Informasi Permainan Video Terkini
(Ura-Ura) George R.R. Martin Dan From Software Dilaporkan Sedang Membangunkan Permainan Baharu

(Ura-Ura) George R.R. Martin Dan From Software Dilaporkan Sedang Membangunkan Permainan Baharu

Diterbitkan pada Mei 21, 2019 oleh .

Bagi anda yang baru sahaja menonton episod terakhir Game Of Thrones awal minggu ini, anda pasti mengetahui penulis novel asal buat siri TV tersebut iaitu George R.R. Martin.

Terkini, melalui laporan Eurogamer, beliau berkongsi di blog rasmi beliau di mana beliau kini sedang berunding dengan satu syarikat di Jepun berkenaan permainan video. Buat masa ini, sebarang kenyataan rasmi bahawa syarikat tersebut adalah From Software adalah masih samar.

Namun, menurut laporan tersebut, tampaknya syarikat tersebut mungkin adalah From Software di mana mereka terkenal dengan permainan siri Dark Souls dan juga permainan terkini mereka iaitu Sekiro: Shadows Die Twice yang baru sahaja diulaskan oleh kami. Laporan tersebut menyatakan bahawa permainan yang dirundingkan itu dinamakan ‘GR’ buat masa ini dan ianya telah pun dibangunkan hampir 3 tahun. Menariknya juga, permainan tersebut akan diterbitkan oleh Bandai Namco dan akan memfokuskan bentuk dunia terbuka bersama dengan tunggangan kuda.

Sebelum ini From Software juga mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan dua lagi permainan yang tidak lagi diumumkan, sekaligus ura-ura ini mungkin adalah betul. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa ianya akan diumumkan ketika acara E3 2019 bagi persidangan Microsoft yang bakal berlangsung Jun ini.

Semestinya ini adalah satu ura-ura yang sangat menarik sekali. Dengan dunia yang dihasilkan oleh George R.R. Martin di campur bentuk permainan oleh From Software, sudah pasti GR bakal menjadi satu lagi permainan yang terkemuka oleh From Sofware.

Meskipun begitu, buat masa ini ia hanyalah masih lagi khabar angin dan sebarang kenyataan rasmi oleh mana-mana pihak tidak lagi diumumkan. Seperti biasa, akan kami kongsikan informasi lanjut setelah ianya diumumkan kelak.


TIPS & ULASAN