Skip to main content

From Software sememangnya terkenal dengan permainan yang sangat sukar dengan bentuk aksi pertempuran yang sangat mencabar. Antara permainan yang dikeluarkan oleh mereka seperti Dark Souls dan Bloodborne sering mendapat pujian dan ikutan ramai atas sebab bentuk permainannya yang menguji kepakaran pemain.

Terkini, dengan kerjasama bersama Activision, From Software membawa satu lagi permainan yang mempunyai genre yang serupa iaitu Sekiro: Shadows Die Twice di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Permainan ini dilancarkan Mac lepas dan saya berpeluang untuk bermainnya di Playstation 4 Pro.

Perkara pertama yang saya haruskan katakan adalah, sememangnya permainan ini adalah satu permainan yang sangat sukar di mana saya sendiri menghadapi masalah untuk menghabiskannya dan dukacitanya, saya tidak berkesempatan untuk menghabiskan permainan dan bermain sekitar 33 jam bersamanya. Saya berkesempatan untuk bermain sehingga penghujung permainan, namun saya tidak berupaya untuk mengalahkan ketua musuh terakhir permainan ini.

Namun, saya percaya sepanjang sesi permainan saya mencukupi dengan melepasi hampir penghujung keseluruhan permainan tersebut dan ini adalah ulasan saya untuk Sekiro: Shadows Die Twice.

Cerita

Seperti yang saya kongsikan di dalam pandang pertama permainan ini sebelum ini, Sekiro: Shadows Die Twice ini sememangnya mempunyai satu penceritaan yang lengkap dan sangat menarik. Anda akan bermain sebagai seorang Shinobi yang dipanggil Wolf ataupun Okami di dalam bahasa Jepun dan anda perlu melindung seorang Tuan, yang masih lagi kanak-kanak iaitu Kuro.

Namun, atas sebab Okami gagal melindung beliau di dalam satu misi ini, sekaligus Okami perlu membalas dendam dan mencari semula tuan beliau. Secara asasnya, berikut adalah penceritaan permainan ini. Sepanjang sesi permainan saya, saya amat menyukai di mana misteri-misteri penceritaannya dirungkai dengan baik sekali.

Walaupun terdapat beberapa saat di mana penceritaannya tidak diterangkan dengan baik, namun penceritaan tersebut kebanyakannya adalah terhad kepada penceritaan sampingan sahaja dan pada pendapat saya, Sekiro: Shadows Die Twice ini masih lagi berjaya menghasilkan satu pengalaman yang membuatkan saya berminat untuk meneruskan bermain.

Akan tetapi, ini juga tidak bermakna penceritaan permainan ini adalah sempurna. Terdapat juga saat-saat yang membuatkan saya berasa pening dan tidak tahu ke mana untuk meneruskan permainan. Bagaimana pun, ini juga merupakan satu cabaran buat pemain untuk menyelesaikan permainan ini di mana ianya tidaklah terlalu memimpin pemain secara keterlaluan.

Memandangkan permainan ini diletakkan di era kuno Sengoku Jepun, terdapat pelbagai senjata dan budaya Jepun diperlihatkan melalui permainan ini. Menariknya juga, permainan ini banyak mengambil kisah-kisah rakyat dari budaya Jepun yang mana ia diterjemahkan dengan sangat menarik sekali.

Seperkara lagi yang agak menarik berkenaan permainan ini adalah ianya mempunyai pengakhiran yang berbeza, iaitu 4 pengakhiran dan setiap pilihan yang dilakukan oleh pemain juga akan memberi kesan terhadap penceritaan permainan ini. Ini sekaligus membuka lagi kandungan dan peluang untuk bermain semula permainan ini secara berulang kali.

Selain itu, seperti yang saya kongsikan sebelum ini, penceritaanya yang memfokus naratif yang disampaikan melalui permainan ini juga merupakan satu perkara yang saya perlu puji From Software kali ini. Ini akibat permainan-permainan oleh mereka sebelum lebih memfokuskan penceritaan melalui kisah sebalik dan sering tidak diterjemahkan melalui adegan permainan.

