Sony Interactive Entertainment hari ini mengumumkan bahawa permainan Horizon Zero Dawn kini telah terjual melebihi 7.6 juta salinan seluruh dunia. Permainan Horizon Zero Dawn yang mana dilancarkan pada tahun lepas pada 28 Februari 2017, hari ini menyambut ulang tahun pertamanya.
Menurut Shaw Layden, pengerusi Sony Interactive Entertainment menyatakan bahawa beliau sangat bersyukur dengan sokongan peminat terhadap permainan tersebut bersama hasil kerja yang sangat memberansangkan oleh pembangun permainan tersebut, iaitu Guerrilla Games.
Hermen Hulst, pengurus pengarah Guerrilla Games juga menyatakan beliau sangat terkejut dengan hasil jualan yang diperoleh oleh permainan tersebut dan pada masa yang sama beliau berharap semua pemain menikmati permainan tersebut seperti mana mereka menikmatinya ketika membangunkan permainan tersebut.
Horizon Zero Dawn merupakan permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Guerrilla Games dan dilancarkan oleh Sony Interactive Entertainment secara esklusif di Playstation 4. Sejak pelancarannya tahun lepas, permainan tersebut memenangi pelbagai anugerah dan pada Disember lepas, Sony melancarkan Horizon Zero Dawn Complete Edition yang menyertakan kandungan DLC The Frozen Wilds secara bersama.
Bagi anda yang masih belum bermain permainan tersebut, anda boleh membelinya secara digital melalui PSN Store ataupun dimana-mana pengedar rasmi Playstation bermula dengan harga RM189.