Dengan pelancaran kandungan multi-pemain Legends, permainan Ghost Of Tsushima sememangnya mempunyai lebih ramai peminat dengan bentuk permainan yang lebih meluas bukan sahaja sekadar bentuk penceritaan solo.
Terkini, untuk menyertakan lebih banyak kandungan, Sucker Punch Production mengumumkan pelbagai lagi kandungan baharu untuk permainan tersebut di mana bermula minggu ini sehingga 15 Januari 2021 ini, pemain boleh dapatkan pelbagai kostum daripada watak-watak ikonik PlayStation, secara percuma.
Menurut Sucker Punch Production, kostum yang disediakan adalah kostum bertemakan God Of War, Horizon Zero Dawn, Shadow Of The Colossus dan juga Bloodborne di mana untuk mendapatkannya anda hanya perlu menyelesaikan bentuk penceritaan ataupun mod pertahanan misi “Survival” untuk setiap kelas watak.
Pada masa yang sama, kemaskini 1.18 untuk permainan ini juga akan menyertakan sokongan untuk pencarian parti pemain dengan lebih mudah jika pemain ingin bermain misi Raid ketika bermain multi-pemain secara dalam talian. Selain itu kemaskini tersebut juga menyertakan pelbagai kemaskini pembaikan, keseimbangan permainan dan sebagainya.
Ghost Of Tsushima telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4 pada bulan Julai lepas dan anda juga boleh baca ulasan kami melalui pautan ini; Ulasan Ghost Of Tsushima – Kembali Ke Zaman Feudal Jepun Dengan Permainan Dunia Terbuka Yang Menawan.