Sekian lama menjadi syarikat pembangun permainan video yang mengutamakan satu permainan sahaja, Riot Games kini tampaknya mengambil langkah yang besar untuk menjadi syarikat pembangun dengan beberapa permainan berbeza.
Semasa penstriman langsung bersempena ulang tahun ke-10 League of Legends, Riot Games telah mengumumkan League of Legends (LoL) versi mudah alih serta Legends of Runterra iaitu permainan kad berdasarkan IP LoL.
Tidak cukup setakat itu, mereka juga mengumumkan yang sedang membangunkan 4 permainan baharu dan kesemuanya adalah daripada genre yang berbeza.
Pertama, permainan menembak yang digelar sebagai Project A. Ia adalah permainan menembak berdasarkan watak, kemungkinan besar seperti Overwatch di mana setiap watak akan mempunyai kebolehan tersendiri. Menurut Riot, ia akan tiba sekitar tahun 2020 dan versi beta akan tiba pada awal tahun depan.

Kedua, permainan yang lebih misteri berbanding permainan lain tetapi ia dipanggil sebagai Project F. Berdasarkan apa yang diperlihatkan secara ringkas, ia berkemungkinan permainan yang berkongsi genre dengan permainan oleh Blizzard iaitu Diablo.
Ketiga, seperti yang diura-urakan sebelum ini, Riot Games akhirnya mengesahkan yang mereka sedang membangunkan permainan perlawanan yang digelar sebagai Project L. Buat masa ini tidak banyak maklumat lanjut yang dikongsi mengenai permainan ini.
Apa pendapat anda mengenai Riot Games yang tampaknya membangunkan banyak permainan pada satu masa? Ada juga persoalan adakah kesemua permainan akan dikeluarkan atau ada yang dibatalkan lebih awal lagi?