Namun melalui permainan ini, From Software berjaya menyampaikan penceritaan permainan ini dan membuka pelbagai bentuk plot naratif yang menyegarkan dan membuat saya lebih tertarik berbanding permainan-permainan oleh mereka sebelum ini.

Grafik

Tidak seperti permainan From Software sebelum ini di mana ianya memfokuskan suasana yang agak suram dan gelap di kawasan-kawasan istana terbiar. Memandangkan permainan ini bertempatkan di negara Jepun, From Software kali ini berjaya menterjemahkan visual Jepun dengan sangat baik sekali dengan pelbagai imej dan lokasi ikonik seperti kawasan pokok Sakura, gunung-ganang dan juga lokasi bersalji.

Ini sekaligus membuatkan permainan Sekiro: Shadows Die Twice sangat menarik untuk diperlihatkan dan pada masa yang sama memberi satu suasana bentuk permainan yang berbeza setiap kali pemain berada di lokasi yang berlainan.

Dari segi aspek rekaan watak, ianya pada pendapat saya masih lagi mempunyai ciri-ciri From Software tersendiri dengan rekaan yang seakan sama dengan permainan mereka sebelum. Namun, setiap watak juga masih lagi mempunyai rekaan ciri-ciri Jepun yang masih lagi menarik untuk era Sengoku tersebut.

Akan tetapi apa yang saya perlu puji sekali dari segi bentuk visual adalah rekaan musuh-musuh yang terdapat di dalam permainan ini. Setiap rekaan watak musuh yang dihasilkan oleh From Software adalah sangat menyeramkan dan pada masa yang sama sangat menarik dengan pelbagai jenis senjata, saiz dengan bentuk tema yang tepat dengan suasana dan lokasi di dalam permainan ini. Bukan sahaja pemain akan menempuhi pelbagai musuh seperti Samurai dan sebagainya, namun terdapat pelbagai jenis raksasa yang pemain akan bertempur seperti ular gergasi, raksasa dan juga roh-roh berhantu.

Perkara yang sama saya boleh katakan untuk cara penyampaian permainan ini di mana From Software berjaya menghasilkan sesuatu seolah karya seni yang menarik untuk permainan ini. Setiap kali saya menerokai kawasan baharu, saya sendiri akan terkedu dengan pemandangan visual yang cantik sekali dan membuat saya ingin terokai setiap bahagian permainan.

Walaupun begitu, ianya agak mengecewakan untuk permainan ini tidak mencapai kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS di Playstation 4 Pro dan hanya 30FPS walaupun dimainkan secara resolusi 1080P. Ini kerana pada pendapat saya, permainan aksi yang memerlukan ketelitian dan ketepatan ketika bertempur, ianya memerlukan kadar bingkai sesaat yang lebih tinggi. Namun, bagi pemain di PC, saya percaya ianya bukan satu masalah, tetapi bagi pemain konsol, ianya agak mengecewakan.

Audio

Dari segi audio, tidak banyak yang saya boleh katakan melainkan permainan ini sememangnya mempunyai bentuk audio yang bagus dan sangat menyeramkan. Segala suasana gelap ataupun muzik-muzik ketika bertempur dengan ketua musuh, dihasilkan dengan baik sekali dengan bertemakan alat muzik Jepun yang sangat menakjubkan.

Saya juga menyukai saat di mana muzik-muzik yang dimainkan ketika saya bertempur dengan musuh membuatkan saya berasa sangat cemas. Ini juga memberi kesan panik dan pada masa yang sama setiap ‘pertempuran’ saya berasa sangat berisiko, dan ia memberi satu pengalaman yang pasti saya tidak lupa setiap kali bertembung dengan musuh.

Dari segi bentuk audio yang lain, permainan ini juga mempunyai sokongan dwi-bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Jepun, namun pada pendapat saya, memandangkan permainan ini bertema dan bertempatkan di lokasi Jepun, pilihan bahasa asli tersebut adalah lebih sesuai dengan permainan ini berbanding bahasa Inggeris.

Namun ini tidak bermakna suara latar yang disampaikan oleh pelakon suara latar bahasa tersebut adalah teruk, tidak sama sekali. Bagi saya, kedua-dua bahasa pelakon suara latar yang dilakon oleh pelakon di dalam permainan ini adalah sangat memberansangkan dan ianya adalah terbaik untuk permainan keluaran From Software.

Kawalan

Saya sendiri tidak ingin berbandingkan Sekiro: Shadows Die Twice dengan permainan From Software yang lain seperti Dark Souls dan Bloodborne, namun memandangkan ketiga-tiga permainan ini berkonsepkan yang seakan sama dan juga dibangunkan oleh pembangun yang sama, topik ini semestinya tidak dapat dielakkan oleh saya.

Meskipun begitu, pada pendapat saya, Sekiro: Shadows Die Twice mempunyai bentuk permainan terbaik di antara permainan Soulsborne yang lain. Ini kerana ketika saya bermain Dark Souls dan Bloodborne, saya tidak menyukainya kerana terdapat beberapa had pergerakan yang saya boleh lakukan dan kebanyakannya saya hanya akan guling dan mengelak serangan musuh sahaja.

Namun, melalui Sekiro: Shadows Die Twice, From Software mengembangkan bentuk elak permainan ini yang mana ianya bukan sahaja mengubah keseluruhan bentuk pertempuran, malah ia memberi satu ‘kebebasan’ pertempuran yang lebih meluas.

Ini adalah kerana, permainan ini memfokuskan bentuk menepis serangan musuh berbanding mengelaknya. Namun, fungsi mengelak kali ini juga tiba dan dikembangkan dengan bentuk lebih menarik seperti melompat dan ia membuka bentuk pertempuran yang lebih meluas dan taktikal.

Secara asasnya, Sekiro: Shadows Die Twice masih lagi memerlukan pemain untuk bertempur musuh secara biasa seperti permainan Soulsborne lain, namun ianya dikembangkan lagi dengan bentuk postur yang memainkan peranan yang sangat besar di dalam permainan ini.

Ini kerana, di dalam Sekiro: Shadows Die Twice, bentuk stamina tidak lagi disertakan dan ia digantikan dengan bentuk postur. Bentuk ini merupakan seakan satu bar meter ‘Stun’ dan ianya terdapat di kedua-dua belah pihak iaitu pemain dan juga musuh. Menariknya, jika bar postur tersebut penuh, ianya akan memberi kesan kepada watak tersebut untuk terhenti seketika dan membenarkan musuhnya untuk melakukan serangan maut.

Melalui bentuk ini, ianya bukan sahaja membuka satu lagi bentuk pertempuran yang lebih meluas malah pemain tidak lagi perlu memukul musuh sehingga bar nyawa menjadi kosong. Akan tetapi, bar nyawa masih lagi akan memberi kesan seperti bar postur akan lambat sembuh jika pemain ataupun musuh mempunyai bar nyawa yang rendah.

Berbalik kepada bar postur tersebut, cara untuk memenuhkan bar postur tersebut, pemain perlu menepis serangan musuh ataupun menyerang mereka dengan memukul ataupun melompat atas mereka. Ini kerana permainan ini lebih memfokuskan bentuk serangan balas berbanding serangan secara membabi buta, dan ini bukan sahaja membuatkan permainan ini lain daripada yang lain, malah menghasilkan satu bentuk pertempuran yang sangat strategik yang memerlukan pemain untuk sentiasa bersabar setiap kali pemain ingin menyerang balas ataupun memukul musuh.

Disebabkan bentuknya yang mendalam, ianya memerlukan pemain untuk sentiasa fokus terhadap serangan musuh, contohnya jika musuh akan membuat serangan menusuk, pemain perlu melakukan satu serangan balas yang dipanggil ‘Mikiri Counter’ di mana pemain akan memijak senjata musuh dan menyerang balas. Terdapat juga bentuk elakkan yang lain seperti serangan musuh yang menggunakan bentuk serangan libas dan pemain perlu melompat atas musuh untuk mengelak, yang mana juga pada masa yang sama akan mengakibatkan postur musuh terkesan.

