Resident Evil 2 ialah salah satu permainan pertahanan hidup seram yang sangat terkenal 20 tahun lepas di konsol Playstation 1. Permainan tersebut mendapat pelbagai pujian dan diminati oleh ramai peminat dengan bentuk dua penceritaan utama watak Leon Kennedy dan Claire Redfield.

Pada 2015 lepas, Yoshiaki Hirabayashi iaitu penerbit dari Capcom mengumumkan yang mana mereka akan mengolah semula permainan Resident Evil 2 ke konsol generasi kini, sekaligus ramai peminat menanti permainan tersebut terutamanya dengan penggunaan enjin permainan baharu oleh Capcom iaitu RE Engine.

Selang 4 tahun kemudian pada 25 Januari 2019, Capcom akhirnya melancarkan secara rasmi permainan Resident Evil 2 yang diolahkan semula di konsol Playstation 4, Xbox One dan juga PC melalui Steam. Namun adakah permainan ini adalah permainan yang menarik walaupun ianya diolah semula daripada permainan yang berusia lebih dari 20 tahun? Ini adalah ulasan saya buat permainan Resident Evil 2.

Cerita

Secara asasnya, Resident Evil 2 yang diolah semula ini sememangnya mempunyai penceritaan yang sama dengan permainan asal Resident Evil 2 yang dilancarkan pada tahun 1998 lepas. Sekali lagi permainan ini memfokuskan dua watak utama iaitu Leon dan Claire dimana Leon tiba di bandaraya Raccoon City sebagai hari pertama beliau sebagai anggota polis manakala Claire pula mencari abang beliau, iaitu Chris Redfield.

Pada permulaan permainan ini, pemain diberi pilihan untuk memilih sama ada untuk bermain sebagai Leon ataupun Claire dimana kedua-dua penceritaannya sedikit sebanyak adalah sama antara satu sama lain. Namun, seperti permainan asal Resident Evil 2, watak-watak yang pemain akan temui akan berbeza sedikit dimana Leon akan bertemu dengan watak Ada Wong, manakala Claire akan bertemu dengan watak Sherry Birkin.

Namun, secara asas penceritaan utamanya, Capcom tidak langsung mengubah sebarang plot-plot penting. Ini sekaligus pada pendapat saya merupakan satu pilihan Capcom yang sangat bagus. Bukan sahaja tindakan ini menghormati permainan asal Resident Evil 2, malah dengan berkembangnya teknologi visual grafik terkini, penceritaan Resident Evil 2 boleh diperkembangkan lagi dengan adegan-adegan yang lebih terperinci.

Perkara tersebut membuatkan kenapa saya sangat menyukai permainan ini kerana segala kandungan-kandungan asal permainan Resident Evil 2 dihasilkan dengan sangat terperinci. Segala perkara dan rujukkan kecil seperti filem gambar yang terdapat di laci meja Albert Wesker, banting selamat datang Leon dan sebagainya dihasilkan dengan baik seolah mencerminkan permainan yang dilancarkan 20 tahun lepas.

Tambahan itu, Capcom juga mengembangkan lagi permainan ini dengan memberi kedalaman dan adegan tambahan buat watak Marvin Branagh, iaitu watak leftenan di balai polis Raccoon City dimana melalui permainan asal, pemain hanya menjumpai beliau seketika sahaja, namun melalui permainan Resident Evil terkini, watak beliau adalah lebih penting dan interaksi watak beliau antara Leon dan Claire lebih mendalam.

Walaupun begitu, terdapat seperkara yang pada pendapat saya agak menjengkelkan dari segi penceritaan iaitu jika pemain menyelesaikan salah satu senario pertama untuk sesuatu watak, pemain akan menyah-kunci senario B ataupun melalui permainan ini, “2nd Run” dimana pemain berupaya untuk menggunakan watak sebalik daripada pilihan pertama pemain. Contohnya jika pemain menyelesaikan senario pertama watak Leon, senario 2nd Run adalah watak Claire dimana pemain berupaya untuk bermain dari sudut pandangan watak tersebut ketika pemain bermain watak Leon di senario pertama.

