Siri BoBoiBoy semestinya adalah siri animasi tempatan yang sangat terkenal dengan kejayaan mereka mencapai jumlah kutipan melebih RM30 juta tahun lepas. Terkini untuk meneruskan lagi bagi tahun 2020 ini, Monsta mengumumkan perancangan mereka untuk tahun ini melalui komik bulanan.

Hari ini, Monsta mengumumkan komik bulanan BoBoiBoy Galaxy Musim 2 yang mana ianya adalah kesinambungan untuk filem BoBoiBoy Movie 2. Kali ini, ianya akan membawa pengembaraan BoBoiBoy dan rakan-rakan untuk mencari kuasa elemental baharu serta bertempur dengan pelbagai musuh baharu.
Dengan sejumlah 48 muka surat, komik ini akan tiba di pasaran pada 16 Mac 2020 ini di pengedar rasmi BoBoiBoy, kedai serbaneka, kedai buku dan sebagainya. Monsta juga mengumumkan yang mana komik ini akan tiba secara digital untuk pasaran antarabangsa pada Jun 2020.
Menurut Nizam Abdul Razak, ketua pegawai Eksekutif Monsta, beliau menyatakan mengapa mereka ke arah komik adalah mereka berminat untuk mengembangkan lagi dunia BoBoiBoy melalui dunia Power Sphera Universe dengan lebih pantas. Beliau juga berminat untuk membawa lebih banyak watak dan adiwira baharu di dalam dunia tersebut termasuklah MechaMato yang diumumkan sebelum ini.
Semestinya dengan berkembangnya dunia BoBoiBoy, sudah pasti kita akan melihat dunia animasi Malaysia akan terus berkembang bukan sekadar ia boleh dipasarkan secara antarabangsa, malah akan menjadi satu ikon negara untuk masa akan datang.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan komik ini, pastikan anda nantikannya bulan hadapan yang mana ianya akan dijual secara rasmi dengan harga RM5.90 mengikut jilid untuk pasaran semenanjung dan RM6.90 untuk Sabah dan Sarawak.