Hari demi hari, semakin banyak berita mengenai Spider-Man 3 muncul di arena web. Filem ini mungkin akan menjadi gempak seakan Avengers atau boleh juga dijadikan sebagai filem aksi-nyata Spider-Man Into The Spider-Verse. Ini kerana, filem ini dilaporkan akan menyertakan ramai pelakon-pelakon dari filem lama Spider-Man.

Terkini, Charlie Cox dilaporkan akan kembali sebagai Daredevil dalam Spider-Man 3. Charlie Cox adalah seorang pelakon yang hebat, nama beliau naik selepas memainkan watak Daredevil/Matt Murdock dalam siri TV Marvel di Netflix. Baru-baru ini, kontra Netflix dengan Charlie Cox baru sahaja tamat dan Disney kembali mempunyai hak menggunakan watak ini di dalam filem atau siri TV mereka. Ramai yang merayu di Internet, untuk selamatkan Daredevil. Ramai juga ingin Charlie Cox kekal sahaja sebagai Daredevil dan mengharapkan beliau akan kembali dalam dunia MCU.

Seperti yang semua sedia maklum, Marvel Netflix sebenarnya berlaku di dunia MCU. Tetapi, Disney seakan tidak mengaku walaupun dalam beberapa episod ada sahaja klu atau petanda mengaitkan siri TV dan dunia MCU.

Terkini, hanya seorang sahaja yang belum dengar khabar untuk membintangi filem Spider-Man 3. Pelakon itu adalah Vincent D’Onofrio. Beliau adalah Kingpin dalam siri TV Daredevil dan ramai juga inginkan beliau kembali beraksi untuk filem MCU.

Dengan filem sekuel Dr. Strange akan datang berjudul Multiverse of Madness, tidak terkejut jika Disney dan Marvel Studios ingin mula tunjukkan dalam dunia filem mengenai dunia-dunia lain MCU sebagaimana siri TV Arrowverse telah buktikan yang ianya boleh berjaya. Dengan penglibatan Benedict Cumberbatch sebagai Dr. Strange dalam filem Spider-Man 3 dan akan memainkan peranan penting, tidak terkejut jika Spider-Man 3 akan memulakan rentas-dunia sebelum ia bersambung dalam filem Dr. Strange.

Pelakon lain dilaporkan akan kembali adalah Jamie Foxx sebagai Electro. Kali ini Electro dilaporkan tidak akan berwarna biru, yang mana memberi petanda ia mungkin dari dunia The Amazing Spider-Man yang lain atau boleh jadi sebenarnya Electro tidak mati dan kini sudah naik taraf. Andrew Garfield turut dikhabarkan akan kembali beraksi sebagai Spider-Man dalam filem Spider-Man 3.

Seterusnya adalah Alfred Molina yang akan kembali sebagai Doc Ock/Dr. Otto Octavius. Alfred Molina kali terakhir memainkan watak ini adalah dalam filem Spider-Man 2 lakonan Toby Maguire. Ini juga memberi petanda kuat yang kesemua pelakon Spider-Man akan berganding bahu untuk menentang kesemua penjahat bersama-sama.

Sony sendiri sebelum ini mengesahkan yang apa jua boleh berlaku dalam dunia Marvel dan salah satu daripadanya adalah gabungan ketiga-tiga Spider-Man dalam satu filem. Berita ini disampaikan dalam bentuk video yang mana kini sudah dipadam.

Sohor Kini