segi kandungan, Immortals Fenyx Rising tidaklah mempunyai kandungan yang begitu meluas berbanding permainan Assassin’s Creed Valhalla yang diulaskan oleh saya sebelum ini. Namun, sebagai permainan dunia terbuka, permainan ini semestinya mempunyai lokasi yang sangat meluas dan pada masa yang sama pelbagai aktiviti menarik yang pemain boleh lakukan.

Asas pengembaraan permainan ini sememangnya tidak begitu berbeza dengan siri Assassin’s Creed di mana pemain akan ditugaskan untuk ke puncak sesuatu lokasi untuk menyah-kunci pelbagai aktiviti yang terdapat di dalam permainan tersebut. Namun apa yang membuatkan ianya berbeza adalah pemain tidak akan menyah-kunci segala aktiviti di dalam satu lokasi secara terus, tetapi pemain perlu mengesannya dahulu dengan menggunakan kemahiran “Far Sight”.

Melalui “Far Sight”, pemain berupaya untuk mencari lokasi-lokasi menarik, termasuklah mencari barangan-barangan yang pemain boleh temui dan juga lokasi Vault Of Tartarus iaitu lokasi tekaria yang saya terangkan di atas, di mana ia sedikit sebanyak menggalakkan pemain untuk menerokai peta permainan ini berbanding terus ke lokasi.

Konsep ini juga membuatkan saya suka dan ingin terus menerokai dunia permainan ini yang mana ia menyertakan pelbagai lokasi menarik sama ada pemain boleh lakukan beberapa cabaran untuk dapatkan koin untuk mempelajari kemahiran baharu, mengutip Ambrosia untuk tingkatkan nilai nyawa pemain dan sebagainya.

Dicampur juga beberapa lokasi tersembunyi dengan aktiviti dunia terbuka rawak seperti Wraith seperti Blood Moon yang akan menyebabkan musuh menjadi lebih kuat, permainan ini sememangnya adalah satu permainan dunia terbuka dengan kandungan yang sangat pelbagai.

Kesimpulan

Dengan pelbagai permainan dunia terbuka yang dilancarkan oleh Ubisoft sepanjang tahun 2020, saya boleh katakan Immortal Fenyx Rising adalah permainan terbaik oleh mereka walaupun ia meminjam beberapa elemen permainan daripada Legends Of Zelda: Breath Of The Wild. Ianya bukan sahaja mempunyai dunia yang meluas, malah pelbagai lokasi menarik untuk diterokai, pelbagai aktiviti untuk dilakukan dan semestinya tekaria permainan yang sangat seronok untuk dilakukan. Permainan ini juga boleh dikatakan satu permainan dunia terbuka paling seronok saya mainkan oleh Ubisoft, sejak Assassin’s Creed: Black Flag beberapa tahun lepas.

Dengan memfokuskan penceritaan dari mitologi Yunani dan pada masa yang mempunyai penulisan yang lebih ringan dan kelakar, permainan ini semestinya adalah satu permainan untuk semua lapisan umur tidak kira pemain baharu ataupun veteran.

Ubisoft sememangnya berjaya membawa satu kelainan di dalam genre permainan dunia terbuka mereka dan saya berharap agar mereka terus mengekalkan beberapa elemen seperti ini untuk permainan akan datang mereka.

Penafian: Kod ulasan Immortal Fenyx Rising disediakan oleh Ubisoft.

Immortal Fenyx Rising
Harga: RM249
Permainan Dunia Terbuka Terbaik Dari Ubisoft Dengan Dunia Yang Meluas, Penceritaan Yang Kelakar Dan Boleh Dikatakan Satu Klon BoTW Yang Berjaya Dengan Bentuk Permainan Yang Ringkas Dan Seronok
Cerita
9
Bentuk
9
Grafik
9
Audio
9
Kandungan
10
Positif
Penceritaan Yang Ringkas Dan Kelakar
Dunia Terbuka Yang Meluas
Bentuk Permainan Yang Seronok Dan Pelbagai
Negatif
Beberapa Masalah Pepijat
9.2

Leave a Reply

Cerita
Bentuk
Grafik
Audio
Kandungan
Final Score