Informasi Permainan Video Terkini
Senator Amerika Syarikat Meminta ESRB Untuk Menukar Penilaian Permainan Yang Mempunyai Kotak Tikam

Senator Amerika Syarikat Meminta ESRB Untuk Menukar Penilaian Permainan Yang Mempunyai Kotak Tikam

Diterbitkan pada Feb 15, 2018 oleh .

Senator Maggie Hassan dari New Hampshire, Amerika Syarikat hari ini berkongsi kebimbangan beliau berkenaan isu kotak tikam yang terdapat di dalam permainan video ketika sesi pendengaran senat.

Menurut beliau, sistem kotak tikam yang terdapat di dalam permainan mungkin akan melibatkan ketagihan terutamanya bagi pemain kanak-kanak. Beliau juga berkongsi kebimbangan beliau berkenaan ketagihan permainan merupakan satu sakit mental seperti yang diumumkan oleh WHO tahun lepas.

Ketika pendengaran tersebut, beliau menyatakan bahawa beliau telah menghantar surat terbuka kepada ESRB (Entertainment Software Rating Board) untuk mengambil tindakan dan mengubah sistem penilaian permainan yang mengandungi sistem kotak tikam. Beliau juga mendapat sokongan daripada pesuruhjaya FTC (Federal Trade Commission) dimana mereka akan mengambil tindakan dan memberi kerjasama bagi menyelesaikan isu tersebut.

Melalui surat terbuka yang dihantar oleh Senator Maggie Hassan, beliau menyatakan bahawa pihak ESRB perlu memastikan kandungan permainan video dinilai dengan cara yang bertanggungjawab buat pengguna. Beliau juga menyatakan ESRB perlu menilai permainan mengikut kandungan mikro-transaksi yang terdapat di dalam permainan video dan meminta pembangun permainan video untuk memberi kerjasama terhadap perkara ini dengan memberi pilihan untuk melumpuhkan sistem tersebut ataupun tidak merosakkan keseimbangan permainan. Namun buat masa ini pihak ESRB masih belum memberi sebarang maklum balas berkenaan surat yang dikemukakan tersebut.

Dengan isu kotak tikam yang menjadi semakin besar, tambahan juga ahli parlimen Hawaii mengemukakan bil undang-undang untuk mengharamkan penjualan kotak tikam bagi pemain bawah umur 21 tahun, yang mana kini Amerika Syarikat sudah mula mengambil tindakan berkenaan sistem kotak tikam tersebut, mungkin juga pada masa akan datang kerajaan Malaysia juga akan mengambil tindakan terhadap sistem ini.


TIPS & ULASAN