Selain daripada kolaborasi Square-Enix bersama Valve dengan menyertakan kostum Gordon Freeman, Square-Enix juga mengumumkan bahawa mereka bekerjasama bersama Electronic Arts dan Maxis untuk menyertakan kostum daripada The Sims 4 bagi mereka yang membuat pra-tempahan permainan Final Fantasy XV: Windows Edition di Origin.

Bagi mereka yang membuat pra-tempahan permainan tersebut melalui Origin bermula hari ini sehingga 1 Mei 2018 ini, Square-Enix akan menyertakan kostum khas Llama Suit dan Plumbob daripada permainan The Sims 4 yang mana pemain berupaya untuk memakainya di mod penceritaan solo dan juga mod multi-pemain Final Fantasy XV: Comrades. Tambahan juga, seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, setiap pra-tempahan permainan Final Fantasy XV: Windows Edition di Origin juga akan menyertakan sebilangan pelekat rekaan khas buat kenderaan Regalia.

Selain itu, bermula 8 Mac ini, bagi mereka yang memilik permainan The Sims 4, pemain juga akan berupaya untuk memuat-turun kostum Noctis buat permainan The Sims 4 yang mana pemain berupaya untuk menggunakannya di avatar permainan tersebut.

Final Fantasy XV: Windows Edition akan dilancarkan secara rasmi pada 6 Mac ini dengan sebilangan kandungan tambahan daripada kandungan Final Fantasy XV: Royal Edition. Untuk senarai penuh berkenaan kandungan tersebut, anda boleh membacanya di sini.

Sohor Kini