Namun, senario ini agak pelik kerana terdapat beberapa lokasi dan pertempuran bersama ketua musuh adalah sama dengan senario pertama yang dimainkan oleh saya. Contohnya ketika bertempur salah satu ketua musuh, saya bertempur di satu lokasi bawah tanah yang mana ianya kemudian telah dimusnahkan oleh ketua musuh tersebut. Namun, pada senario 2nd Run, saya masih lagi perlu bertempur dengan ketua musuh tersebut di lokasi yang sama dan keadaan lokasi tersebut seolah tidak dimusnahkan daripada senario pertama yang saya mainkan. Ini membuatkan seolah ketua musuh tersebut berulangan dan pemain akan bertempur mereka setiap senario permainan.

Saya akui, bentuk ini adalah sama dengan bentuk permainan asal untuk Resident Evil 2 yang dilancarkan 20 tahun lepas dan terdapat juga perbezaan dari segi penyelesaian tekaria dan lokasi musuh lain. Namun, ianya agak pelik memandangkan ianya seolah meletakkan keadaan watak dan ketua musuh tersebut tidak berlaku dalam masa yang sama untuk Leon dan Claire.

Akan tetapi, ini hanyalah sebuah kritikan kecil sahaja dari segi bentuk penceritaan kerana melalui bentuk permainan, kedua-dua senario pertama dan 2nd Run dimainkan dengan bentuk yang berbeza termasuklah senjata dan tekaria. Namun perkara ini akan saya terangkan melalui kawalan permainan dibawah.

Grafik

Tidak dapat dinafikan enjin permainan RE Engine merupakan enjin permainan terbaik oleh Capcom dari segi visual grafik. Segala visual yang dipaparkan adalah sangat foto realistik dan hasil kualiti model, tekstur dan juga keganasan adalah sangat menggelikan. Aspek tersebut sememangnya adalah satu perkara yang sangat positif oleh Capcom dan pada pendapat saya Resident Evil 2 adalah visual terbaik untuk siri permainan Resident Evil setakat ini.

Bahkan itu, seperkara yang saya perlu puji adalah kualiti pencahayaan yang terdapat di dalam permainan ini adalah sempurna. Saya tidak bermaksud untuk berlebih-lebihan, namun tahap kualiti pencahayaan ini adalah kualiti terbaik yang pernah saya alami bahkan setaraf dengan kualiti filem berproduksi tinggi.

Atas sebab permainan ini bertempatkan ketika malam, segala pencahayaan gelap, bayang-bayang hasil daripada lampu ataupun api, kesemuanya dipaparkan dengan sempurna. Tepat dengan tema permainan ini, iaitu permainan seram, hasil kualiti pencahayaan tersebut membuatkan permainan ini sangat seram untuk dimainkan. Ketika pemain berada di dalam balai polis Raccoon City ataupun berada di ruangan yang gelap, dengan mengharapkan satu sahaja lampu suluh, permainan ini berjaya membuatkan saya berasa terkurung seolah memberi kesan klaustrofobia terhadap saya.

Dari segi prestasi, saya sendiri bermain permainan ini di konsol Playstation 4 Pro, sekaligus visual grafik resolusi 4k dimainkan dengan baik tanpa sebarang kecacatan yang melampau. Selain itu, saya juga berpeluang untuk mencuba permainan ini di PC dan apa yang sangat sukai adalah permainan ini sendiri mempunyai pelbagai tetapan visual yang sangat mudah untuk ditetapkan. Ini kerana, di bawah tetapan tersebut, Capcom menyediakan satu bentuk pratonton di bawahnya sekaligus memudahkan pemain untuk melihat kualiti visual grafik secara serta merta.

Audio

Audio sememangnya merupakan satu aspek yang sangat penting untuk permainan yang seram kerana atmosfera ngeri adalah memainkan peranan utama untuk diterjemahkan melalui muzik dan juga kesan bunyian. Melalui Resident Evil 2, Capcom berjaya menghasilkan satu pengalaman yang sangat menyeramkan buat saya.

Ini kerana kesan-kesan bunyi yang dihasilkan adalah sangat mengerikan. Contohnya seperti saat dimana pemain berjalan di laluan yang kosong, dengan bunyi-bunyian seperti zombi di luar tingkap ataupun pergerakan di atas siling dan sebagainya, kesemuanya dihasilkan dengan kualiti yang sangat memberangsangkan.

