Pada awal pagi ini, melalui Nindies Showcase Spring 2018 iaitu acara khas untuk Nintendo mengumumkan permainan dari pembangun indie bagi konsol Switch. Oleh kerana acara ini memfokuskan kepada permainan indie, acara ini tidaklah boleh dibandingkan dengan Nintendo Direct yang mengumumkan permainan seperti Super Smash Bros dan Crash Bandicoot.

Walau bagaimanapun acara ini tetap mengumumkan beberapa permainan yang menarik. Berikut adalah senarai penuh permainan yang diumumkan semasa Nindies Showcase kali ini.

Mark of the Ninja Remastered

Mark of the Ninja merupakan permainan sidescrolling yang mempunyai elemen menyorok, pertama kali dikeluarkan untuk PC dan Xbox 360 pada tahun 2012. Mark of the Ninja yang ditambah-baikkan akan dikeluarkan untuk Switch pada suku keempat 2018.

Fantasy Strike

Fantasy Strike merupakan permainan pertempuran yang memfokuskan kesenangan untuk mengawal terutama untuk pemain yang tidak pakar dalam permainan pertempuran. Permainan ini sudah dikeluarkan untuk PC akan tetapi masih di peringkat akses awal. Pemain boleh bermain permainan ini secara atas talian ataupun luar talian dan pemain boleh mengunakan satu joycon untuk bermain. Dijangkakan akan dikeluarkan untuk Switch pada suku ketiga tahun ini termasuk juga untuk Playstation 4.

Just Shapes & Beats

Permainan yang berasaskan irama akan dikeluarkan untuk PC dan juga Switch pada suku kedua 2018. Pemain boleh bermain secara berseorangan ataupun bertiga dengan rakan secara atas talian ataupun luar talian. Permainan ini juga mempunyai mod penceritaan.

Garage

Garage merupakan permainan menembak dari pandangan atas seakan Hotline Miami dan juga permainan lain dari Tiny Build iaitu Mr Shifty. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku kedua tahun ini.

Pool Panic

Pool Panic adalah permainan tekaria yang mengunakan konsep permainan pool dan mempunyai grafik yang menarik. Permainan ini akan dikeluarkan pertamanya untuk Switch pada tahun ini.

Bomb Chicken

Bomb Chicken adalah permainan sidescrolling yang memfokuskan kepada penggunaan bom untuk menyelesaikan tekaria bagi membolehkan pemain membunuh penjahat dan juga meneruskan ke peringkat yang lain. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku ketiga 2018.

Lumines Remastered

Lumines merupakan permainan tekaria berdasarkan bongkah yang direka oleh Tetsuya Mizuguchi iaitu pereka permainan Rez. Permainan ini dikeluarkan pada tahun 2004 untuk PSP, PS3, Xbox 360 dan Permua. Versi yang ditambah-baikkan untuk Switch akan dikeluarkan pada suku kedua 2018.

Reigns Kings and Queens

Reigns merupakan permainan yang unik kerana mengunakan sistem seperti applikasi Tinder, pemain meneruskan penceritaan dengan menatal kad penceritaan ke kiri atau kanan. Regins untuk Switch yang akan dikeluarkan pada suku kedua 2018 akan mempunyai kedua-dua versi iaitu Reigns dan Reigns:Her Majesty yang dijual berasingkan di PC dan permua. Anda juga boleh bermain dengan rakan anda secara di luar talian, mod yang eksklusif untuk Switch.

Light Fall

Light Fall merupakan permainan platformer yang membolehkan pemain mencipta bongkah hitam untuk membantu mencapai sesuatu tempat. Akan dikeluarkan untuk Switch pada suku kedua tahun ini berdasarkan penyenaraian di Steam, permainan ini akan dikeluarkan pada April 2018. Permainan ini juga akan mempunyai mod khas untuk penggemar speed run.

West of Loathing

West of Loathing merupakan permainan RPG yang mempunyai orang lidi sebagai watak. Permainan ini juga mempunyai dunia yang terbuka membolehkan pemain bebas untuk mengembara. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku kedua 2018.

Pode

Pode merupakan permainan tekaria yang mempunyai rekaan dunia dan karakter yang unik. Pemain boleh bermain secara berseorangan ataupun dengan rakan menggunakan 2 joy con yang tersedia. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku kedua 2018.

The Messenger

The Messenger merupakan permainan sidescrolling yang mempunyai mod unik iaitu mempunyai dua jenis grafik iaitu 8-bit ataupun 16-bit. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku ketiga 2018.

Bad North

Bad North merupakan permainan taktikal masa nyata yang mengawal tentera untuk mempertahankan pulau anda daripada penjahat yang akan tiba menggunakan bot.  Permainan ini akan dikeluarkan pada suku ketiga 2018.

The Banner Saga 3

The Banner Saga merupakan permainan RPG yang memfokuskan kepada penceritaan dan juga keputusan yang harus dilakukan oleh pemain. The Banner Saga 3 merupakan permainan terakhir untuk siri ini dan akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini. The Banner Saga dan The Banner Saga 2 juga akan dikeluarkan untuk Switch sebelum The Banner Saga 3 dikeluarkan.

Walaupun kebanyakan pengumuman merupakan permainan lama yang dikeluarkan untuk Switch tetapi ini sudah semestinya bagus untuk pemilik Switch kerana mempunyai lebih banyak variasi permainan.

Jika anda ingin menonton secara penuh acara Nindies Showcase kami sertakan video penuh dibawah.

Sohor Kini