Memang tidak dapat dinafikan bahawa permainan Monster Hunter World merupakan permainan terlaku oleh Capcom yang mana sebelum ini kami berkongsi ianya telah diedarkan melebihi 13 Juta salinan. Meskipun begitu, permainan-permainan keluaran Capcom bukan hanya terhad buat siri tersebut dan tahun ini mereka juga telah pun melancarkan pelbagai permainan daripada pelbagai francais.

Terkini, Capcom akhirnya berkongsi senarai jualan permainan mereka yang lain termasuklah siri Resident Evil di mana menariknya sekali, Resident Evil 2 yang baru sahaja dilancarkan awal tahun ini telah mencapai hasil jualan melebihi 4.5 juta salinan.

Sebelum ini kami berkongsi yang mana permainan tersebut telah pun diedarkan sehingga 3 juta salinan dan tampaknya selang beberapa bulan, permainan tersebut sememangnya mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat.

Tambahan itu, permainan Resident Evil 6 yang dilancarkan 2017 lepas juga kini mencapai 6.6 juta salinan terjual dan berdasarkan senarai yang disediakan oleh Capcom, 5 daripada 10 permainan jualan terbaik mereka adalah berdasarkan siri Resident Evil. Manakala 4 daripadanya pula adalah siri Monster Hunter.

Meskipun Devil May Cry 5 yang baru sahaja dilancarkan Mac lepas mencapai hasil jualan sebanyak 2.5 juta salinan sahaja, ianya masih lagi mempunyai hasil jualan yang baik buat siri tersebut.

Bagi anda yang ingin melihat senarai penuh hasil jualan permainan-permainan oleh Capcom, anda boleh ke pautan di bawah di mana menurut Capcom, senarai tersebut dikemaskini setakat 30 Jun lepas.

Layari: Senarai Jualan Permainan Capcom

Sohor Kini