Bulan Ogos lepas menjadi bulan yang mengecewakan. Ini kerana, Spider-Man dilaporkan tidak lagi akan berada dalam MCU. Ini adalah kerana Sony tidak setuju dengan tawaran Disney yang menginginkan keuntungan dibahagi sama rata 50/50. Kemudian, kedengaran berita yang Tom Holland akan kekal melakonkan watak Spider-Man – walaupun filem Spider-Man tidak berada dalam MCU.

Baru-baru ini, berita gembira telah tiba. Spider-Man kini dilaporkan akan kembali dalam MCU. Disney dan Sony akhirnya mempersetujui perjanjian antara satu sama lain. Wakil Sony Pictures (Tom Rothman), wakil Marvel Studios (Kevin Feige) dan wakil Walt Disney Studios (Alan Horn & Alan Bergman) telah menandatangani perjanjian baharu pada Khamis malam.

Menurut sumber, Marvel dan Disney akan menerima 5% tambahan keuntungan filem – berbanding dengan sebelum ini. Marvel dan Disney juga akan kekal mengaut 100% keuntungan pembarangan (merchandising). Secara tidak langsung sekitar 25% keuntungan akan diberi kepada Marvel dan Disney.

Dengan perjanjian baru ini, sekuel Spider-Man seterusnya dijadualkan untuk ditayangkan pada 16 Julai 2021. Ini bermakna tahun 2021 akan ada empat filem MCU; Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings pada bulan Februari, Doctor Strange in the Multiverse of Madness pada bulan Mei dan Thor: Love and Thunder pada bulan November. Watak Spider-Man juga akan muncul dalam salah satu filem akan datang oleh Marvel Studios (tidak disahkan lagi filem yang mana).

Untuk berita lanjut mengenai Spider-Man dalam MCU sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini