Ulasan Mini – Watch Dogs Legion

Nota Editor: Tangkapan skrin tidak memperlihatkan warna sebenar kerana permainan dimainkan dengan fungsi HDR.

Berbanding IP-IP lain oleh Ubisoft seperti Assassin’s Creed dan Far Cry, Watch Dogs adalah satu IP yang bagi saya Ubisoft masih mencari identiti untuknya, ataupun satu formula yang menjadi tarikan untuk siri ini. Melalui Watch Dogs Legion mereka cuba menyertakan satu perkara yang unik iaitu semua watak di dalam permainan boleh menjadi watak utama.

Ia adalah satu konsep yang menarik, tetapi pada awal pengumuman lagi saya mempunyai sedikit masalah dengannya dan apabila bermain sendiri permainan ini, saya boleh katakan perasaan saya tersebut tetap sekali. Saya akan terangkan lanjut mengenainya di bawah.

Watch Dogs Legion menjadi permainan pertama yang saya akan ulas menggunakan Xbox Series X, tetapi merasakan yang ia bukanlah permainan terbaik untuk betul-betul mengatakan yang kita sudah memasuki era konsol generasi baharu.

DeadSec Adalah Semua, Semua Adalah DeadSec

Permainan Watch Dog sebelum ini memfokuskan kepada satu watak utama iaitu Aiden Pearce untuk Watch Dogs 1 dan Marcus Holloway untuk Watch Dogs 2, manakala kumpulan DeadSec adalah sebahagian penceritaan sahaja. Watch Dogs: Legion, Ubisoft menjadikan DeadSec sebagai ‘watak’ utama dan tidak memfokuskan kepada mana-mana individu.

Sebaliknya, pemain akan bermula dengan satu watak pilihan awal dan kemudian dapat rekrut mana-mana NPC yang sedang berjalan di bandar untuk menyertai DeadSec, sekaligus dapat mengawal watak tersebut. Terdapat beberapa cara untuk rekrut, ada watak yang boleh secara terus, ada yang perlu melakukan misi dan ada yang hadir melalui penceritaan.

Setiap rekrut tersebut akan mempunyai kebolehan tersendiri, ada yang mempunyai kebolehan untuk menggunakan robot lebah, ada yang mempunyai kereta yang boleh disorok dan ada watak yang hadir dengan mempunyai senjata api tertentu (tidak boleh didapati melalui cara yang lain).

Kebolehan-kebolehan ini tidak eksklusif untuk satu watak sahaja, ia juga mungkin disertakan di watak-watak lain, pemain hanya perlu mencari di ratusan ataupun ribuan watak yang terdapat di bandar London tersebut. Bagi saya konsep ini adalah menerik tetapi tidak dilakukan dengan baik oleh Ubisoft yang membuatkan ia terasa seperti satu gimik sahaja.

Selain terasa seperti satu gimik, fungsi ini juga telah ketengahkan lagi dua masalah bagi permainan Watch Dogs dan juga permainan dunia terbuka. Pertama adalah Watch Dogs setakat ini tidak mempunyai penceritaan dan watak yang kukuh. Dengan membuang konsep watak utama, sebaliknya memfokuskan kepada DeadSec secara menyeluruh, ia membuatkan penceritaan lebih lemah.

Ini ditambah lagi, adegan penceritaan akan berlaku menggunakan watak yang sedang digunakan oleh pemain, ada masa penyampaian tersangat lemah membuatkan adegan-adegan tersebut tidak menyampaikan mesej penceritaan dengan baik.

Kedua adalah masalah untuk permainan dunia terbuka adalah apabila kita melihat kepada NPC, mereka kebiasaan direka secara generik. Di permainan dunia terbuka yang lain, perkara ini tidak sangat menjadi masalah kerana NPC berfungsi sebagai ‘hiasan’ sahaja, pengisi untuk sesuatu kawasan.

Berlainan bagi Watch Dogs: Legion yang membolehkan anda rekrut mana-mana NPC, dan ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk menjumpai rekrut berwajah sama dengan watak sudah berada di dalam pasukan anda. Saya rasa, jika ada pemain yang ingin membentuk satu pasukan yang setiap-nya berwajah sama ia tidak mengambil masa yang lama. Selain berwajah sama, rekaan watak juga sangat generik dan menjadikan ia bukan satu watak yang menarik untuk digunakan.

