Secara jujur, saya tidak pernah mencuba permainan Extraction Shooter sebelum ini, tetapi saya sudah meluangkan masa agak lama menonton penstrimer seperti Shroud, The BurntPeanut untuk mengetahui apa yang menarik mengenai genre ini. Secara teorinya, anda masuk ke dalam perlawanan, mengutip loot, menembak apa sahaja yang bergerak, dan cuba melarikan diri sebelum kehilangan segala-galanya di dalam backpack. Tetapi, memahami konsep tersebut dan benar-benar terus hidup di dalam Marathon, cubaan oleh Bungie untuk genre ini, adalah dua pengalaman yang sangat berbeza. Sebagai pemain yang baru pertama kali terjun ke dalam genre ini dan bergantung sepenuhnya kepada sistem random matchmaking berbanding bermain bersama skuad rakan, Marathon merupakan satu ujian kelangsungan hidup yang menakutkan namun sangat mengasyikkan.

Sepanjang saya mencuba permainan ini, secara majoritinya saya bermain dengan menggunakan sistem matchmaking bersama dengan dua lagi pemain secara rawak, saya juga memilih untuk tidak menggunakan perbualan voice chat, saya lebih kepada menggunakan text dan juga ping yang tersedia di dalam pemrainan ini. Oleh itu, pengalaman saya bukan paling optimun untuk melalui permainan ini kerana struktur permainan ini menuntut kerjasama yang tinggi. Jadi, apabila anda digandingkan melalui random fill, ancaman terbesar selalunya berpunca daripada ketiadaan sinergi sesama pemain. Kemajuan dalam permainan ini bergantung pada sistem contract untuk pelbagai faction, tetapi pemain hanya boleh menjejaki satu kontrak pada satu masa. Akibatnya, objektif kami sering bercanggah. Saya mungkin berdegil mahu menggodam terminal, manakala seorang rakan sepasukan sibuk memburu pengawal robot, dan seorang lagi mencari scrap metal tertentu. Ketiadaan komunikasi dan tolak ansur menyebabkan kami berpecah, terasing, dan akhirnya menjadi sasaran mudah musuh.

Memandangkan tindakan terjun ke dalam perlawanan tanpa strategi yang kukuh sering membawa padah, saya pantas jatuh cinta dengan pilihan terjun tanpa risiko yang disediakan. Saya kerap menggunakan kelas robot “Rook” Shell yang dijatuhkan pada pertengahan perlawanan untuk melakukan scavenge, serta “Sponsored Kits” yang memberikan loadout asas secara percuma. Ciri ini amat membantu untuk membina semula simpanan saya selepas satu pusingan malang melenyapkan segala gear terbaik saya. Namun, di sebalik semua kekacauan ini, ada kalanya saya bertuah digandingkan dengan pemain rawak yang secara semula jadi bergerak sepakat, melakukan ping pada kedudukan musuh, dan saling melindungi tanpa perlu mengucapkan sepatah kata pun. Ia memberikan satu kepuasan ajaib yang sukar digambarkan.

Selain Rook, permainan ini juga menyertakan pelbagai jenis Shell lain yang mempunyai fungsi dan kelebihan situasi yang tersendiri. “Recon” dilengkapi keupayaan untuk menjejaki musuh di sebalik dinding serta melepaskan spider-bot letupan, menjadikannya kelas terbaik untuk mengumpul maklumat dan memantau pergerakan musuh. “Thief” pula mempunyai grappling hook dan dron untuk mencuri loot lawan dari jarak jauh, sangat ideal apabila anda mahu merampas barang berharga dengan selamat tanpa mendedahkan diri. Jika situasi memerlukan taktik licik, “Assassin” membolehkan watak menjadi halimunan serta mengeluarkan asap, yang sangat berkesan untuk melarikan diri dari kepungan atau melakukan serangan hendap. Bagi peranan sokongan, “Triage” membolehkan anda menyembuhkan dan menghidupkan rakan sepasukan dari jauh, satu kelebihan yang amat kritikal untuk mengelakkan pasukan daripada tersingkir sepenuhnya. Untuk gaya permainan agresif, “Vandal” sangat tangkas dengan pecutan pantas dan pelancar bom tangan terbina dalam, memudahkannya untuk memaksa musuh keluar dari tempat berlindung. Akhir sekali, “Destroyer” bertindak sebagai benteng pertahanan dengan perisai tenaga serta roket pemusnah, menjadikannya kelas paling cemerlang apabila pasukan perlu bertahan dan mengawal zon pengekstrakan.

Jika anda boleh memejamkan mata terhadap sistemnya yang kejam apabila gear anda dirampas, Bungie sebenarnya telah membina beberapa sistem hebat yang menjadikan segala keperitan itu berbaloi. Reka bentuk audionya memang bertaraf dunia. Anda tidak memerlukan pasukan yang sentiasa berkomunikasi jika anda peka dengan persekitaran, kerana petunjuk audionya sangat cemerlang. Saya boleh membezakan bunyi kelentang-kelentung logam berat dari rondaan robot UESC dengan derapan langkah kaki pemain manusia yang lebih pantas dan ringan. Malah, bunyi penutup saluran udara yang bergetar di bilik sebelah sudah cukup untuk membuatkan saya sedar dengan keadaan semasa.

Sistem kemajuan faction juga sangat membantu. Walaupun skuad saya tumpas dan saya kehilangan senjata, game ini masih memberikan ganjaran reputation. Peningkatan tahap bersama pengendali korporat yang pelik dan menyeramkan, seperti AI berbentuk ulat sutera gergasi akan sentiasa membekalkan care packages secara percuma. Ia sedikit sebanyak melegakan kekecewaan akibat kegagalan melakukan extraction. Dari segi gunplay, ia adalah sebuah karya Bungie, jadi kualitinya sudah dijangka. Tembakannya terasa padu, beritma, dan setiap senjata mempunyai perwatakan yang tersendiri. Walaupun hanya menggunakan senjata starter, impaknya tetap memuaskan. Time-to-kill (TTK) yang sangat pantas bermakna satu serangan hendap yang bijak sudah cukup untuk menumbangkan pemain dengan gear yang jauh lebih hebat daripada saya.

