Pada penghujung tahun ini, Sony dan Microsoft dijangka akan melancarkan konsol permainan generasi akan datang mereka, iaitu Sony PlayStation 5 dan juga Microsoft Xbox Series X.

Pihak Microsoft baru sahaja memperlihatkan spesifikasi dalaman konsol akan datang mereka, dan seperti yang dijangka, ia dikuasakan oleh komponen-komponen dalaman yang cukup berkuasa oleh pihak AMD.

Dari segi CPU, ia dikuasakan oleh CPU AMD Zen 2 yang diubahsuai khusus untuk konsol Xbox Series X ini, manakala dari segi pemprosesan grafik pula, ia menggunakan cip pemprosesan grafik RDNA2 yang mempunyai 52 unit teras, 16GB memori GDDR6 dengan kuasa pengiraan setinggi 12 TFLOPS.

Dari segi storan pula, Xbox Series X mempunyai storan SSD NVMe sebesar 1TB terbina didalamnya, dan jika pengguna perlu lebih banyak storan, mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan kad storan tambahan (expansion card) 1TB dan sokongan untuk USB 3.2 jika storan luaran yang laju diperlukan.

Microsoft menyasarkan bahawa konsol mereka boleh memainkan permainan pada resolusi 4K dengan kadar segar semula 60FPS tanpa masalah, dan untuk sesetengah permainan, setinggi 120FPS dengan sokongan RayTracing secara nyata menggunakan sambungan dari palam HDMI 2.1 yang baru sahaja dibangunkan.

Terdapat juga video dan gambar yang memperlihatkan ciri-ciri baru pada konsol ini, termasuklah Quick Resume, dimana konsol tersebut kini boleh menyambung pelbagai permainan dari mana anda tinggalkannya sebelum ini dengan pantas.

Microsoft mengatakan bahawa banyak daripada ciri-ciri dimana pengguna menukar aplikasi adalah terima kasih kepada teknologi Xbox Velocity Architecture dimana fail-fail didalam konsol, tidak kira permainan ataupun perkhidmatan lain sebesar 100GB boleh diakses dengan cepat.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai konsol Microsoft Xbox Series X ini dan ciri-cirinya, anda boleh ke laman web Xbox untuk membaca mengenainya. Seperti yang dikatakan sebelum ini, ia dijangka akan dilancarkan sekitar musim cuti pada hujung tahun ini.

Sohor Kini