Disebabkan masalah ini, saya hanya menggunakan satu watak sahaja untuk penceritaan utama, dan watak-watak lain apabila ingin melakukan sesuatu yang memerlukan kebolehan mereka. Walaupun konsep “DeadSec Adalah Semua, Semua Adalah DeadSec” unik dan ada masanya menarik, tetapi saya lebih memilih untuk mereka mengekalkan penggunaan satu watak yang dicipta dengan lebih khusu dengan perwatakan yang lebih mendalam.

Satu Lagi Permainan Dunia Terbuka Ubisoft

Jika kita meletakkan konsep rekrut tersebut di tepi, Watch Dogs: Legion menyertakan bentuk permainan seperti mana permainan-permainan Watch Dogs sebelum ini, terutama permainan kedua. Namun, ia kini berada di bandar baharu iaitu London.

Bagi yang menyukai permainan sebelum ini, saya boleh katakan anda akan menyukai juga permainan ini. Saya yang secara peribadinya tidak mempunyai masalah untuk meluangkan masa berjam-berjam permainan dunia terbuka Ubisoft, sekadar merasakan ini adalah satu lagi permainan mereka dan terasa sama sahaja dengan sebelum ini.

Saya tidak mempunyai masalah untuk bermain-nya, tetapi pada masa sama tidak merasakan ia mempunyai keistimewaan ataupun kelainan untuk mengesyorkan kepada pemain-pemain yang lain.

Bagi yang tidak menyukai “template” oleh Ubisoft ini, walaupun ia menyertakan beberapa peralatan baharu, namun saya tidak merasakan ia mencukupi untuk menjadikan satu permainan yang lebih baharu ataupun yang lebih baik.

Bagi misi untuk penceritaan utama, ia akan memerlukan pemain untuk melakukan pelbagai segmen yang menarik, termasuk juga mengawal nano-dron yang memasuki satu papan litar pelayan. Bagi misi sampingan pula, ia memberikan penceritaan tambahan tetapi sangat biasa yang tidak memberi sebarang nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan.

Tambahan lagi, permainan ini tidak sangat memberi anda sebab untuk melakukan misi-misi sampingan, termasuk juga aktiviti sampingan kerana anda akan diberikan wang, yang hanya berguna untuk membeli baju sahaja. Jika anda tidak berminat mengenainya seperti saya, anda akan melakukan perkara sampingan sekadar untuk melakukannya sahaja.

Bagi saya, ia lebih menarik jika misi-misi atau aktiviti sampingan ini, lebih dikaitkan dengan konsep rekrut. Ini adalah kerana ia akan memberi sebab kepada pemain untuk melakukannya, kedua setiap rekrut terasa lebih bernilai kerana anda akan meluangkan masa yang lebih untuk mendapatkannya.

Bukan Gambaran Terbaik Untuk Konsol Generasi Baharu

Watch Dogs: Legion adalah antara permainan terawal yang menyokong fungsi ray-tracing, sesuatu yang dikatakan sebagai fungsi konsol generasi baharu. Namun, walaupun ia memberikan kualiti grafik yang lebih menawan, dengan pencahayaan serta pantulan yang lebih baik tetapi dengan dihadkan kepada 30FPS sahaja, ia bukanlah sesuatu yang bagi saya gambaran terbaik untuk konsol generasi baharu.

Tidak seperti beberapa permainan lain, Watch Dogs: Legion tidak hadir dengan pilihan tetapan grafik. Dengan kata lain, tiada cara untuk anda mendapatkan 60FPS ataupun menutup fungsi ray-tracing. Assassin’s Creed Valhalla menerima fungsi ini selepas kemaskini, dan saya berharap Ubisoft melakukan perkara yang sama bagi permainan ini.

Rekaan bandar adalah baik, saya mempunyai masa yang baik berjalan ke sana, ke sini sekadar untuk melihat bandar London. Tekstur yang digunakan juga mempunyai kualiti yang baik, walaupun jelas ada beberapa tempat yang secara jelas menggunakan tekstur dengan resolusi yang kecil, mungkin untuk memastikan tidak memberi kesan kepada prestasi permainan.

