Seperti yang dijanjikan oleh Sony Interactive Entertainment awal minggu ini, mereka hari ini berkongsi satu video khas yang berdurasikan selama 52 minit di mana Mark Cerny, iaitu arkitek sistem utama PlayStation 5 berkongsi dengan lebih lanjut berkenaan konsol generasi tersebut disamping menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana konsol tersebut adalah satu konsol yang mempunyai spesifikasi yang baik untuk menghasilkan permainan.

Semestinya video tersebut agak panjang dan mungkin akan membosankan anda, namun bagi anda yang berminat untuk menontonnya, anda boleh berbuat demikian di bawah. Namun bagi anda yang ingin lihat apa yang diterangkan secara ringkas, anda boleh terus membaca artikel ini di bawah.

Jadi apa sebenarnya yang dikongsikan oleh Mark Cerny di video di atas? Untuk memudahkan anda kami membahaginya kepada beberapa kategori yang dikongsikan melalui video di atas, bersama informasi lanjut melalui laporan Eurogamer yang mana semestinya apa yang paling penting sekali ada spesifikasi utama konsol ini.

Spesifikasi Penuh PlayStation 5

Seperti yang anda lihat di atas, spesifikasi utama PlayStation 5 diperlihatkan secara rasmi yang mana ia mempunyai jumlah 10.28 Teraflops (Agak rendah berbanding Xbox Series X) namun dari segi spesifikasi lain, ianya sedikit sebanyak sama dengan konsol Microsoft tersebut.

Walaupun begitu, ketika penerangan Mark Cerny melalui video di atas, beliau sentiasa menekan yang mana konsol PlayStation 5 bukan sahaja berupaya untuk menjana data dengan lebih pantas, malah dengan teknologi SSD juga konsol ini boleh bermain permainan dengan lebih pantas.

Selain itu, seperti yang dilaporkan sebelum ini, PlayStation 5 akan menyokong Ray Tracing, mempunyai pemuatan permainan yang lebih pantas dan sebagainya.

Penambahan Storan

Storan dalaman PlayStation 5 hanya 825GB sahaja seperti yang diperlihatkan di atas. Namun, menurut Mark Cerny, seperti konsol PlayStation 4 dan PlayStation 3, pengguna masih lagi boleh menaik-taraf sendiri saiz storan dalaman di mana Sony menyediakan satu slot tambahan untuk pengguna tambah sendiri storan dalaman berdasarkan NVMe PCIe 4.0.

Meskipun begitu, buat masa ini Mark Cerny menyatakan storan tersebut perlu disahkan dahulu untuk penggunakan di konsol tersebut atas sebab ianya memerlukan kadar bacaan yang khusus. Sekaligus, pada masa akan datang kita mungkin akan melihat storan SSD NVMe yang mempunyai pengesahan Sony untuk digunakan di konsol PlayStation 5.

Dari segi cakera keras luaran, ianya akan menyokongnya namun hanya terhad untuk permainan PlayStation 4 sahaja. Dari segi penyimpanan permainan PlayStation 5, ianya masih lagi memerlukan SSD khas.

Keserasian Belakang

Seperti yang kami sering laporkan sebelum ini berkenaan keserasian belakang (Backward Compatible) melalui video di atas, Mark Cerny mengesahkan yang mana PlayStation 5 akan menyokong permainan PlayStation 4.

Menariknya juga, konsol generasi seterusnya oleh mereka tersebut berupaya untuk bermainkan buat kedua-dua versi PlayStation 4 iaitu PlayStation 4 biasa dan PlayStation 4 Pro. Mark Cerny juga mengesahkan yang mana ketika pelancaran PlayStation 5 kelak, hampir kesemua permainan PlayStation 4 disahkan boleh terus dimainkan di PlayStation 5.

Bercakap berkenaan keserasian belakang, seperti yang kami kongsikan di atas, PlayStation 5 juga menyokong cakera keras luaran untuk penyimpanan permainan. Akan tetapi, hanya permainan PlayStation 4 sahaja yang boleh disimpan di cakera keras luaran dan boleh dimainkan di PlayStation 5.


Semestinya video di atas menerangkan lebih banyak informasi tambahan lain terutamanya berkenaan 3D audio. Namun, kami tidak ingin mengambil masa yang terlalu lama untuk menerangkan informasi tersebut atas sebab Mark Cerny sendiri menerangkannya dengan lebih baik melalui video tersebut.

Walaubagaimana pun, sekurang-kurangnya kita kini sedikit sebanyak tahu apa yang kita boleh nantikan untuk spesifikasi konsol PlayStation 5 yang dijadualkan untuk tiba sekitar penghujung tahun ini. Sebelum ini kami juga berkongsi informasi lanjut lain berkenaan alat kawalan Dualshock 5 dan beberapa aspek permainan lain yang anda boleh bacanya di artikel di bawah.

Sohor Kini