Nintendo tampaknya hari ini mengejutkan kesemua pemain dengan mengadakan acara Nintendo Direct secara mengejut di laman rasmi mereka. Nintendo Direct merupakan acara siaran langsung yang sering dilakukan oleh Nintendo ketika mereka ingin mengumumkan sebilangan permainan baru, malah kemaskini buat konsol mereka. Hari ini, Nintendo mengadakan Nintendo Direct Mini yang mana ia memfokuskan permainan yang bakal tiba buat konsol Switch pada tahun ini.

Permainan yang pertama yang diumumkan adalah The World Ends With You, iaitu merupakan permainan pernambah-baikkan yang dilancarkan sebelum ini di konsol Nintendo DS pada 2007 lepas.

Menurut Nintendo, edisi Switch permainan tersebut akan dikenali sebagai The World Ends With You Final Remix yang mana ia bakal tiba tahun ini di konsol Switch. Tambahan juga, Square-Enix tampaknya akan menyertakan kandungan baru penceritaan bagi permainan tersebut secara bersama apabila ia dilancarkan kelak.

Pengumuman seterusnya yang diumumkan oleh Nintendo adalah DLC pernambahan Battle Pack bagi permainan Pokken Tournament DX. Permainan perlawanan Pokemon tersebut dilancarkan di Switch pada September 2017 lepas yang mana ia merupakan permainan pernambah-baikkan dari versi asalnya di Nintendo Wii U.

Kini, pernambahan DLC tersebut akan menyertakan sebilangan Pokemon baru secara berperingkat. Bagi peringkat pertama, Pokemon yang disertakan adalah Aegislash, Mega Rayquaza dan Mimikyu. Manakala peringkat kedua pula, Blastoise, Mew dan Celebi. Selain itu, DLC tersebut juga akan menyertakan kelengkapan buat avatar pemain bermula 31 Januari ini dengan peringkat pertama dan 23 Mac bagi peringkat kedua.

Permainan Kirby Star Allies akhir mendapat tarikh pelancaran yang mana ia bakal tiba secara esklusif di Nintendo Switch pada 16 Mac ini. Kirby Star Allies merupakan permainan platformer seterusnya buat siri Kirby. Ia sebelum ini diumumkan ketika Nintendo Direct September yang lepas.

Menariknya juga, permainan Kirby Battle Royale buat Nintendo 3DS juga kini diumumkan yang mana demo permainan tersebut kini boleh dimuat-turun melalui Nintendo eShop. Kirby Battle Royale merupakan permainan pertempuran arena yang memfokuskan watak Kirby. Menariknya juga, permainan ini menyokong keupayaan untuk bermain secara multi-pemain seperti yang diumumkan oleh Nintendo sebelum ini.

Selain itu, bagi anda yang tidak sabar untuk bermain Dragon Quest Builders di Nintendo Switch pada 9 Februari ini, anda boleh mencuba demo permainan tersebut yang mana ia boleh dimuat-turun secara percuma bermula hari ini di Nintendo eShop. Dragon Quest Builders diumumkan Ogos 2017 lepas oleh Square-Enix yang mana ia bakal tiba di konsol Switch pada tahun 2018 ini.

Menariknya juga, Nintendo juga mengumumkan satu lagi permainan pernambah-baikkan dari konsol Nintendo Wii U iaitu Hyrule Warriors Definitive Edition yang mana versi asal permainan tersebut dilancarkan di konsol NIntendo Wii U pada 2014 lepas dan konsol Nintendo 3DS pada 2016 lepas.

Hyrule Warriors Definitive Edition akan menyertakan kesemua DLC pernambahan kawasan dan watak yang dilancarkan sebelum ini di konsol Nintendo. Menariknya juga, ia akan menyokong mod multi-pemain secara luar-talian dengan menggunakan JoyCon secara berasingan. Selain itu, Nintendo juga akan menyertakan kostum Link dan Zelda daripada permainan The Legend Of Zelda: Breath Of The Wild secara bersama. Ia bakal tiba pada musim bunga tahun ini.

