Skip to main content

Pada bulan April lalu, video acah filem aksi nyata Sonic The Hedgehog  telah diterbitkan. Rekaan watak Sonic dalam video acah ini membuatkan orang ramai kecam kerana CGInya mengecewakan dan dilihat tidak hebat. Disebabkan isu ini, watak Sonic direka semula dan filem ditangguhkan sehingga tahun hadapan. Bulan lepas, rekaan baharu telah pun kelihatan dan hari ini video acah serba baru telah diterbitkan.

Video acah kali ini memperlihatkan watak Sonic yang lebih mirip dengan permainan dan lebih menggembirakan hati ramai peminat. Bukan itu sahaja, video acah ini juga adalah berbeza – watak Sonic kelihatan amat lucu dan watak Dr. Robotnik lakonan Jim Carrey juga lebih banyak diperlihatkan. Kisah filem ini adalah Dr. Robotnik ingin merampas kuasa pantas Sonic dan tidak kira apa jua halangan beliau tidak akan mengalah. Sonic pula kini berkawan dengan seorang jejaka bernama Tom Wachowski dan akan melindungi beliau.

Video acah kali ini dilihat memberi harapan yang tinggi terhadap nasib filem ini. Elemen asal seperti cincin emas yang boleh berubah menjadi portal juga turut kelihatan dan hubungan erat antara Sonic dan Tom juga kelihatan seronok. Filem ini akan ditayangkan pada 14 Februari 2020 kelak, bagi yang berminat sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply