Skip to main content

Death Stranding semestinya salah satu permainan yang dinanti-nantikan oleh ramai peminat sejak ianya diumumkan buat pertama kali oleh Hideo Kojima di atas pentas E3 2016 lepas.

Sejak pengumumannya, Death Stranding bukan saja mengejutkan ramai peminat dengan penampilan watak Norman Reedus, hasil dari kerjasama mereka untuk PT iaitu permainan Silent Hill sebelum ini, bahkan pelbagai pelakon terkemuka seperti Mads Mikkelsen, Léa Seydoux dan sebagainya bersama-sama dengan pelbagai video acah yang agak kabur dan memeningkan.

Kini setelah 3 tahun menanti, kami di Aksiz akhirnya berpeluang untuk mencuba permainan ini di konsol PlayStation 4 Pro dan ia bakal dilancarkan secara rasmi buat umum pada 8 November 2019 kelak. Tambahan itu, seperti yang kami laporkan sebelum ini, permainan ini juga dirancang untuk dilancarkan di PC sekitar tahun hadapan.

Walaubagaimana pun, anda sendiri pasti tidak sabar untuk mengetahui pendapat saya sendiri berkenaan permainan yang bermisteri ini di mana setelah 60 jam saya mengembara di dalam dunia Death Stranding, ini adalah ulasan penuh saya untuk permainan ini.

Cerita

Semestinya penceritaan Death Stranding merupakan perkara paling sensitif sekali untuk ulasan ini di mana jika saya berkongsi secara lebih terperinci, ianya pasti akan memberi sedikit beberan kepada anda dan saya sendiri akan memberi jaminan kepada anda bahawa ulasan ini pasti tidak akan mempunyai sebarang beberan utama, yang akan merosakkan pengalaman permainan anda.

Meskipun begitu, saya sendiri perlu berkongsi sedikit informasi berkenaan premis permainan untuk memberi gambaran kepada anda apakah penceritaan permainan ini sebenarnya. Namun bagi anda yang ingin terus bermain permainan ini tanpa mengetahui sebarang informasi berkenaannya, anda boleh melangkau perenggan di bawah.

Death Stranding meletakkan pemain di dunia pasca apokaliptik dan pemain akan bermain sebagai seorang penghantar barang bernama Sam, yang mana mereka dipanggil “Porter” dan pemain akan bekerja dengan satu syarikat yang dipanggil Bridges. Ini sekaligus menyebabkan kenapa nama pelakon Norman Reedus tersebut adalah Sam Porter Bridges, di mana beliau adalah penghantar barang daripada syarikat Bridges. Pada permulaan permainan ini, pemain akan bertemu dengan Presiden UCA iaitu United Cities Of America, juga sebahagian daripada Bridges yang mana mereka berhasrat untuk menyambung semula Amerika dengan menghubungkan hubungan “Chiral” antara bandar-bandar ataupun perhentian “Knot” yang terdapat di dalam permainan ini melalui satu ekspedisi khas. Namun, perhubungan tersebut terbantut akibat sekumpulan pengganas berjaya menghalang mereka iaitu pasukan Homo Demens, sekaligus Presiden UCA “mengupah” pemain, iaitu Sam untuk ke barat dan menghubung semula bandar-bandar tersebut.

Secara asas, berikut adalah penceritaan utama permainan dan seperti permainan Hideo Kojima sebelum ini, ianya terdapat pelbagai penceritaan yang mendalam dengan isu-isu politik sekaligus membuatkan permainan ini mempunyai plot penceritaan yang sangat kompleks.

Akan tetapi, ianya juga menyebabkan salah satu kecacatan penceritaan permainan ini yang mana ketika saya bermain permainan ini, saya mendapati bahawa Hideo Kojima cuba untuk meletakkan pelbagai kandungan penceritaan dengan pelbagai kisah sebalik buat watak dan dunia permainan ini, yang mana ianya sedikit sebanyak memberi beberapa konsep penceritaan menjadi agak kompleks dan pada masa yang sama sukar untuk difahami.

Saya akui, siri permainan Metal Gear Solid sebelum ini oleh beliau juga mempunyai pelbagai elemen penceritaan yang sangat mendalam dengan teknologi mesin Nano yang membuka lebih banyak elemen plot ghaib yang agak pelik, namun kelihatan Hideo Kojima sekali lagi ingin melakukan perkara yang sama dengan plot penceritaan Death Stranding dengan pelbagai elemen plot yang agak berbelit.

Semestinya ketika saya tamat sahaja bermain permainan ini dan melihat kreditnya, saya memahami keseluruhan penceritaannya. Namun untuk betul-betul memahaminya saya perlu bermain kali kedua untuk dapatkan apa yang Death Stranding cuba untuk sampaikan, yang mana pasti akan memberi beberapa kesan negatif buat beberapa pemain.

Ini sekaligus membuatkan saya berasa Hideo Kojima terlalu bercita-cita tinggi untuk menghasilkan penceritaan di dalam permainan ini, tetapi beliau masih lagi terhad untuk dari segi skop keluasan dan teknologi yang boleh disampaikan setakat ini dan ianya membuahkan beberapa bahagian plot penceritaan tidak diterangkan dengan baik.

Walaupun begitu, saya menyukai konsep dan aliran penceritaan Death Stranding di mana setiap bahagian permainan, ianya dibahagikan kepada episod. Secara keseluruhan, permainan ini mempunyai 15 episod dan saya sendiri berjaya menghabiskan permainan ini sekitar 45 jam, dengan melakukan beberapa misi sampingan yang mana pada pendapat saya adalah satu jumlah jam yang cukup bagus untuk permainan sebegini.

Betul, permainan ini juga mempunyai pelbagai misi sampingan yang pemain boleh lakukan seperti menghantar barang buat watak-watak NPC lain dan melakukan sebilangan tugas untuk mereka. Namun, jika ingin bercakap keseluruhan penceritaan utama sahaja, saya boleh katakan permainan ini boleh dihabiskan sekitar 35 jam sahaja.

Bercakap berkenaan watak NPC pula, seperti anda sedia maklum, Death Stranding sememangnya mempunyai pelbagai watak-watak dari dunia nyata seperti Conan O’Brien tiba sebagai salah satu watak NPC yang pemain boleh berinteraksi. Walaupun kebanyakan watak yang pemain jumpai di dalam permainan ini, pemain hanyalah berinteraksi melalui hologram yang dipanggil “Chiralgram” sahaja, namun pada pendapat saya sendiri dengan menyertakan pelbagai watak NPC yang dilakonkan oleh pelakon dunia nyata, Death Stranding berjaya membuatkan setiap watak-watak di dalam permainan ini berasa sangat unik.

Ini sekaligus membuatkan saya sendiri berasa lebih dekat dengan watak-watak tersebut bahkan saya sendiri mengenali mereka dan berasa ingin membantu mereka dengan terus melakukan misi sampingan yang terdapat di dalam permainan ini. Konsep ini sememangnya satu konsep permainan yang bagus sekali yang memberi permainan ini berasa lebih ‘hidup’ dan berasa sangat berlainan sekali.

Walaupun begitu, setiap penceritaan watak NPC yang terdapat di dalam permainan ini tidaklah begitu bagus, bahkan terdapat beberapa penceritaannya yang agak membosankan dan hanya diceritakan dengan lebih mendalam melalui emel yang pemain terima oleh mereka sahaja, sekaligus membuatkan beberapa kisah sebalik untuk watak tersebut tidak langsung menarik minat saya. Tetapi, saya masih lagi hargai apa yang pembangun cuba lakukan melalui watak-watak tersebut.

Selain itu, bagi anda yang khuatir berkenaan penceritaan permainan ini dan adegan permainan yang agak kurang seperti permainan Hideo Kojima sebelum ini, anda tidak perlu risau kerana Death Stranding sememangnya mempunyai pelbagai adegan dan saya boleh katakan hampir 30% daripada permainan ini hanyalah adegan permainan.

Ini kerana terdapat beberapa adegan yang mana ianya terlalu panjang sehingga membuatkan alat kawalan Dualshock 4 saya terus terputus hubungan dengan konsol saya, ianya boleh dikatakan terdapat beberapa adegan yang mempunyai adegan sehingga 30 minit. Namun bagi anda yang pernah bermain Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriot, anda tidak perlu risau kerana ianya tidaklah mempunyai adegan sepanjang di dalam permainan tersebut.

Semestinya Death Stranding adalah satu permainan dengan penceritaan yang lengkap dengan plot penceritaan yang sangat menarik. Namun, seperti yang katakan di atas, permainan ini semestinya bukan untuk semua orang atas sebab ianya mempunyai permulaan yang sangat perlahan untuk mula membuatkan permainan ini lebih menarik. Bahkan pada 10 jam pertama, saya masih lagi berasa agak skeptikal dengan permainan ini.

Walakin itu, anda tidak perlu khuatir kerana selepas sahaja anda selesai 10 jam pertama, saya sendiri memberi anda jaminan bahawa permainan ini akan menjadi lebih menarik dari segi aspek penceritaan yang mana ianya pasti akan meletakkan anda di posisi yang mengejutkan dan asyik dengan keseluruhan penceritaannya.

Grafik

Perkara pertama yang saya ingin cakapkan berkenaan visual dan grafik adalah prestasi permainan ini. Dukacitanya permainan ini hanya boleh dimainkan dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 30FPS sahaja untuk resolusi 4k mahupun 1080p.

Walaupun begitu, tidak semestinya ianya membuatkan permainan ini tidak seronok dimainkan, tidak sama sekali. Bahkan sepanjang sesi permainan saya ketika bermain dengan menggunakan resolusi 4k, saya berasa permainan ini mempunyai prestasi yang baik sekali untuk sesi pengembaraan dunia di dalam permainan ini, mahupun ketika bertempur.

Akan tetapi, permainan ini mempunyai beberapa masalah prestasi ketika di menu permainan sahaja, terutamanya di bahagian ketika permainan ini memaparkan keputusan pemain selepas sahaja proses penghantaran di lakukan oleh pemain. Namun sekali lagi, ianya tidak langsung memberi kesan untuk sesi permainan yang lain.

Dari segi aspek rekaan paparan antara muka pula, saya boleh katakan permainan ini mempunyai beberapa rekaan dan aspek bentuk seakan permainan Hideo Kojima sebelum ini iaitu Metal Gear Solid V: The Phantom Pain. Boleh dikatakan hampir kesemua rekaan menu, rekaan tetapan dan sebagainya mempunyai rekaan yang hampir sama.

Meskipun begitu, tidak sama sekali permainan ini adalah satu salinan daripada permainan tersebut, namun bagi anda yang pernah bermain MGSV, anda pasti akan terasa agak biasa dengan rekaannya.

Dari segi visual grafik lain, permainan ini sememangnya meletakkan pemain di dalam dunia terbuka yang luas di mana ia terbahagi kepada beberapa bahagian dan setiap lokasi mempunyai rekaan yang menarik dengan pelbagai persekitaran seperti bukit-bukau, salji dan sebagainya yang mana pasti akan menawan hati pemain.

Namun apa yang membuatkan permainan ini begitu unik sekali semestinya adalah visual rekaan watak yang mana seperti anda sedia maklum, kebanyakan watak di dalam permainan ini diambil dari pelakon nyata seperti Norman Reedus, Mads Mikkelsen, Guillermo del Toro dan sebagainya. Akan tetapi salah satu persembahan yang terbaik pada pendapat saya semestinya adalah watak Tommie Earl Jenkins sebagai Die-Hardman yang mana lakonan beliau memberi impak yang sangat memberangsangkan sekali.

Ini juga diterjemahkan dengan baik apabila riak ekspresi wajah di dalam permainan ini dihasilkan dengan begitu nyata sehingga membuatkan saya berasa permainan ini sudah pun menjadi satu filem aksi nyata bertarafkan filem Hollywood.

Perkara yang sama boleh saya katakan untuk sinematografi permainan ini, Hideo Kojima sememangnya seorang yang sangat berwawasan dari segi aspek persembahan penceritaan. Sebahagian daripada adegan-adegan di dalam permainan boleh dikatakan berada di tahap kualiti permainan yang sangat menakjubkan sekali sehingga membuatkan saya berasa permainan ini tidak mungkin dibangunkan dalam tempoh masa hanya 3 tahun sahaja. Hasil kualiti permainan ini juga dapat dilihat dengan nilai produksi visual yang dihasilkan dengan begitu baik dengan pelbagai kandungan seakan filem yang begitu menawan sekali.

Akan tetapi, terdapat beberapa aspek yang agak mengecewakan pada pendapat saya berkenaan model-model prop dan persekitaran terutamanya tempat istirehat Sam yang mana pada pendapat saya agak berulangan dan kargo-kargo yang di bawa oleh beliau juga mempunyai rekaan yang hampir sama. Ini disebabkan kebanyakan kargo yang pemain bawa, hanya diperlihatkan di dalam kotak sahaja dan kandungannya pula hanya dilihat secara bentuk lukisan cetak tanpa sebarang rekaan 3 dimensi langsung. Namun ini hanyalah kritikan kecil sahaja dan ianya tidaklah merosakkan langsung sesi pengalaman permainan saya.

Semestinya saya tidak ingin berkongsi dengan lebih terperinci atas sebab ianya mungkin akan mempunyai beberapa beberan kepada anda, namun apa yang saya boleh jaminkan adalah, dari segi aspek visual dan grafik, Death Stranding pasti akan memuaskan hati anda bukan sahaja sebagai seorang pemain permainan video, malah sebagai seorang penggemar filem.

Audio

Penggunaan kesan audio di dalam Death Stranding sememangnya membuatkan kenapa permainan ini adalah satu karya agung yang sangat memuaskan di mana saya sendiri perlu memberi satu tepukan gemuruh buat Hideo Kojima dan pasukan pembangun audio permainan ini.

Mereka bukan sahaja berjaya membawa pelbagai muzik latar dari pelbagai artis terkemuka, bahkan pilihan muzik yang tersedia sememangnya adalah tepat sekali dengan tema dan plot penceritaan permainan ini dan kini keseluruhan muzik tersebut telah pun menjadi muzik utama saya untuk didengari ketika melakukan kerja.

Bercakap berkenaan muzik latar, saya juga menyukai aspek yang mana ketika saya membuat penghantaran barang dan berjalan untuk ke lokasi yang ditujui, permainan ini akan memainkan muzik dan juga menarik kamera ke belakang untuk memberi satu pengalaman epik yang sangat manis.

Semestinya ini merupakan satu aspek dan bentuk yang agak ringkas, namun ianya memberi satu pengalaman yang sangat melegakan setelah anda berjalan dan menerokai kawasan permainan yang sukar dan penat lelah anda seolah diangkat apabila anda melihat lokasi yang ditujui anda semakin dekat didampingi muzik latar yang merdu.

Ini bukan sahaja membuatkan satu pengalaman permainan Death Stranding menjadi lebih menarik, malah ianya membuka satu pengalaman yang sangat mengasyikkan dan membuatkan saya berasa permainan ini seolah satu karya seni yang sangat mengagumkan.

Dari segi aspek yang lain, pelakon suara latar ataupun boleh dikatakan pelakon sendiri buat permainan ini semestinya melakonkan dengan begitu baik sekali di mana sekali lagi saya boleh katakan permainan ini mempunyai satu nilai produksi seakan satu filem Hollywood. Seperti yang saya katakan di atas berkenaan eskpressi riak wajah pelakon, perkara yang sama juga diterjemahkan berkenaan lakonan suara yang mana saya boleh katakan permainan ini mempunyai lakonan terbaik sekali saya pernah main sepanjang hidup saya.

Tambah pula dengan pelbagai watak-watak NPC yang dilakonkan oleh pelakon nyata, sememangnya membuka banyak nilai kualiti permainan ini dari segi aspek audio yang sangat memuaskan dan berlainan.

Kawalan

Akhirnya kita berada di aspek utama permainan ini iaitu bentuk dan kawalan Death Stranding, yang mana saya sendiri pasti ramai tertanya-tanya bagaimana permainan ini dimainkan, terutamanya bentuk “Social Strand System” yang sering diperkatakan oleh Hideo Kojima berkenaan permainan ini.

Semestinya saya akan terangkan kesemua dengan lebih terperinci, termasuklah sistem Social Strand System tersebut. Namun, perkara pertama yang saya kongsikan dahulu adalah bagaimana permainan ini dimainkan dan apakah asas bentuk permainannya.

Bentuk Sistem Penerokaan Permainan Dan Sistem Kargo

Secara ringkasnya, Death Stranding adalah satu permainan simulasi penghantaran barang, seperti mana yang anda lihat di dalam video acah yang dikongsikan oleh Kojima Productions sebelum ini. Melaluinya, anda akan membawa sebilangan kargo-kargo yang diberi oleh anda mengikut misi yang anda pilih, dan anda perlu berjalan dan menghantar kargo tersebut ke lokasi pilihan.

Semestinya pengembaraan pemain untuk menghantar kargo-kargo tersebut bukannya satu perkara yang mudah. Sebelum saya menerangkan lebih lanjut berkenaan pengurusan kargo, saya ingin kongsikan dahulu bentuk pergerakan pemain yang mana ianya memainkan peranan penting di dalam permainan ini. Perkara pertama yang pemain boleh lakukan di dalam permainan ini adalah dengan menekan butang R1, yang mana Odradek, iaitu satu pengesan yang berada di bahu belakang pemain berupaya untuk mengesan persekitaran dan melihat rupa bumi yang pemain boleh jalan, malah jika disambungkan dengan BB, ianya juga boleh mengesan BT. Namun perkara tersebut saya akan kongsikan dengan lebih lanjut di ruangan pertempuran bersama BT.

Dari segi pergerakan lain, jika pemain membawa barangan yang banyak, pemain juga perlu mengimbangi badan pemain dengan menekan sama ada butang L2 ataupun R2. Ini sekaligus memberi satu bentuk keseimbangan yang agak menarik disamping pemain perlu sentiasa mencari jalan yang rata untuk memudahkan pergerakan pemain, sekaligus boleh dikatakan permainan ini adalah permainan simulasi perjalanan. Tetapi, jika pemain tidak berjaya mengimbangi segala pergerakan pemain, pemain akan terjatuh dan membuatkan kargo-kargo yang dibawa oleh pemain akan rosak.

Apabila bercakap berkenaan simulasi, permainan ini banyak menggunakan pelbagai sistem pengurusan kargo yang agak kompleks pada mulanya, namun anda pasti akan terbiasa setelah anda bermain permainan ini untuk tempoh masa yang panjang. Semestinya Sam, iaitu watak pemain anda mempunyai beberapa had jumlah berat kargo dalam bentuk KG (Kilogram) yang anda boleh bawa.

Ini sekaligus memerlukan anda untuk merancang perjalanan anda bukan sahaja dari segi jumlah kargo yang di bawa, namun kelengkapan-kelengkapan yang mana juga akan memainkan peranan penting buat jumlah berat muatan yang di bawa oleh anda. Selain itu kasut yang anda pakai juga akan rosak dari semasa ke semasa dan jika perjalanan anda jauh, anda disarankan untuk membawa kasut tambahan. Namun, sepanjang sesi permainan saya, kasut tersebut tahan agak lama sekitar 4 hingga 5 sesi penghantaran juga sebelum saya perlu menukar ke kasut baharu.

Bercakap berkenaan kelengkapan, permainan ini menyertakan pelbagai gajet dan kelengkapan yang anda boleh guna untuk membantu anda bergerak di dalam permainan ini. Antaranya adalah tangga untuk membantu anda melintas sungai ataupun mendaki kawasan yang tinggi, dan juga tali yang akan membantu anda untuk menurun ke lokasi yang lebih rendah.

Terdapat juga pelbagai gajet lain seperti Floating Carrier yang akan bantu anda untuk meringankan beban untuk membawa kargo dan juga beberapa gajet lain seperti sut yang anda boleh pakai untuk tingkatkan lagi jumlah berat muatan kargo yang anda boleh bawa dan beberapa gajet lain seperti topeng oksigen dan sebagainya.

Kelengkapan-kelengkapan tersebut boleh dicetak melalui “Chiral Printer” yang pemain boleh lakukan di terminal-terminal dan lokasi perhentian Knot yang pemain temui sepanjang permainan tersebut. Semestinya untuk menghasilkan kelengkapan tersebut, pemain perlu menggunakan sumber-sumber yang pemain boleh dapatkan dengan mencarinya di persekitaran permainan ini.

Sumber-sumber tersebut seperti besi, seramik dan sebagainya yang mana pemain memerlukannya untuk menghasilkan kelengkapan-kelengkapan yang saya cakapkan di atas dan ianya juga digunakan hampir keseluruhan permainan ini. Namun, sumber tersebut tidaklah begitu terhad dan pemain boleh dapatkannya dengan lebih setelah pemain melakukan misi utama ataupun misi sampingan berdasarkan lokasi Knot yang pemain lakukan.

Selain itu terdapat juga beberapa sumber yang memerlukan pemain untuk menewaskan BT, yang dipanggil Chiral Crystal. Namun, ianya juga tersebar di lokasi persekitaran permainan yang agak tidaklah begitu sukar untuk dikumpulkan. Sekaligus pada pendapat saya, sumber-sumber di dalam permainan ini tidaklah terlalu terhad dan perlu dijimatkan seakan kebanyakan permainan pengurusan lain.

Menariknya, sumber tersebut juga tidak dikongsikan antara perhentian Knot yang terdapat di dalam permainan ini, sekaligus pemain perlu bijak mengurus di lokasi Knot mana yang pemain ingin cetakan kelengkapan buat pemain. Selain itu, kelengkapan-kelengkapan tersebut juga mempunyai beberapa bentuk tahap kualiti yang berbeza di mana untuk mendapatkannya, pemain perlu melakukan misi sampingan oleh watak-watak NPC di perhentian Knot terpilih yang terdapat di dalam permainan ini untuk menyah-kunci pernaik-tarafan kualiti kelengkapan tersebut.

Tambahan itu, permainan ini juga mempunyai beberapa aspek kenderaan yang anda boleh gunakan seperti motosikal dan lori. Namun memandangkan persekitaran permainan agak tidak rata, kenderaan tersebut hanya sesuai untuk digunakan untuk sesetengah bahagian sahaja.

Untuk memudahkan pergerakan pemain, terdapat satu bahagian di dalam lokasi di dalam permainan ini, pemain berupaya untuk membina jalan raya. Namun jalan raya tersebut adalah terhad dan hanya boleh dibina melalui laluan yang disediakan oleh permainan ini sahaja, dan ianya memerlukan sumber-sumber yang saya katakan di atas, untuk membinanya.

Lokasi Dan Persekitaran Permainan

Dari segi aspek persekitaran dan lokasi, permainan ini sememangnya adalah satu dunia terbuka dan ianya mempunyai beberapa bahagian lokasi yang terbahagi kepada beberapa bahagian. Sememangnya permainan ini bertempatkan di seluruh negara Amerika Syarikat.

Namun, ianya tidaklah diterjemahkan dari segi bentuk skala yang tepat, bahkan petanya sedikit sebanyak dimampatkan supaya ianya tidaklah berasa seluas Amerika Syarikat secara nyata. Akan tetapi, ianya masih lagi satu permainan dunia terbuka yang lebar.

Tambahan itu, permainan ini juga mempunyai lokasi yang sangat luas dengan persekitaran yang boleh dikatakan boleh terokai tanpa had. Ianya sedikit sebanyak mengingatkan saya akan permainan The Legend Of Zelda: Breath Of The Wild di mana selagi anda nampak lokasi tersebut, anda boleh ke sana. Semestinya permainan terdapat beberapa had seperti bukit bukau dan lautan yang tidak boleh diakses oleh pemain, namun dari segi kawasan yang saya terokai setakat sesi permainan saya, boleh dikatakan hampir kesemua bahagian daripada peta boleh saya lawati.

Untuk bergerak dan terokai kawasan tersebut, semestinya pemain akan berjalan di lokasi bukit bukau mahupun padang yang rata dan terdapat juga beberapa kenderaan yang pemain boleh naiki seperti yang saya katakan di atas untuk memudahkan pemain bergerak. Permainan ini juga mempunyai fungsi “Fast Travel” ataupun teleportasi ke Knot lain yang pemain akan nyah-kunci sekitar hampir pertengahan permainan.

Namun, fungsi ini tidak membenarkan pemain untuk membawa sebarang kargo mahupun kelengkapan-kelengkapan pemain, sekaligus untuk membawa segala kargo mahupun gajet-gajet pemain, pemain masih lagi perlu bergerak dengan berjalan ke lokasi tersebut.

Selain itu permainan ini juga menyertakan satu rumah selamat ataupun “Safe House” yang pemain boleh gunakan untuk rehat dan juga melakukan sebilangan aktiviti seperti mod foto, minum minuman, melihat figura-figura dan kelengkapan pemain, mandi dan menggunakan tandas. Sememangnya rumah selamat ini hanyalah satu lokasi yang pemain boleh guna sebagai satu ruangan untuk pemain beristirahat sebelum meneruskan perjalanan.

Namun, pada pertengahan permainan, rumah selamat tersebut juga tidak lagi terhad dari segi lokasi Knot, bahkan pemain boleh menghasilkan sendiri rumah selamat tersebut dengan gajet yang dipanggil PCC di mana-mana lokasi yang dipilih oleh pemain, sekaligus memberi akses Fast Travel juga melalui rumah selamat tersebut.

Apa Itu Timefall Dan Kenapa Ia Akan Memberi Cabaran Buat Pemain

Semestinya untuk menghantar kargo-kargo tersebut bukanlah satu tugasan yang mudah di dalam permainan ini. Bahkan akibatnya ianya terlalu sukar, tidak ramai “Porter” yang terdapat di dalam permainan ini sekaligus tugasan tersebut disanjung tinggi di kalangan penduduk di dalam permainan ini.

Antara sebab utama mengapa tugas tersebut tidak ramai dilakukan oleh watak lain adalah sebab “hujan” yang terdapat di dalam permainan ini. Hujan di dalam permainan ini dipanggil Timefall, di mana jika ianya tersentuh badan pemain, ianya akan mengakibatkan masa berlalu dengan pantas dan badan pemain akan terus menjadi tua.

Perkara yang sama akan terjadi terhadap kargo-kargo pemain di mana jika pemain berada di dalam Timefall terlalu lama, kargo-kargo tersebut akan mula berkarat dan pemain perlu cepat untuk membawa kargo tersebut ataupun melarikan diri dari hujan. Setelah pemain terus bermain, pemain juga akan mendapat sebilangan gajet yang akan membantu pemain menyelesaikan masalah berkarat tersebut dan berlindung daripada Timefall.

Timefall ini juga terdapat bentuk berbeza seperti hujan di kawasan lapang dan bersalji di kawasan bergunung, sekaligus pemain juga perlu bijak memilih kawasan dan lokasi yang pemain membuat pengembaraan. Ini juga membuahkan satu bentuk simulasi perancangan di mana pemain bukan sahaja perlu berhati-hati dengan pilihan laluan yang dilakukan oleh pemain, bahkan segala tindakan dan cara pemain bergerak ketika berada di dalam Timefall.

Tambahan itu, kawasan yang mempunyai Timefall tersebut juga mempunyai risiko untuk bertemu dengan BT, iaitu makhluk yang pemain akan tempuhi di mana saya akan terangkan lebih lanjut di ruangan pertempuran di bawah. Apa yang saya boleh katakan adalah hujan di dalam permainan ini sememangnya memberi cabaran yang agak sukar buat pemain bukan sahaja ia akan merosakkan kargo pemain, malah risiko pemain untuk bertembung BT yang pasti akan memberi mimpi ngeri buat anda.

Akan tetapi, dari segi aspek cuaca, ianya sememangnya terhad setakat cuaca hujan ataupun bersalji sahaja. Death Stranding ini tidak langsung mempunyai sebarang kitaran masa siang ataupun malam seperti kebanyakan permainan dunia terbuka yang lain.

Bentuk Pertempuran

Dari segi aspek pertempuran, permainan ini sememangnya menyertakan beberapa saat di mana pemain akan bertempur bukan sahaja dengan manusia, malah dengan makhluk yang dipanggil BT. Jadi untuk memudahkan kefahaman anda, saya akan bahagikan kepada dua bentuk pertempuran, iaitu bertempur dengan manusia dan bertempur dengan makhluk BT.

Dari segi bentuk pertempuran bersama manusia, ianya agak ringkas dan seakan seperti mana permainan-permainan penembak lain. Di dalam permainan ini terdapat beberapa organisasi yang akan cuba menumpaskan pemain, antaranya adalah pasukan pengganas Homo Demens. Terdapat juga pasukan yang dipanggil MULES, di mana mereka akan cuba merampas kargo-kargo pemain. Untuk menumpaskan mereka, pemain perlu bijak menyelinap ataupun menangkap mereka dengan menggunakan tali. Selain itu pemain juga boleh menggunakan sebilangan senjata seperti ‘Bola Gun’, iaitu satu pistol yang akan menembak dan mengikut musuh MULES tersebut.

Akan tetapi perkara yang penting sekali di dalam permainan ini adalah pemain tidak disarankan untuk membunuh watak manusia. Ini kerana atas sebab penceritaan permainan, jika pemain membunuh manusia, pemain perlu membawa mayat-mayat mereka untuk dibakarkan di lokasi insinerator yang terdapat di dalam dunia permainan ini. Sudah pasti saya tidak akan membeberkan kenapa pemain perlu berbuat demikian, namun apa yang saya boleh katakan adalah jika pemain membunuh manusia di dalam permainan ini, ianya pasti akan menyusahkan pemain.

Dari segi aspek pertempuran bersama BT pula, mereka adalah satu makhluk ghaib berwarna hitam yang sering sekali kita perlihatkan di dalam video acah permainan ini. Secara asasnya, pemain tidak langsung berupaya untuk melihat mereka, namun setelah pemain maju di dalam penceritaan permainan ini, pemain akan menerima satu kelengkapan yang dipanggil BB, di mana BB berupaya untuk mengesan BT dengan menggunakan Odradek tersebut. Melaluinya, pemain juga berupaya untuk mengimbas mereka dan melihat di mana mereka berada.

Namun, penggunaan BB tersebut juga adalah terhad kerana ianya adalah seorang bayi yang akan “stres” jika terlebih penggunaannya. Sekaligus jika ianya berlaku, pemain juga perlu bermain dan menenangkan BB tersebut untuk terus berfungsi.

Semestinya jalan terbaik adalah pemain perlu mengelak dan melarikan diri daripada mereka dengan mencari jalan lain ataupun menahan nafas untuk menyembunyikan diri daripada dikesan oleh mereka. Namun, pemain juga boleh terus bertempur dengan mereka dengan menggunakan beberapa senjata pemain boleh dapatkan setelah pemain maju di dalam permainan tersebut.

Akan tetapi, sekali lagi untuk tidak membeberkan penceritaan permainan ini, saya tidak akan terangkan dengan lebih lanjut bagaimana pemain akan bertempur dengan mereka. Namun apa yang pasti, jika pemain ditangkap oleh BT, pemain akan dipindahkan ke lokasi lain dan akan bertempur dengan makhluk tersebut.

Permainan ini juga mempunyai aspek bentuk “Game Over” yang menarik jika pemain tumpas oleh tangan BT, namun bentuk tersebut kami tidak akan kongsikan dan pemain perlu bermain Death Stranding ini sendiri untuk melihatnya.

Sistem Keputusan Penghantaran

Selain itu, setiap kali pemain melengkapkan sebarang penghantaran, pemain juga akan diberi satu paparan skrin yang akan melihat hasil hantaran pemain dan pemain akan dinilaikan mengikut keadaan kargo yang dihantar, kepantasan dan sebagainya.

Jika pemain berjaya melakukan misi dengan baik, pemain akan diberi ganjaran seperti barangan, nilai gred bintang dan “Like” dan juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai barangan tambahan dan sebagainya.

Menariknya, permainan ini juga mempunyai bentuk peringkat ataupun tahap penghantaran yang mana ianya seakan satu nilai “EXP” buat pemain. Jika pemain melengkapkan sebilangan penghantaran, tahap pemain juga akan ditingkatkan dan lagi tinggi nilai tahap pemain, kemahiran penghantaran pemain juga akan ditingkatkan seperti keupayaan untuk membawa kargo lebih berat, lebih banyak dan sebagainya.