Bagi yang menyukai siri permainan sukan tenis Mario di konsol Nintendo Wii, anda pasti akan menyukai pengumuman seterusnya oleh Nintendo dimana permainan tenis Mario kini kembali dengan nama Mario Tennis Aces yang mana Nintendo mengumumkan bersama ketika Nintendo Direct Mini tersebut.

Menurut Nintendo, Mario Tennis Aces akan menyertakan sebilangan pembaharuan dari segi bentuk permainan dimana pemain perlu berwaspada dengan setiap pukulan musuh. Menariknya juga, Nintendo juga akan menyertakan mod penceritaan solo bagi permainan tersebut dengan pelbagai bentuk permainan termasuklah pemain perlu bertempur dengan bos-bos yang terdapat di dalam permainan tersebut. Mario Tennis Aces dirancang untuk dilancarkan pada musim bunga tahun ini buat konsol Switch.

Nihon Falcom baru sahaja mengumumkan bahawa permainan Ys VIII: Lacrimosa of Dana bakal tiba di PC pada 30 Januari ini, kini permainan JRPG tersebut juga akan tiba di konsol Switch pada musim panas tahun ini.

Ys VIII: Lacrimosa of Dana merupakan siri kelapan daripada siri permainan Ys yang mana ia dilancarkan di Playstation 4 dan Playstation Vita tahun lepas. Ia merupakan permainan aksi JRPG yang memfokus pengembaraan watak Adol Christin.

Bagi anda yang sudah habis bermain permainan Super Mario Odyssey, Nintendo hari ini mengumumkan bahawa kemaskini percuma bakal tiba di permainan tersebut iaitu Luigi’s Balloon World yang mana ia akan memfokuskan bentuk permainan secara atas-talian.

Kemaskini Luigi’s Ballon World akan hadir secara dua mod dimana salah satunya adalah pemain perlu sembunyikan belon di lokasi kawasan permainan Super Mario Odyssey dan pemain lain perlu mencari belon tersebut. Menariknya juga, pemain juga berupaya untuk mencari belon-belon yang disembunyikan oleh pemain lain sekaligus ia menjadi satu aktiviti yang menarik secara atas-talian buat permainan tersebut.

Jika pemain berupaya untuk menemui belon tersebut, pemain akan mendapat sebilangan ganjaran bersama markah untuk ditetapkan di papan kenyataan markah yang terdapat di permainan tersebut.

Nintendo juga menyertakan sebilangan kostum baru buat Nintendo bersama penuras baru buat mod foto bagi permainan tersebut. Kemaskini ini bakal tiba secara percuma bermula Februari ini.

Bagi yang berminat dengan permainan perlawanan, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan permainan perlawanan terbaru buat konsol Switch, iaitu SNK Heroines Tag Team Frenzy iaitu ia merupakan permainan perlawanan yang memfokuskan watak-watak wanita daripada siri permainan perlawanan keluaran SNK.

Antara watak yang diumumkan adalah Athena Asamiya, Kula Diamond, Leona Heidern, Mai Shiranui daripada siri King Of Fighter bersama Yuri Sakazaki daripada siri permainan Art Of Fighting akan tiba di permainan tersebut.

SNK Heroines Tag Team Frenzy akan menyertakan bentuk permainan perlawanan secara berkumpulan dimana pemain berupaya untuk melakukan pelbagai kuasa dan serangan ikonik setiap watak tersebut. Permainan tersebut juga akan menyertakan mengubah-suaian kostum bagi setiap watak-watak. Menurut Nintendo, permainan ini bakal tiba pada musim panas tahun ini.

Tambahan juga, bagi mereka yang berminat untuk bermain permainan perlawanan klasik Art Of Fighting 2, kini permainan tersebut boleh dimainkan di konsol Switch melalui Nintendo eShop.

Menariknya juga, antara permainan yang mendapat kejutan ramai peminat ketika E3 tahun lepas, Mario+Rabbids Kingdom Battle akan mendapat DLC pernambahan terbaru iaitu watak Donkey Kong akan tiba di permainan tersebut.

