Pemain permainan video mempunyai pilihan untuk membeli permainan secara digital ataupun fizikal. Jika mengikut laporan Nielsen untuk pasaran di Amerika Syarikat, 71% pemain di PC lebih menyukai digital, manakala 66% pemain konsol lebih menggemari fizikal. Industri permainan PC tampaknya sudah hampir sepenuhnya menggunakan digital sebagai platform untuk mendapatkan permainan akan tetapi konsol masih bergantung kepada permainan fizikal.
Walaupun begitu saya percaya yang penerbit permainan dan penerbit konsol seperti Sony, Microsoft dan Nintendo kini sudah semestinya sedang mencari cara untuk lebih menggalakkan pemain membeli permainan secara digital berbanding fizikal kerana;
- Pembelian secara digital adalah lebih menguntungkan kerana pengurangan kos terutama untuk penerbit. Ini adalah disebabkan kos mengeluarkan permainan digital adalah lebih rendah berbanding fizikal.
- Pembelian secara digital juga dapat mengurangkan penjualan semula permainan yang dibeli. Disebabkan permainan digital tidak boleh berpindah milik (melainkan penjualan akaun) kebanyakan pemain yang membeli secara digital akan terus memilikinya.
- Manakala untuk pengeluar konsol mereka turut menerima beberapa peratus setiap penjualan permainan secara digital melalui kedai atas talian rasmi mereka sedangkan mereka tidak menerima apa-apa pendapatan melalui penjualan secara fizikal.
Permainan digital juga sebenarnya lebih memudahkan untuk pemain, contohnya mereka tidak perlu mengeluarkan cakera blu-ray jika sedang bermain beberapa permainan pada masa yang sama. Selain itu, permainan digital juga lebih memudahkan anda mengurus perpustakaan permainan.
Namun, pembelian secara digital bukanlah satu cara yang digemari oleh kebanyakan pemain sekarang ini. Ia adalah disebabkan pertamanya harga permainan video secara digital adalah lebih kurang sama dengan secara fizikal, disebabkan itu dari segi nilai sudah semestinya pembelian secara fizikal lebih tinggi.
Tambahan capaian internet yang pantas masih lagi merupakan masalah di negara membangun seperti Malaysia. Satu permainan utama bersaiz sekurang-kurangnya 50GB. Ia akan mengambil masa beberapa hari untuk siap dimuat-turun. Sedangkan pembelian secara fizikal membolehkan permainan tersebut boleh terus dimainkan.
Harga permainan video yang mungkin mahal untuk sesetengah pemain juga membuatkan mereka lebih menggemari untuk membeli permainan secara fizikal. Ini adalah kerana mereka dapat mengurangkan kos pembelian permainan video dengan menjual permainan yang sudah habis dimainkan sebagai permainan terpakai.
Pembelian secara digital memperlihatkan peningkatan dari tahun ke tahun dan saya yakin ia adalah cara pembelian yang akan menjadi pilihan kebanyakan pemain suatu hari nanti. Kenyataan tersebut dipersetujui oleh penganalisa Piper Jaffray yang menjangkakan permainan akan dibeli secara digital sepenuhnya pada tahun 2022. Saya secara peribadi merasakan 2022 adalah terlalu awal akan tetapi juga percaya yang ia akan berlaku.
Sungguhpun demikian, untuk industri permainan video beralih sepenuhnya ke arah pembelian permainan secara digital, beberapa perkara harus dilakukan oleh penerbit permainan dan juga konsol. Perkara-perkara berikut bukan sahaja membantu mengembangkan industri permainan digital, ia juga akan menggalakkan pemain untuk memilih pembelian secara digital.
Pertama, penerbit permainan harus mengurangkan harga yang dijual secara digital agar lebih murah berbanding fizikal. Walaupun sekarang sudah ada beberapa permainan versi digital dengan harga lebih murah akan tetapi bezanya terlampau sedikit untuk mempengaruhi keputusan pembelian pemain, bahkan permainan fizikal ada yang lebih murah dijual berbanding digital.
Harga jualan permainan digital sama dengan permainan fizikal walaupun mempunyai kos yang lebih rendah adalah disebabkan untuk tidak menjejaskan pasaran permainan fizikal. Dengan menurunkan harga untuk permainan digital. secara lansung ia juga akan mengurangkan kedai-kedai permainan video terutama yang kecil menjual permainan secara fizikal kerana besar kemungkinan keuntungan mereka akan berkurang.
Walaupun keputusan tersebut akan menjejaskan industri penjualan permainan secara fizikal, saya merasakan untuk menggerakkan industri lebih ke depan keputusan yang sukar ini harus dibuat. Kedai-kedai fizikal mungkin boleh memfokuskan kepada permainan versi khas yang tidak boleh dibeli secara digital seperti versi koleksi.
Kedua, menyediakan perkhidmatan menyewa ataupun langganan untuk permainan video secara rasmi. Servis ini sudah mula dilakukan oleh beberapa penerbit permainan seperti EA melalui EA Access manakala penerbit konsol turut mempunyai servis mereka sendiri.
