Skip to main content

Malam tadi, Devolver Digital iaitu salah satu penerbit permainan yang terkenal dengan acara persidangan dengan penuh lawak jenaka sekali lagi kembali untuk tahun ini di mana mereka mengadakan acara khas Devolver Direct 2020 di mana ia memperlihatkan pelbagai permainan-permainan yang akan dilancarkan oleh mereka.

Semestinya acara tersebut memperlihatkan sambungan penceritaan berkenaan Nina Struthers di mana kami mengesyorkan anda untuk melihatnya sendiri di saluran rasmi Youtube Devolver Digital.

Namun bagi anda yang ingin melihat segala pengumuman yang diumumkan ketika acara Devolver Direct 2020, berikut adalah senarai pengumuman yang diumumkan oleh mereka ketika acara tersebut.

Shadow Warrior 3

Permainan pertama yang diperlihatkan adalah Shadow Warrior 3 di mana seperti yang dijanjikan oleh mereka sebelum ini, bentuk permainannya akhirnya diperlihatkan secara rasmi.

Kali ini, pemain akan sekali lagi bermain sebagai Lo Wang di mana pemain akan mengembara di dalam dunia Neo Feudal Jepun dan menariknya, permainan ini akan menyertakan pelbagai bentuk baharu seperti cangkuk yang pemain boleh bergerak dengan pantas dan pada masa yang sama pelbagai jenis senjata.

Menurut Devolver Digital, permainan ini akan dilancarkan di PC sekitar tahun hadapan.

Fall Guys: Ultimate Knockout

Seterusnya adalah Fall Guys: Ultimate Knockout di mana ia merupakan permainan parti yang meletakkan 60 pemain untuk melengkapkan objektif di mana hanya seorang pemain sahaja yang akan tinggal pada penghujung permainan tersebut.

Menariknya, permainan ini sering diperkatakan seakan permainan realiti TV Istana Takeshi ataupun Ninja Warrior di mana pemain perlu bergerak dan berlumba sesama sendiri dengan pelbagai halangan untuk ke penamat.

Fall Guys: Ultimate Knockout akan dilancarkan di PlayStation 4 dan PC melalui Steam pada 4 Ogos 2020 ini.

Carrion

Carrion pula adalah permainan seram yang sebaliknya memfokuskan pemain untuk bermain sebagai makhluk raksasa dan menyerang manusia. Permainan ini diumumkan tahun lepas ketika acara E3 2019 dan kini ia disahkan akan tiba di konsol Xbox One, Switch dan juga PC melalui Steam pada 23 Julai 2020 ini.

Menariknya, ketika acara tersebut, Phil Spencer Ketua Xbox dari Microsoft juga menyatakan yang mana permainan ini turut akan tiba di Xbox Game Pass di PC dan juga konsol apabila ia dilancarkan kelak.

Olija

Permainan seterusnya merupakan permainan 2D aksi pengembaraan yang dibangunkan buat konsol Switch dan Steam iaitu Olija. Buat masa ini masih tiada tarikh pelancaran yang diumumkan, namun ia dinyatakan akan tiba sekitar tahun ini.

Tidak banyak informasi yang dikongsi, namun berdasarkan video diatas, ia kelihatan memfokuskan pemain untuk mengembara di dalam dunia yang penuh pelbagai jenis musuh raksasa dan pada masa yang sama pemain dilengkapi senjata tempuling yang sangat berkuasa dan juga digunakan untuk pemain bergerak di dalam permainan tersebut.

Serious Sam 4

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Serious Sam 4 akan dilancarkan Ogos ini di PC dan Stadia dan melalui acara Devolver Direct 2020 hari ini, Croteam memperlihatkan video bentuk permainan baharu.

Tidak banyak yang dikongsikan selain bentuk permainan tersebut dan seperti yang kami laporkan, pelancaran permainan ini di konsol akan tiba sekitar 2021 selepas tamat tarikh eksklusif di Stadia.

Devolverland Expo

Terakhir ketika acara Devolver Direct 2020 sebentar tadi adalah pengumuman satu permainan percuma yang dinamakan Devolverland Expo di mana melaluinya, pemain akan mengembara di dalam lokasi pusat konvensyen seakan E3, namun ia akan memperagakan pelbagai permainan-permainan keluaran Devolver Digital.

Menurut kenyataan rasmi Devolver Digital, Devolverland Expo merupakan permainan sudut pandang pertama simulasi pemasaran yang bertempatkan di pusat konvensyen yang secara misterinya dibatalkan. Pemain akan memasuki pusat tersebut untuk dapatkan pelbagai kandungan permainan video seperti demo permainan, video acah dan pelbagai rahsia yang pemain boleh terokai.

Bagi anda yang berminat, permainan ini dilancarkan secara percuma di PC melalui Steam.


Menariknya, ketika acara tersebut, Devolver Digital juga menyertakan pelbagai tetamu khas seperti Phil Spencer dari Xbox, Shuhei Yoshida dari Sony dan Geoff Keighley di mana mereka berkongsi beberapa pengumuman berkenaan permainan yang akan tiba di PlayStation 4 dan Xbox One.

Selain itu, Suda51 dari Grasshopper Manufacture juga memperlihatkan satu paparan skrin permainan No More Heroes 3 yang akan tiba di Switch di mana beliau sering melakukan jenaka berkenaannya seperti di acara New Game Expo sebelum ini.

Semestinya acara tersebut memperlihatkan pelbagai lagi gelagat Devolver Digital yang tidak akan kami kongsikan secara terperinci. Namun anda boleh menontonnya di sini.

Leave a Reply