Walaupun padat dengan kelebihan, terdapat beberapa isu ketara yang menjadikan pembelajaran saya untuk genre dan permainan sedikit sukar, tambahan lagi saya pemain bukan sahaja baharu mencuba Marathon tetapi juga mencuba genre ini. Bagi saya antara ‘musuh utama’ permainan ini ialah user interface (UI) walaupun saya sangat menyukai setiap aesthetics arahan seni untuknya. Menu yang disediakan agak berselerak dan dipenuhi dengan ikon generik yang kelihatan serupa. Untuk memahami fungsi weapon mod, saya perlu meletakkan kursor ke atasnya dan membaca satu blok teks. Ini adalah satu mimpi ngeri apabila anda perlu menukar gear dengan pantas di tengah-tengah pertempuran. Saya pasti selepas anda meluangkan masa lebih lama, ia terasa seperti satu perkara yang mudah tetapi untuk permulaan, saya perlu banyak bersabar.

Selain itu, walaupun sistem tembakannya lancar, pergerakan wataknya boleh mendatangkan kekecewaan. Saya sangat mudah tersangkut pada objek persekitaran ketika cuba memanjat tebing dalam keadaan cemas untuk melarikan diri. Jika digabungkan dengan meter stamina yang sangat terhad serta fall damage yang tinggi, saya sering kali mati hanya kerana watak saya gagal memanjat dinding. Perkara seterusnya yang akan menjadi baru untuk saya adalah seasonal wipe, melalui sistem ini segala barangan yang saya kumpul sebelum ini akan hilang dan akan bermula semula. Bagi pemain yang ingin terus meluangkan masa, ia adalah perkara baik, tetapi bagi saya yang mungkin bermain secara tidak kerap ia adalah perkara yang “berat” untuk dilalui tetapi mungkin menjadi satu lagi sebab saya menyukai Rook walaupun tidak dapat melakukan kontrak.

Bagi kandungan endgame, Marathon menyediakan satu cabaran yang bagi saya, ibarat tembok besar yang sangat menakutkan untuk pemain random fill. Tarikan utamanya adalah Cryo Archive, sebuah peta ala-raid yang hanya dibuka pada hujung minggu (4 hari bermula hari Khamis) untuk pemain tahap 25 ke atas dan sudah melakukan kontrak untuk setiap Faction. Syarat penyertaannya sangat high-stake, anda diwajibkan membawa gear bernilai sekurang-kurangnya 5,000 kredit sebagai “wang taruhan”, dan dilarang sama sekali menggunakan kelas percuma yang selamat seperti “Rook” atau “Sponsored Kits”. Lebih merumitkan, peta ini memaksa anda bermain dalam pasukan bertiga untuk menyelesaikan teka-teki, mencari kod keselamatan, dan melawan bos yang sangat sukar. Terjun ke dalam mod ini bersama rakan sepasukan rawak tanpa komunikasi lisan ibarat menempah maut secara sukarela. Selain itu, terdapat juga Ranked Mode yang menuntut pemain mempertaruhkan kelengkapan bernilai tinggi demi memburu ganjaran kosmetik eksklusif. Jika anda inginkan lebih cabaran, kedua-dua ini adalah mod yang sangat baik tersedia untuk anda, tetapi ia sesuatu yang saya buat masa ini tidak meluangkan masa yang banyak, mungkin sehingga dapat mencari rakan untuk bermain bersama.

Secara keseluruhannya, pada pandangan pertama, Marathon kelihatan sukar untuk didekati, tidak memaafkan kesilapan, dan agak menyesakkan dari segi visual. Jika anda terjun ke dalam permainan ini menggunakan random matchmaking, bersedialah untuk berhadapan dengan banyak kematian yang mengecewakan dan backpack yang kosong sementara anda dan rakan sepasukan cuba mencari rentak untuk bekerjasama. Walau bagaimanapun, di sebalik UI yang lemah dan pergerakan yang adakalanya kaku, core loop permainannya tidak dapat dinafikan kehebatannya. Keterujaan apabila berjaya memperdayakan skuad musuh di lorong yang gelap, merampas loot hasil titik peluh mereka, dan berjaya melarikan diri ke extraction zone adalah satu kepuasan tertinggi yang mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi genre ini, tetapi sesuatu yang saya merasai buat pertama kali. Ia adalah satu genre yang kejam, tetapi Bungie telah berjaya menjadikan ‘penderitaan’ ini sangat mengasyikkan. Jika anda seperti saya baru ingin mengenali genre ini, Marathon satu permainan yang saya boleh cadangkan untuk anda bermula.

Marathon
Satu permainan yang memerlukan kesabaran yang tinggi, tambahan lagi pemain yang baharu tetapi selepas mendalaminya loop permainan ini akan menjadi menarik, ditambah lagi dengan gunplay yang sangat berkualiti bersama dengan sistem audio yang berkesan, ia satu permainan yang memuaskan untuk mati, dan mati berkali-kali sehingga mendapat satu kemenangan yang memuaskan.
Positif
Gunplay terasa sangat baik
Audio berkualiti tinggi
Aestetik permainan yang menawan
Negatif
UI sangat mengelirukan untuk yang baharu
Melainkan mendapat rakan sepasukan yang baik, sesi boleh menjadi mimpi ngeri
8

Leave a Reply

Final Score