Selain itu, saat ketika pemain dikejar oleh Tyrant ataupun ketika bertempur juga diterjemahkan dengan baik sekali dari segi audio. Muzik-muzik cemas yang dimainkan dicampur dengan bentuk kualiti kesan audio efek juga menambahkan lagi satu pengalaman yang sangat mengerikan buat saya sehingga memberi saya trauma jika saya berada di dalam bilik yang gelap dan sempit.

Tambahan itu seperkara yang saya sangat sukai adalah kualiti suara latar yang dihasilkan oleh pelakon-pelakon di dalam permainan ini adalah sangat berkualiti. Bukan sahaja setiap nada yang dilakonkan memperlihatkan ekspresi riak wajah permainan tersebut, malah saat-saat ketika pemain berlegar di ruangan jalanan dan mendengar watak di dalam permainan tersebut cuba untuk memberi semangat terhadap mereka sendiri, menunjukkan bahawa permainan ini berasa sangat nyata sekali.

Seperkara lagi yang saya sangat menyukai permainan ini adalah Capcom juga menyertakan bunyi efek asal permainan Resident Evil 2 seperti sebutan “Resident Evil 2” ketika permulaan permainan dan juga kesan audio efek ketika berada di menu permainan.

Namun, dukacitanya bunyi efek asal ini perlu dibeli secara berasingan dan pada pendapat saya Capcom sepatutnya menyediakan secara bersama. Walaupun begitu, memandangkan ianya hanyalah berharga RM12, saya sendiri tidaklah begitu kisah untuk membelinya dan menikmati audio seakan permainan asal Resident Evil 2.

Kawalan

Sememangnya perkara utama yang berbeza dengan permainan asal Resident Evil 2 yang dilancarkan 20 tahun lepas dengan permainan Resident Evil 2 yang diolah semula ini adalah kawalan dan bentuk permainannya. Bagi anda yang pernah bermain permainan asal, ianya berbentuk seakan kawalan seperti kawalan kereta kebal dan bentuk kamera tetap.

Untuk permainan yang berusia 20 tahun, bentuk tersebut adalah sesuatu yang biasa kerana ianya adalah disebabkan had-had konsol dan sistem permainan tersebut di Playstation 1 pada tahun 1998.

Akan tetapi, melalui permainan Resident Evil 2 yang diolahkan semula ini, Capcom menukar bentuk kamera yang mana kini ianya adalah seakan bentuk penembak pandang ketiga, seperti mana yang mereka memperkenalkannya di Resident Evil 4 yang dilancarkan pada 2005 lepas. Menariknya juga, Capcom kali ini tidak menggunakan bentuk pandang pertama yang mereka hasilkan pada tahun 2017 lepas buat Resident Evil 7.

Bentuk ini bukan sahaja memberi kebebasan yang lebih luas buat pemain malah ianya kini tidak lagi dihadkan dengan pelbagai titik buta hasil daripada bentuk kamera tetap. Walaupun begitu, hasil bentuk kamera seperti ini masih lagi mengekalkan bentuk yang sangat menyeramkan walaupun ianya mempunyai kebebasan untuk melihat dengan ebih meluas.

Ini kerana, Capcom bijak menggunakan ruangan yang kecil dicampur dengan pencahayaan yang gelap, menyebabkan pemain masih lagi berasa berada di kawasan yang sempit dan menyebabkan saya sendiri berasa sangat takut setiap kali menoleh di celah laluan mahupun membuka pintu-pintu di dalam permainan ini.

Bercakap berkenaan pintu, Resident Evil 2 kali ini tidak lagi dibahagi mengikut bilik seperti permainan asalnya, ini kerana dengan enjin permainan dan teknologi terkini, setiap lokasi di dalam permainan dimainkan secara berterusan dan tidak lagi mengharapkan skrin pemuatan melalui pintu bilik.

Walaupun begitu, permainan ini bukanlah permainan dunia terbuka, malah pemain masih lagi mempunyai batas pergerakan mengikut lokasi yang pemain lawati. Akan tetapi, kebebasan tersebut masih lagi membuatkan permainan ini sangat seronok untuk diterokai dan pada masa yang sama ianya memudahkan pemain untuk bergerak secara berterusan tanpa perlu ‘menunggu’ ketika bergerak ke lokasi seterusnya.

