Informasi Permainan Video Terkini
Kemaskini Terbaru Final Fantasy XV Akan Menyertakan Keupayaan Untuk Bertempur Bersama Aranea

Kemaskini Terbaru Final Fantasy XV Akan Menyertakan Keupayaan Untuk Bertempur Bersama Aranea

Diterbitkan pada Jan 17, 2018 oleh .

Selain dari pengumuman Final Fantasy XV: Royal Edition semalam, Square-Enix juga mengumumkan bahawa kemaskini terbaru buat permainan tersebut akan dilancarkan bermula 21 Januari dengan sebilangan kandungan baru.

Antara kemaskini yang akan dilancarkan adalah keupayaan untuk pemain bertempur dan berlatih bersama watak Aranea Highwind di kem. Selain itu, Square-Enix juga akan menyertakan sebilangan kemaskini buat pembaik-pulih pepijat permainan tersebut bersama barangan baru di kedai Alessio Altissia.

Menariknya juga, kemaskini ini juga akan menyertakan pengakhiran baru buat mod permainan tambahan Assassin’s Festival yang diumumkan oleh mereka Ogos lepas.

Dengan hanya sebulan lepas Square-Enix mengemaskini permainan Final Fantasy XV dengan penyertaan keupayaan untuk pemain menukar watak di dalam permainan, kini tampaknya Square-Enix masih lagi akan mengemaskini permainan tersebut dengan pelbagai lagi kandungan tambahan.

Final Fantasy XV merupakan permainan RPG pengembaraan yang dibangunkan dan dikeluarkan oleh Square-Enix. Perkembangan daripada permainan tersebut, menghasilkan Final Fantasy XV Universe dengan pelbagai media dan juga permainan-permainan tambahan lain seperti filem Kingsglaive: Final Fantasy XV, anime Brotherhood: Final Fantasy XV, Monster Of The Deep: Final Fantasy XV dan sebagainya. Square-Enix juga bakal melancarkan Final Fantasy XV: Windows Edition dan Final Fantasy XV: Royal Edition pada 6 Mac ini.