Melalui Podcast Splitscreen Kotaku, Tim Schafer pengasas syarikat pembangun permainan Double Fine Production, yang terkenal dengan permainan Psychonauts, menyatakan bahawa Will Wright telah menyelamatkan syarikat tersebut daripada bankrap. Will Wright, iaitu pereka permainan The Sims, Sim City dan Spore yang mana baru-baru ini beliau mengumumkan permainan terbaru oleh beliau iaitu Proxi.
Melalui sesi temu bual tersebut, Tim Schafer menyatakan bahawa ketika pembangunan permainan Psychonauts beberapa tahun lepas, mereka menghadapi masalah dan permainan tersebut dibatalkan. Namun, dengan harapan untuk meneruskan pembangunan permainan tersebut, Tim Schafer mengambil keputusan untuk menghubungi Will Wright, dimana ketika itu, beliau baru sahaja menjual syarikat pembangunan Maxis ke EA dengan harapan Will Wright dapat membantu Double Fine Production dan Tim Schafer akan memberi 10% daripada syarikat tersebut kepada Will Wright.
Namun pada saat itu, Will Wright tidak berupaya untuk melakukannya kerana peguam beliau menyatakan beliau tidak boleh mempunyai stok buat syarikat pembangun permainan lain. Walaupun begitu, Will Wright mengambil keputusan untuk terus memberi wang kepada Tim Schafer, sekaligus memberi peluang kepada Double Fine Production untuk menyelesaikan pembangunan permainan Psychonauts.
Tim Schafer menyatakan beliau sangat berterima kasih kepada Will Wright. Walaupun Tim Schafer sudahpun membayar semula pemberian Will Wright, beliau masih lagi berterima kasih dan tindakan Will Wright membuat beliau ingin membantu pembangun-pembangun permainan indie diluar sana.
Buat masa ini, Double Fine Production masih lagi sedang membangunkan permainan Psychonauts 2 yang mana ia dirancang untuk dilancarkan seawal-awalnya pada 2019 dengan bantuan Starbreeze sebagai pengeluar permainan tersebut.