Sony setakat ini mempunyai langganan PS Plus yang memberikan permainan percuma akan tetapi ia masih bukan satu servis yang bersesuaian kerana sekadar memberikan beberapa permainan sahaja untuk setiap bulan. Mereka juga mempunyai PS Now yang sahaja mempunyai masalah terhad kepada beberapa negara ia juga menggunakan konsep penstriman yang menyusahkan dan bukanlah cara digemari ramai.
Manakala Microsoft, selain langganan Xbox Live yang seakan PS Plus mereka juga mempunyai servis Xbox Game Pass. Bagi saya Xbox Game Pass adalah satu servis yang boleh menarik pemain untuk lebih berbelanja secara digital. Melalui Xbox Game Pass dengan membayar satu jumlah setiap bulan, pemain dapat bermain kesemua permainan yang disediakan dan tidak terhad kepada bulan-bulan tertentu. Selain itu Xbox Game Pass membolehkan pemain memuat turun berbanding penstriman seperti PS Now.
Disebabkan itu, Sony dan Nintendo seharusnya menjadikan Xbox Game Pass sebagai servis yang harus dicontohi. Mungkin pada awal hanya menyertakan permainan-permainan yang sudah lama, kemudian secara berperingkat ia juga boleh menyertakan permainan-permainan baharu terutama untuk permainan solo yang mungkin tidak akan mempunyai penjualan yang tinggi. Jika Microsoft boleh menjanjikan kesemua permainan keluaran mereka untuk Xbox Game Pass, Sony sepatutnya turut tidak mempunyai masalah untuk mengikutnya juga.
Ketiga, servis ini sudah dicadangkan oleh Microsoft semasa mereka melancarkan konsol Xbox One dahulu iaitu berkongsi perpustakaan permainan anda kepada beberapa rakan agak mereka dapat bermain permainan tersebut tanpa membeli.
Servis ini juga disediakan oleh Steam melalui Family Sharing akan tetapi sesuatu permainan tidak boleh dimainkan secara serentak. Bagi saya servis ini harus disediakan terutama jika mereka tidak ingin mengurangkan harga permainan secara digital. Berbanding untuk dijadikan koleksi, saya berpendapat ramai yang membeli permainan secara fizikal adalah agar mereka dapat menjual permainan ini selepas habis bermain kerana untuk mengurangkan kos memiliki sesuatu permainan.
Dengan membenarkan permainan tersebut dikongsi dengan rakan, mereka sudah semestinya akan berkongsi kos untuk membeli permainan tersebut. Bukan sahaja dapat menjimatkan kos pembelian, cara ini adalah lebih baik berbanding jual beli permainan terpakai yang sentiasa terdedah kepada penipuan dan juga tidak melalui saluran rasmi.
Ketiga-tiga perkara di atas memerlukan kerjasama antara penerbit permainan dan juga penerbit konsol. Jika hanya penerbit konsol ataupun penerbit permainan sahaja yang ingin melakukannya, agak sukar untuk ia menjadi kenyataan.
Selain itu, saya juga berpendapat tidak semua harus dilakukan. Contohnya, jika mereka membenarkan permainan digital dikongsi dengan rakan maka permainan digital tidak perlu diturunkan harga. Jika penerbit menyediakan servis langganan permainan seperti Xbox Game Pass ataupun Netflix, mereka tidak perlu menyediakan servis berkongsi ataupun mengurangkan harga jika pemain ingin membeli berbanding melanggan.
Akhir kata, pembelian permainan video secara digital bagi saya adalah satu kaedah yang sangat memudahkan pemain. Selain itu ia juga merupakan sesuatu yang baik untuk penerbit permainan dan juga penerbit konsol atas sebab seperti mengurangkan kos dan membawa keuntungan untuk mereka. Namun disebabkan atas capaian internet dan juga harga yang sama dengan secara fizikal menjadikan pemain lebih memilih fizikal.
Oleh disebabkan itu industri perlu mempunyai salah satu ataupun kesemua perkara berikut; harga permainan digital yang lebih murah, servis langganan seakan Xbox Game Pass yang secara rasmi dan juga membolehkan permainan digital dikongsi dengan rakan sebelum pemain dan juga industri bersedia menjadikan pembelian secara digital sebagai pilihan utama.
Apa kata anda?
Antara membeli permainan secara digital dan fizikal, yang mana menjadi pilihan utama anda?
— Aksiz (@MYAksiz) July 24, 2018
Berdasarkan lebih 1 ribu undian melalui bancian di akaun Twitter @Aksiz, kami mendapati pemain yang lebih menggemari pembelian permainan video secara digital berbanding secara fizikal. Namun, perbezaan adalah sedikit sahaja iaitu 54% menggemari secara digital dan 46% secara fizikal.
Berikut adalah antara kuciran-kuciran anda mengenai pembelian secara digital dan fizikal.
Lebih pada digital sbb digital akan ade promo, contohnyr mcm steam, lagipun senang sikit nak instal kt tempat lain…klau fizikal harga die tetap dan klau hilang disc mampuih…
— zzzz (@bq4ri) July 26, 2018
Fizikal sbb nk buat kenangan dan rumah tanpa internet yg laju buat masa skrng ๐
— NR. (@alioczr) July 25, 2018
Bagaimana dengan anda? Adakah anda lebih memilih untuk membeli permainan video secara digital atau fizikal? Serta, adakah anda berpendapat industri permainan video akan lebih mengutamakan pembelian secara digital?