Semestinya jika anda membaca keseluruhan bentuk permainan Death Stranding ini, anda sendiri pasti akan merasai bahawa sistem permainan agak pelik dan menyusahkan, memandangkan ianya bukan sahaja memerlukan anda untuk mengurus kargo, malah untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang jauh agak memenatkan. Ini juga mungkin akan menyebabkan beberapa aspek bentuk permainannya menjadi agak berulangan dan membosankan buat pemain.

Namun begitu, apa yang saya boleh katakan adalah permainan mempunyai daya tarikannya tersendiri yang saya amat menyukainya, betul terdapat beberapa saat pada permulaan permainan ini yang saya berasa agak menjengkelkan sehingga saya sendiri berasa sukar untuk menghabiskannya. Namun setelah saya maju di dalam penceritaan permainan dan mendapat pelbagai gajet-gajet baharu yang saya boleh gunakan untuk membantu saya menghantar barang, ianya menjadi semakin seronok dan menarik.

Sedikit sebanyak, permainan ini sekali lagi mengingatkan saya akan MGSV yang mana pada permulaan permainan ianya berasa agak sukar kerana anda tidak mempunyai gajet-gajet yang banyak dan menarik untuk membantu anda. Namun, setelah anda maju dan terus bermain dengan memiliki pelbagai kelengkapan yang akan membantu pergerakan dan pengembaraan anda, permainan tersebut menjadi lebih seronok.

Perkara yang sama boleh dikatakan untuk Death Stranding, sememangnya konsep asal permainan ini agak pelik, namun sebagai satu permainan dunia terbuka, Death Stranding sememangnya sangat berlainan dengan permainan lain dan ia mempunyai keunikannya tersendiri, terutamanya sistem Social Strand System yang akan saya terangkan di bawah.

Apa Itu Social Strand System

Jika ingin saya rumuskan, sistem “Social Strand System” yang sering diperkatakan oleh Hideo Kojima hanyalah satu bentuk dunia permainan antara pemain-pemain lain secara atas-talian. Sekaligus untuk mengakses sistem ini, pemain perlu bermain secara berada di atas-talian.

Namun, ini tidak bermakna permainan ini tidak boleh dimainkan secara luar-talian, tidak sama sekali. Tetapi jika anda berbuat demikian, anda tidak akan dapat mengakses sistem ini yang mana sistem ini sedikit sebanyak bukan sahaja memudahkan keseluruhan pengembaraan anda bahkan memberi aspek satu “komuniti” di kalangan penghantar barang, ataupun “Porter” di dalam permainan ini.

Jadi bagaimana Social Strand System ini berfungsi? Ianya akan dibuka dan boleh diakses setelah anda menyambung hubungan Chiral antara perhentian “Knot” yang pemain aktifkan yang saya kongsikan di ruangan kawalan di atas. Perkara ini boleh dilakukan dengan pemain melakukan penghantaran ataupun misi buat lokasi terpilih, dan pemain menyambung hubungan tersebut melalui rantai Q-Pid yang diberi oleh Die-Hardman.

Setelah pemain menyambung hubungan tersebut, lokasi tersebut akan ‘dibuka’ seperti kebanyakan permainan dunia terbuka lain seperti anda membuka kawasan di dalam menara seakan siri permainan Assassin’s Creed ataupun Marvel’s Spider-Man. Sekaligus selesai sahaja pemain membukanya, segala barangan seperti jalan raya, mahupun barangan dan gajet seperti tangga dan tali yang ditinggalkan oleh pemain lain, boleh di akses oleh pemain.

Bukan setakat itu sahaja, kenderaan yang ditinggalkan oleh pemain lain juga boleh diakses jika pemain tersebut meninggalkannya sama ada di tengah jalan ataupun di ruangan garaj di lokasi bandar di dalam permainan ini. Pemain juga boleh berkongsi gajet-gajet dan barangan di kotak pos yang pemain boleh hasilkan atuapun kotak pos di perhentian Knot.

Selain itu, memandangkan permainan ini adalah permainan secara berhubung, pemain juga boleh membantu pemain lain untuk melakukan penghantaran, contohnya jika pemain terjumpai satu kargo yang dijatuhkan oleh pemain lain, pemain juga boleh bantu mereka dengan menghantarnya. Pemain juga boleh tinggalkan mana-mana kargo dari misi sampingan, untuk dihantarkan oleh pemain lain.

Selain itu, pemain juga boleh memberi nilai “Like” dengan menekan butang di pad sesentuh Dualshock 4 pemain, di mana ini sekaligus akan memberi nilai “Like” pemain ditingkatkan. Namun, nilai tersebut tidaklah memberi sebarang kesan terhadap keseluruhan prestasi pemain, namun jika pemain sering membantu pemain lain, peringkat dan tahap penghantaran pemain akan mudah ditingkatkan, seperti yang saya terangkan di atas.

Tambahan itu, pemain juga membuat hubungan khas antara pemain lain yang dipanggil “Bridge Link” di mana melaluinya pemain akan lebih mudah untuk menjumpai dan akses barangan-barangan yang ditinggalkan oleh pemain tersebut.