Apa yang saya boleh katakan adalah, konsep ini sememangnya agak sukar untuk dipelajari ketika pemain berada di awal permainan, namun setelah berkali-kali pemain bertempur dengan musuh, saya berpendapat bahawa bentuk ini adalah bentuk terbaik sekali untuk permainan ini dan ia berasa sangat seronok untuk dimainkan.

Walaupun begitu, bagi anda yang berasa bentuk dan konsep ini agak sukar untuk dimainkan, From Software juga menyertakan satu bentuk latihan untuk pemain berlatih bertempur. Ini bukan sahaja membuka satu bentuk latihan buat pemain, malah ianya juga memberi peluang kepada pemain untuk menjadi lebih baik ketika bertempur. Walaupun begitu, bentuk latihannya masih lagi terhad untuk satu jenis musuh sahaja. Akan tetapi ianya masih membantu buat pemain baharu, seperti saya untuk bermain permainan bergenre ini.

Dari segi kemahiran bertempur, permainan ini sememangnya mempunyai pelbagai bentuk pertempuran yang menarik. Antaranya adalah senjata tangan prostetik yang pemain boleh gunakan. Pada permulaan permainan ini, pemain akan dilengkapkan dengan satu tangan palsu, ataupun tangan prostetik di mana ianya boleh dinaik-taraf dan digunakan dengan pelbagai jenis senjata.

Antara senjata yang pemain boleh guna adalah balingan shuriken, lembing, kapak, bunga api dan sebagainya. Senjata-senjata tersebut juga boleh dinaik-taraf dengan mengembangkannya lagi kekuatannya dan jenis serangannya. Pemain juga berupaya untuk menetapkan 3 jenis senjata prostetik pada waktu yang sama. Ianya boleh ditukarkan ketika pemain bertempur dan untuk menukar kepada senjata lain, pemain hanya perlu menetapkan di menu permainan tersebut. Ini bukan sahaja membuka lagi bentuk pertempurannya yang pelbagai malah ianya memberi satu bentuk pertempuran yang mendalam di mana pemain perlu bijak menggunakannya.

Ini juga berkait rapat dengan cara penggunaan senjata prostetik tersebut. Setiap kali pemain ingin menggunakan senjata prostetik tersebut, pemain perlu menggunakan ‘Spirit Emblem. Anggap bahawa perkara ini seakan nilai MP yang sering berada di dalam permainan-permainan RPG lain. Memandangkan Spirit Emblem agak terhad, sekaligus pemain perlu bijak dan jimat menggunakannya. Akan tetapi, Spirit Emblem tersebut boleh dibeli dan dinaik-taraf dari segi nilai keseluruhannya.

Bercakap berkenaan naik-taraf, watak Sekiro pemain juga boleh dinaik-taraf dengan pelbagai kemahiran baharu. Ini seakan bentuk nilai pengalaman EXP ataupun ‘Souls’ yang terdapat di dalam permainan Soulsborne, di mana nilai tersebut pemain boleh gunakan untuk mempelajari kemahiran baharu buat watak pemain.

Secara asasnya terdapat 2 kemahiran yang pemain boleh pelajari, kemahiran pertama adalah kemahiran serangan. Melalui bentuk ini, pemain boleh menyerang musuh dengan bentuk yang berbeza seperti serangan libas senjata berpusingan dan sebagainya. Kemahiran kedua pula ada kemahiran Ninjutsu di mana ia membenarkan pemain untuk melakukan kemahiran berasaskan Ninja seperti menyebarkan satu bom asap dengan menggunakan darah musuh atau pun mengawal musuh menjadi teman di mana ia akan menyerang musuh lain.

Memandangkan permainan ini adalah memfokuskan pemain sebagai seorang ‘Shinobi’ ataupun Ninja, pemain juga berupaya untuk menyerang musuh secara senyap dan juga menyelinap di kawasan-kawasan musuh tanpa bunyi. Pemain juga mempunyai satu fungsi cangkuk dan ia memberi kebebasan yang sangat meluas dan pemain berupaya untuk lari ataupun menyelinap di kawasan tinggi. Cangkuk tersebut juga membantu jika pemain ingin bergerak dengan pantas sama ada untuk mengelak musuh ataupun mencari ruangan kelemahan musuh.