Dari segi pertempuran, secara asasnya ianya seakan kebanyakan permainan-permainan penembak pandang ketiga lain dimana ketika pemain menyasarkan senjata, kamera permainan ini akan memfokuskan bentuk atas bahu lebih dekat dengan dot kecil di tengah skrin pemain. Walaupun pemain berupaya untuk bergerak dan menyasar secara serentak, namun sasaran pemain akan lebih rawak dan tidak tepat jika pemain bergerak. Sekaligus, ketegangan untuk menyasar dan berhenti seperti siri Resident Evil sebelum ini masih lagi terdapat di dalam permainan ini.

Permainan ini juga menyediakan senjata sampingan untuk pemain gunakan seperti pisau dan bom tangan. Senjata sampingan ini juga sangat penting untuk pemain jika pemain ditangkap oleh zombi kerana senjata tersebut boleh digunakan untuk menyerang dan menahan diri daripada serangan zombi, sekaligus ia membenarkan pemain untuk mengelak daripada diserang dan ditangkap oleh mereka. Konsep ini juga sangat menarik kerana ianya membuat pemain sentiasa perlu membawa barangan yang mencukupi dan membuat pilihan yang tepat untuk inventori pemain.

Bercakap berkenaan inventori, seperti permainan klasik Resident Evil 2, pengurusan inventori ataupun barangan di dalam Resident Evil 2 kali ini ini juga adalah sangat penting. Seperti permainan asalnya, kotak penyimpanan juga disediakan dan pemain berupaya untuk menyimpan barangan-barangan lebihan disitu.

Menariknya, setiap kotak penyimpanan tersebut juga berhubung antara satu sama lain dengan kotak lain, sekaligus pemain berupaya untuk mengakses barangan-barangan setiap kali pemain temui kotak tersebut. Ini bukan sahaja memudahkan pemain, malah pemain berupaya untuk merancang dan mengurus barangan yang pemain bawa memandangkan barangan yang boleh dibawa oleh pemain adalah sangat terhad.

Pada waktu yang sama, permainan ini juga memudahkan pemain dengan fungsi tambahan melalui peta permainan. Melalui permainan Resident Evil 2 ini, sememangnya pemain berupaya untuk mengakses peta lokasi dan melihat kedudukan pemain. Namun, satu fungsi tambahan yang sangat berguna pada pendapat saya adalah fungsi warna yang menunjukkan sama ada pemain sudah mengutip kesemua barangan di dalam bilik tersebut ataupun belum.

Fungsi ini dibahagikan kepada dua warna utama iaitu warna merah yang mana ianya menunjukkan bahawa masih terdapat barangan yang belum diambil oleh pemain di sesuatu lokasi tersebut. Manakala warna biru pula menunjukkan bahawa terdapat sesuatu barang yang masih lagi tidak dikutip oleh pemain. Ini bukan sahaja memudahkan pemain, malah membuatkan permainan ini tidaklah begitu menghukum pemain. Ini juga membenarkan pemain untuk terokai dan mencari barangan-barangan dengan lebih senang dan pada masa yang sama ganjaran yang sangat berbaloi.

Fungsi tersebut juga banyak membantu pemain untuk menyelesaikan tekaria yang terdapat di dalam permainan ini. Jika anda pernah bermain permainan asal Resident Evil 2, anda sendiri pasti akan menghargai segala tekaria yang terdapat di dalam permainan yang mana hampir kesemua tekaria yang disediakan adalah berdasarkan dan diolahkan semula daripada permainan asal.

Tambahan itu, pemain juga perlu sentiasa memeriksa setiap barangan yang pemain kutip. Ini kerana terdapat beberapa tekaria memerlukan pemain untuk berinteraksi dengan barangan-barangan tersebut seperti membuka kotak, menyelesaikan mini tekaria dan sebagainya.

Sememangnya tekaria yang terdapat di dalam permainan ini adalah tidak logik untuk kehidupan nyata, namun memandangkan ianya adalah berdasarkan permainan yang dilancarkan 1998, ianya tidaklah berasa begitu luar dari tempatnya. Walaupun begitu, cara penterjemah Capcom terhadap tekaria-tekaria yang terdapat di dalam permainan ini sangatlah menarik dan pada pendapat saya ianya tidaklah begitu sukar, namun ianya juga tidaklah begitu senang dan masih lagi memerlukan pemain untuk sentiasa berfikir.

Seperti yang saya terangkan di atas, permainan ini sememangnya membahagikan kepada dua bentuk penceritaan dimana pemain
berupaya untuk memilih dua watak iaitu Leon dan Claire. Menariknya, kedua-dua watak ini mempunyai sebilangan bentuk yang agak berbeza dari segi tekaria dan senjata. Walaupun begitu, perbezaan dari segi tekaria tidaklah begitu ketara, namun dari segi senjata, kedua-dua watak ini mempunyai senarai senjata yang berbeza.

Seperti contohnya Leon mempunyai senjata Shotgun manakala Claire mempunyai senjata Grenade Launcher. Ini sekaligus meletakkan bentuk strategi dan taktikal yang berbeza untuk kedua-dua watak tersebut. Selain itu, setiap senario permainan ini juga menyertakan bentuk yang berbeza untuk watak tambahan dimana pemain berupaya untuk bermain sebagai Ada Wong melalui senario Leon, manakala watak Sherry Birkin boleh dimainkan melalui senario Claire.

Selain itu untuk menambah lagi banyak bentuk seram yang berbeza, pemain bukan sahaja akan bertempur dengan zombi, malah terdapat pelbagai jenis musuh seperti zombi anjing, Lickers dan pelbagai bentuk ketua musuh berlainan. Selain itu, ketika pertengahan permainan ini, pemain juga akan dikejar dengan Tyrant, ataupun sering dikenali sebagai Mr.X. Ini bukan sahaja membuat bentuk permainan ini menjadi lebih cemas, malah ianya berasa membuatkan permainan ini menjadi lebih sukar.

Namun ianya tidaklah membawa kesan negatif yang tinggi memandangkan ketika pemain berada di saat tersebut, pemain sudah biasa dengan bertempur dengan zombi biasa dan sekaligus dengan penyertaan Tyrant ini, ianya membuatkan permainan ini berasa lebih mencabar.

Selain daripada senario-senario tersebut, setelah pemain menghabiskan salah satu penceritaan utama permainan dengan melengkapkan senario pertama dan ‘2nd Run’, seperti permainan asal Resident Evil 2, pemain juga berupaya untuk bermain mod tambahan iaitu ‘The 4th Survivor’ dengan menggunakan watak Hunk.

Mod ini memfokuskan pemain untuk bermain sebagai ejen Umbrella dan beliau akan melarikan diri dari bandaraya Raccoon City. Namun, mod ini adalah sangat sukar dan jika pemain berjaya melengkapkan mod ini, mod ‘The Tofu Survivor’ juga boleh dimainkan oleh pemain.

https://twitter.com/RE_Games/status/1089916008377155584

Menariknya juga, Capcom juga menjanjikan mod tambahan iaitu ‘The Ghost Survivor’ yang bakal mereka lancarkan pada 15 Februari ini, sekaligus menghasilkan permainan dengan pelbagai kandungan yang sangat berbaloi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Resident Evil 2 yang diolahkan semula ini sememangnya satu permainan yang sangat berbaloi untuk peminat siri Resident Evil mahupun peminat permainan seram. Bukan sahaja ianya mempunyai kandungan yang pelbagai, malah bentuk permainannya adalah sempurna dari segi bentuk seram bersama-sama elemen pertahanan hidup.

Dengan penceritaan yang menghormati kandungan asal permainan Resident Evil 2 bersama-sama bentuk visual pencahayaan yang sangat mengerikan, permainan ini berjaya menghasilkan pengalaman yang sangat menyeramkan dengan kembalinya ke tahun 1998 di Raccoon City buat peminat baru atau lama. Permainan ini sudah pasti akan membuat pemain menjerit dengan pelbagai kejutan.

Pada pendapat saya, inilah penanda aras untuk permainan olahan semula yang perlu dilakukan oleh semua pembangun dan sememangnya ini adalah permainan Resident Evil terbaik yang pernah saya mainkan. Akan tetapi, saya perlu akui bahawa kesan nostalgia juga sedikit sebanyak memberi impak kepada saya untuk ulasan ini. Walaupun begitu saya percaya kualiti permainan Resident Evil 2 yang dibangunkan oleh Capcom ini, adalah kualiti permainan seram yang menakjubkan.

Penafian: Kod Ulasan Resident Evil 2 disediakan oleh Capcom

Sohor Kini