Selain daripada pengumuman jumlah jualan permainan Horizon Zero Dawn mencapai 7.6 juta minggu lepas, Sony Interactive Entertainment hari ini berkongsi video khas yang mana mereka menyambut ulang-tahun pertama bagi permainan tersebut.
Melalui video tersebut, sebilangan pembangun-pembangun permainan terkenal seperti Hideo Kojima dari Kojima Production, Anthony Newman dari Naughty Dog memberi pendapat mereka berkenaan permainan tersebut. Tambahan juga, sebilangan peminat bersama Cosplayer juga berkongsi pelbagai pendapat mereka berkenaan permainan tersebut.
Selain itu, Sony juga berkongsi sebilangan statistik permainan tersebut termasuklah sebilangan mesin yang dibunuh, senjata yang sering digunakan oleh pemain dan sebagainya.
Horizon Zero Dawn merupakan permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Guerrilla Games dan dilancarkan pada 2017 lepas. Sejak pelancarannya, permainan tersebut mendapat pelbagai anugerah dan kandungan pernambahannya juga dilancarkan pada November lepas, iaitu The Frozen Wilds.
Bagi anda yang masih belum bermain permainan ini, kami sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkannya di Playstation 4 melalui pengedar rasmi Playstation ataupun Playstation Store bermula dengan harga RM189.