Beberapa minggu lepas, Epic Games mengumumkan permainan Fortnite Battle Royale versi permua yang mana mereka hanya melancarkan permua tersebut melalui jemputan khas dan pada peranti iOS sahaja. Kini, dengan tempoh masa hanya 4 hari, Epic Games telah memperoleh lebih dari $1.5 juta hasil daripada kandungan miktro-transaksi yang terdapat di dalam permainan tersebut.
Melalui laporan Sensor Tower, permainan tersebut menjana melebihi $1 juta pendapat dengan hanya 72 jam pertama sahaja dan sekaligus pada hari ke-4, ia menjana pendapatan melebihi $1.5 juta. Melalui mikro-transaksi yang terdapat di dalam permua tersebut, pemain berupaya untuk membeli sebilangan kandungan seperti kostum, emotes, senjata dan sebagainya melalui mata wang V-Bucks. Menariknya, mata wang tersebut boleh dibeli dengan harga serendah $9.99(~RM40) untuk 1,000 V-Bucks.
Ini merupakan satu kejayaan yang besar bagi Epic Games dengan peningkatan pemain sehingga 3.4 juta pemain serentak baru-baru bagi versi konsol dan PC sekaligus mengatasi rekod permainan PUBG. Mungkin juga Fortnite Battle Royale versi permua ini akan menarik lagi banyak peminat permainan bergenre Battle Royale.
Walaubagaimana pun, dengan pelancaran PUBG Mobile secara rasmi di iOS dan Android minggu ini, mungkin juga pada masa akan datang PUBG Mobile akan memegang takhta permua bergenre Battle Royale terbaik memandang permua Fortnite Battle Royale hanya boleh dimainkan di iOS dan melalui jemputan sahaja buat masa ini. Namun, buat masa ini hasil pendapat bagi PUBG Mobile masih belum dikongsikan oleh Tencent memandangkan permainan tersebut baru sahaja dilancarkan minggu ini secara global.
Tampaknya kini permainan Battle Royale menjadi kegilaan ramai peminat-peminat permainan mahupun di konsol ataupun di peranti telefon pintar.