Menariknya sekali, seperti saya terangkan di ruangan kawalan permainan ini, pemain juga boleh membina jalan raya yang akan membantu pemain bergerak dengan lebih pantas. Menariknya jalan raya tersebut boleh dibina dengan menggunakan sumber yang dikongsi antara pemain-pemain. Ini sekaligus meletakkan pemain untuk bekerjasama, untuk memudahkan pengembaraan pemain antara satu sama lain. Semestinya konsep ini sangat menarik dan ia adalah hasil acara komuniti yang dikembangkan melalui MGSV dengan acara “Nuclear Disarmament” sebelum ini.

Meskipun begitu, konsep ini juga tidaklah begitu mendalam seperti permainan MMORPG lain dan pemain masih lagi tidak akan menjumpai pemain lain di dalam dunia permainan ini. Namun kesan-kesan pemain lain seperti bekas tapak kaki, barangan dan sebagainya masih lagi boleh dilihat dan jika pemain menekan butang pad sesentuh di Dualshock 4 pemain, pemain boleh menjerit dan memanggil pemain lain, yang mana mereka akan membalas dengan bunyi seakan gema untuk menyahut jeritan pemain.

Aspek Social Strand System seterusnya yang saya sangat sukai adalah keupayaan untuk meninggalkan tanda-tanda yang akan membantu ataupun memberi amaran ataupun kata-kata semangat buat pemain. Dengan menggunakan Compass Mode dengan menekan butang L1, pemain berupaya untuk meninggalkan papan tanda khas buat pemain lain, contohnya seperti memberitahu bahawa lokasi tersebut mempunyai barangan Memory Chip, ataupun memberitahu bahawa lokasi di hadapan terdapat BTs dan sebagainya.

Semestinya konsep ini adalah menarik dan agak berlainan jika ingin dibandingkan dengan permainan lain, namun ianya masih lagi mempunyai beberapa had penggunaan kerana barangan-barangan yang ditinggalkan akan hilang dan rosak. Ianya juga mempunyai beberapa had penggunaan untuk diletakkan bagi barangan yang lebih besar seperti bangunan-bangunan ataupun gajet yang dihasilkan oleh PCC seperti yang saya terangkan di atas.

Ketika sesi permainan saya, pemain lain yang saya jumpai adalah kebanyakannya daripada pengulas-pengulas lain dan saya sendiri tidak pasti bagaimana sistem ini akan berfungsi setelah ianya dilancarkan secara umum kelak. Namun, setakat sesi cubaan saya, saya dapati ianya masih lagi terhad untuk beberapa pemain sahaja di dalam kawasan dan tidak kesemua barangan ditinggalkan oleh pemain akan boleh di akses untuk semua pemain.

Menurut Kojima Productions sendiri, dunia permainan tersebut juga tidak sama sekali dikongsikan secara terus dan hanya sesetengah barangan sahaja yang dikongsikan oleh pemain dan boleh di akses oleh pemain lain. Sekaligus ini juga mungkin akan menjawab persoalan setelah permainan ini dilancarkan kelak. Meskipun begitu sama-sama kita lihat setelah ia dilancarkan kelak.

Sememangnya bentuk ini bukan sahaja membuah bentuk komuniti yang diperkatakan oleh saya di atas, bahkan ianya memberi satu sistem sosial yang sangat menarik dan saling bantu antara pemain yang mana pasti membuatkan dunia di dalam permainan ini berasa terhubung antara satu sama lain.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan berkenaan Death Stranding, semestinya ini adalah satu bentuk permainan yang unik dan berlainan berbanding dengan kebanyakan permainan dunia terbuka lain. Dari segi konsep bentuk pengembaraan dengan bentuk simulasi penghantaran barang, terdapat beberapa aspek yang mana membuatkan permainan ini bukan sahaja satu revolusi untuk media permainan video malah ia adalah satu karya agung oleh Hideo Kojima sendiri.

Meskipun begitu, dari segi penceritaannya yang agak terlalu kompleks dan permulaan yang agak perlahan, permainan ini semestinya bukan untuk semua orang, bahkan saya percaya ramai pemain mahupun anda sendiri yang akan mempunyai pelbagai pendapat berbeza berkenaan permainan ini baik buruk ataupun tidak, terutamanya berkenaan bentuk plot penceritaan yang agak pelik.

Dari sudut lain pula, penceritaan permainan ini sememangnya dipersembahkan dengan baik bukan sahaja atas sebab visualnya yang sangat menawan, bahkan pelakon-pelakon terkemuka yang melakukan satu lakonan yang menakjubkan sekali. Permainan ini juga adalah sangat luas dengan pelbagai bentuk kebebasan yang saya sendiri tidak berkesempatan untuk terokai. Sudah pasti setelah selesai ulasan ini, saya sendiri akan terus bermain permainan ini dan menerokai segala apa yang saya terlepas sepanjang sesi permainan saya.

Akhir kata, Death Stranding sememangnya boleh dikatakan satu ikon untuk industri permainan video, sepanjang zaman ini.

Penafian: Kod permainan untuk Death Stranding disediakan oleh Playstation Asia dan Kojima Productions.

Death Stranding
Harga: RM239
Karya Agung Hideo Kojima Dengan Pelbagai Elemen Penceritaan Yang Pelik Namun Memberansangkan Dan Bentuk Permainan Dunia Terbuka Yang Unik
Cerita
9
Bentuk
10
Grafik
10
Audio
10
Positif
Penceritaan Mendalam
Bentuk Permainan Yang Unik Dan Pelbagai
Negatif
Permulaan Yang Agak Perlahan
9.8

Leave a Reply

Cerita
Bentuk
Grafik
Audio
Final Score