Final Fantasy VII Remake dan Resident Evil 3 semestinya salah satu permainan terbesar yang dilancarkan awal April ini di mana kami sebelum ini telah pun mengulaskan kedua-dua permainan tersebut.

Meskipun begitu, mungkin ramai tidak mengetahui berkenaan pembangunan permainan tersebut yang mana akarnya kita tahu ia dibangunkan oleh Square-Enix dan Capcom.

Akan tetapi, sebahagian daripada pasukan pembangun buat kedua-dua permainan tersebut sebenarnya dibangunkan di Malaysia, iaitu di Lemon Sky Studios, satu studio yang tidak asing lagi dengan sejarah syarikat pembangunan permainan tempatan yang sering kami laporkan.

Seperti yang dikongsikan di atas, Lemon Sky Studios dilaporkan terlibat dengan kedua-dua permainan tersebut yang mana bagi permainan Resident Evil 3, mereka terlibat akan pembangunan aset bagi watak dan persekitaran bagi permainan multi-pemain Resident Evil Resistance yang disertakan secara bersama Resident Evil 3. Penglibatan mereka ini juga adalah hasil bersama NeoBards Entertainment yang mana mereka turut terlibat dengan pembangunan permainan tersebut.

Manakala bagi Final Fantasy VII Remake pula, mereka juga terlibat untuk pembangunan aset 3 dimensi buat permainan tersebut.

Sememangnya sejarah Lemon Sky Studios bersama permainan oleh Square-Enix dan Capcom sangat teguh sekali di mana sebelum ini, mereka juga terlibat dengan pembangunan permainan Final Fantasy XIV dan juga Teppen bersama Dead Rising 4.

Lemon Sky Studios semestinya salah satu syarikat pembangun permainan tempatan yang mula mendapat nama setelah penglibatan mereka untuk beberapa permainan-permainan utama oleh penerbit global seperti Marvel’s Spider-Man, Uncharted: The Lost Legacy, Gears 5 dan semestinya permainan akan datang iaitu Command & Conquer Remastered Collection yang bakal tiba Jun ini.

Dengan kesempatan ini, kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah buat Lemon Sky Studios atas penglibatan mereka terhadap dua permainan bertaraf AAA ini.

Bagi anda yang ingin mengetahui lanjut berkenaan Lemon Sky Studios, anda boleh ke laman rasmi studio tersebut ataupun melayari Facebook rasmi mereka.

Sohor Kini