Informasi Permainan Video Terkini
Monster Hunter World Kini Merupakan Permainan Paling Pantas Diedar Oleh Capcom – Mencapai Jumlah 6 Juta Salinan

Monster Hunter World Kini Merupakan Permainan Paling Pantas Diedar Oleh Capcom – Mencapai Jumlah 6 Juta Salinan

Diterbitkan pada Feb 9, 2018 oleh .

Capcom hari ini mengumumkan bahawa jumlah hasil jualan mereka secara digital dan juga edaran bagi permainan Monster Hunter World kini mencapai 6 juta salinan, sekaligus ia merupakan permainan terpantas oleh Capcom yang mencapai nilai tersebut.

Ini merupakan satu kejayaan yang besar dimana permainan ini sememangnya mendapat sambutan yang sangat memberansangkan oleh peminat. Menurut Capcom juga, sejak pelancaran siri permainan tersebut sejak 14 tahun lepas, kesemua siri permainan Monster Hunter kini mencapai jumlah jualan sehingga 46 juta unit. Tampaknya jangkaan Hirokazu Hamamura berkenaan permainan Monster Hunter World untuk mencapai 10 juta hasil jualan mungkin akan menjadi satu kenyataan.

Monster Hunter: World merupakan permainan aksi pengembaraan pemburuan raksasa yang dibangunkan oleh Capcom. Ia kini kembali ke konsol rumah dimana sebelum ini Capcom memfokuskan permainan tersebut buat konsol 3DS sahaja. Monster Hunter World telah pun dilancarkan pada 26 Januari lepas di konsol Playstation 4 dan Xbox One. Bagi versi PC, ia akan dilancarkan pada musim luruh tahun ini.

Bagi anda yang masih belum membeli permainan Monster Hunter World, adakah anda akan mendapatkan permainan ini? Kami di Aksiz juga masih lagi mencari-cari permainan ini bagi versi fizikal yang mana kebanyakkan kedai permainan di seluruh Malaysia telah habis dijualkan.


TIPS & ULASAN