Mario+Rabbids Kingdom Battle adalah permainan kerjasama antara Nintendo dan Ubisoft dimana mereka memfokuskan pertempuran secara strategi turutan yang dilancarkan pada Ogos 2017 lepas. Menurut Nintendo, DLC pernambahan ini bakal tiba pada musim bunga tahun ini.

Payday 2 iaitu permainan penembak pandang pertama yang memfokuskan koperasi multi-pemain kini bakal tiba di konsol Switch pada 27 Februari ini. Menariknya juga, dengan pelancaran permainan tersebut di konsol Switch, watak baru juga diumumkan yang bakal tiba secara bersama dengan permainan tersebut iaitu watak Joy.

Tambahan juga, permainan ini boleh dimainkan secara multi-pemain melalui Crime Net yang membolehkan pemain berkoperasi secara bersama di luar-talian. Payday 2 asalnya dilancarkan di pelbagai konsol generasi kini dan juga di PC pada 2013 lepas.

Fe, iaitu permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Zoink! dan dilancarkan oleh EA yang mana ia bakal tiba di konsol Switch pada 16 Februari ini. Permainan ini juga dirancang untuk dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan juga PC.

Fe adalah permainan aksi pengembaraan yang mana pemain akan mengawal seekor makhluk seakan musang dan mengembara di dalam dunia tersebut. Pemain juga berupaya untuk berinteraksi bersama tumbuh-tumbuhan dan alam flora fauna yang terdapat di dalam permainan tersebut. Menariknya juga, permainan ini akan menyokong fungsi HD Rumble yang terdapat di dalam alat kawalan JoyCon yang akan memberi kesan dan impak yang berbeza mengikut jenis lagu yang terdapat dalam permainan tersebut.

Satu lagi permainan indie yang bakal tiba di konsol Switch adalah Celeste, ia merupakan permainan aksi platformer yang memfokuskan ketangkasan pemain untuk menyelesaikan beberapa platform secara berperingkat. Permainan ini juga dirancang untuk dilancarkan di PC dan juga Playstation 4 pada 25 Januari ini.

Selain permainan Hyrule Warriors, Nintendo juga akan membawa kembali permainan daripada konsol Wii U ke konsol Switch dengan permainan Donkey Kong Country: Tropical Freeze.

Permainan asalnya dilancarkan di Wii U pada 2014 lepas kini bakal kembali di Switch pada 4 Mei ini dengan pernambahan watak baru Funky Kong yang mana ia merupakan mod yang lebih mudah untuk pemain baru. Menariknya, permainan ini juga menyokong mod multi-pemain secara luar-talian dengan menggunakan JoyCon secara berasingan.

 

Akhir sekali, seperti yang tertiris baru-baru ini, permainan pernambah-baikkan Dark Souls Remastered akhirnya diumumkan secara rasmi yang mana ia bakal tiba di konsol Switch pada 25 Mei ini. Menariknya juga, permainan ini juga akan dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.

Namun, ini juga merupakan satu pengumumkan mengejutkan kerana ini adalah pertama kalinya permainan Dark Souls akan tiba di konsol Nintendo. Dark Souls merupakan permainan aksi pengembaraan yang dilancarkan pada 2011 yang lepas. Permainan ini terkenal dengan tahap kesukaran yang menguji minda setiap pemain seluruh dunia.

Buat masa sekarang, Bandai Namco dan From Software masih tidak berkongsi sebarang informasi lanjut berkenaan permainan tersebut, namun menurut ura-ura yang tertiris sebelum ini, Bandai Namco merancang untuk melancarkan kesemua siri Dark Souls di konsol Nintendo Switch. Seperti biasa, kami di Aksiz akan mengemaskininya kelak apabila Bandai Namco dan Nintendo mengumumkannya kelak.

Bagi anda yang berminat untuk menonton Nintendo Direct Mini tersebut, anda boleh ke pautan ini untuk melihat video yang berdurasikan 14 minit dengan segala pengumuman permainan baru yang diumumkan oleh Nintendo.

Dengan pengumuman segala permainan baru yang bakal tiba di Nintendo Switch, yang mana satukah permainan yang menarik minat anda? Jangan lupa untuk memberi pendapat anda diruangan komen dibawah.

Sohor Kini