Seperti kritikan kami semasa mengulas Assassin’s Creed Valhalla, Watch Dogs: Legion juga mempunyai beberapa pepijat yang sangat mengganggu pengalaman saya bermain, walaupun mungkin tidak seteruk Valhalla. Pepijat utama adalah masalah fail simpanan.

Satu fungsi yang hadir di konsol generasi lepas lagi adalah jika anda tidak menutup permainan dan konsol secara terus dan sekadar menggunakan ‘sleep’, anda boleh memulakan semula daripada tempat anda berhenti tanpa masalah. Namun, Watch Dogs: Legion bagaikan tidak menyokong fungsi tersebut.

Ia akan sentiasa akan membawa anda ke paparan depan, menjadikan ia lebih teruk ada masa yang ia tidak akan menyimpan kemajuan anda bermain sebelum ini dan saya sudah hilang berjam-jam sesi permainan kerana masalah ini. Oleh itu, apa yang saya lakukan adalah setiap selesai melakukan misi, saya akan keluar ke menu depan untuk memaksa permainan menyimpan kemajuan (tiada simpanan secara manual). Walaupun ia berjaya mengelakkan saya kehilangan kemajuan, tetapi ia masih satu perkara yang menjengkelkan.

Ubisoft mengatakan yang mereka sudah menyedari mengenai masalah ini, dan sedang cuba untuk menyelesaikannya. Oleh itu, saya berharap semasa anda membaca ulasan ini, ia sudah diselesaikan. Sebelum itu, pastikan anda berhati-hati semasa bermain agar tidak bazir sejam ataupun lebih sesi permainan.

Masalah kedua pula adalah pada peringkat akhir permainan selepas saya bermain lebih 20 jam tanpa masalah ini, secara tiba-tiba kadar kelancaran menjadi sangat teruk. Tidak kira apa yang saya lakukan, sama ada bertempur, ataupun berjalan di bandar termasuk juga berada di dalam bangunan yang tidak memerlukan penggunaan kuasa yang banyak. Saya sudah cuba menutup permainan, menutup sepenuhnya konsol dan juga memasang semula permainan tetapi ia masih tidak dapat diselesaikan.

Berbeza dengan masalah fail simpanan, Ubisoft tidak mengatakan ia adalah satu masalah, saya juga cuba mencari orang yang mempunyai masalah ini, dan boleh katakan ia sangat kecil, dan beberapa yang mempunyai masalah sama, berjaya menyelesaikannya dengan memasang semula permainan ini. Satu cara yang saya sudah cuba tetapi tidak memberi keputusan yang sama.


Dengan lambakan permainan dunia terbuka dikeluarkan, termasuk juga permainan-permainan ‘live service’, Watch Dogs: Legion bagi saya bukanlah keutamaan untuk anda cuba. Walaupun cuba membawa sesuatu yang unik melalui konsep rekrut, akan tetapi dengan rekaan yang tidak kemas, ia menjadi sekadar gimik sahaja. Ini ditambah lagi, ia juga bukan satu permainan yang baik untuk anda melihat potensi sebenar konsol generasi baharu.

Jika anda pengikut setia siri permainan Watch Dogs, apa yang akan dapat adalah sepertimana anda peroleh daripada permainan-permainan sebelum ini. Ia tidak menambah apa-apa yang bermakna untuk menjadikan ia berlainan, bahkan menjadi lebih kurang menarik kerana kekurangan penceritaan serta perwatakan yang menarik.

Watch Dogs: Legion
Harga: RM249
Permainan seterusnya bagi siri Watch Dogs: Legion. Ia tidak membawa perubahan yang ketara selain daripada keupayaan untuk rekrut semua menjadi watak. Namun, fungsi tersebut menjadi sekadar gimik dan kurang menarik.
Positif
Bandar London Yang Direka Dengan Teliti
Bentuk Permainan Sebaik Siri Sebelum Ini
Negatif
Fungsi Rekrut Sekadar Gimik Dan Membawa Lebih Banyak Masalah
Kualiti Grafik Tidak Seperti Diharapkan Untuk Generasi Baharu
7

Sohor Kini