Bentuk seterusnya yang mana ia adalah sangat penting adalah berkait rapat dengan tajuk permainan ini, iaitu ‘Shadows Die Twice’ tersebut. Tidak seperti permainan Soulsborne yang lain jika pemain mati, pemain akan terus mati dan dihidupkan di kawasan ‘Bonfire’ terdekat. Melalui Sekiro ini, pemain diberi peluang untuk ‘hidup semula’ dan terus sambung bertempur ataupun larikan diri. Sememangnya terdapat had-had untuk penggunaan fungsi ini, namun ianya masih lagi memberi peluang ‘kedua’ untuk pemain.

Selain itu, kematian pemain juga akan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keseluruhan permainan ini dan setiap kali pemain hidup semula, ianya akan memberi kesan terhadap watak-watak NPC lain yang mana mereka akan dijangkiti satu penyakit ‘Dragonrot’. Konsep ini sememangnya agak menghukum pemain, namun watak-watak NPC tersebut masih boleh disembuh dengan menggunakan Dragon’s Blood Droplet. Kesan ini juga akan memberi kesan untuk setiap kali nilai pengalaman yang pemain akan hilang jika pemain mati.

Tuntasnya, bentuk dan kawalan permainan Sekiro: Shadows Die Twice ini sememangnya pada pendapat saya adalah sangat baik sekali. Ianya sangat mencabar dan pada masa yang sama memberi satu bentuk yang sangat mendalam dengan pelbagai corak pertempuran yang pemain akan pelajari setelah bertempur dengan musuh berulang kali.

Tambahan itu, dengan pelbagai jenis musuh yang pemain hadapi sama musuh biasa, ataupun ketua musuh, ianya semestinya membuat pemain untuk sering berlatih dan bermain permainan dengan tempoh masa yang lama.

Namun, seperti kebanyakkan permainan From Software yang lain, semestinya Sekiro: Shadows Die Twice ini adalah sangat sukar sekali. Saya sendiri menghadapi cabaran untuk bermain permainan ini dan masih lagi tidak berjaya mengalahkan ketua musuh terakhir permainan ini. Sudah pastinya jika anda bermain permainan ini, anda akan mati berkali-kali. Semestinya ini adalah apa yang permainan ini cuba buktikan yang mana ia akan membuat pemain untuk berlatih berkali-kali untuk menyelesaikan sesuatu ketua musuh. Akan tetapi, saya mesti puji bagaimana From Software mengembangkan lagi bentuk permainan ini yang mana ia berasa agak mudah jika ingin dibandingkan dengan Soulsborne lain.

Kesimpulan

Untuk disimpulkan, Sekiro: Shadows Die Twice adalah satu permainan yang bagus. Bentuk pertempuran yang mendalam dicampur dengan cabaran yang pasti akan menguji kesabaran pemain, permainan ini merupakan satu permainan aksi yang pasti saya tidak akan lupai.

Dicampur dengan visual yang menarik dengan tema era Sengoku, Jepun bersama bentuk muzik yang sangat memberansangkan, Sekiro: Shadows Die Twice merupakan sesuatu yang sangat menyegarkan untuk siri permainan oleh From Software.

Walaupun begitu, untuk anda yang baru dengan permainan yang sukar seperti ini, saya sendiri tidak mengesyorkan anda untuk bermainnya. Namun bagi anda yang ingin mencabar diri anda, dan mendalami bentuk permainan pertempuran yang pelbagai, saya sendiri sangat pasti ini adalah permainan yang perlu anda cuba.

Terutamanya buat mereka yang meminati siri Dark Souls dan Bloodborne, permainan ini semestinya adalah satu perkembangan siri Soulsborne yang baik sekali oleh From Software.

Penafian: Kod Ulasan Sekiro: Shadows Die Twice disediakan oleh Playstation Asia

Leave a Reply