Informasi Permainan Video Terkini
Activision Mempertontonkan Video Acah Pertempuran Royal Blackout, Call Of Duty: Black Ops 4
PC

Activision Mempertontonkan Video Acah Pertempuran Royal Blackout, Call Of Duty: Black Ops 4

Diterbitkan pada Sep 7, 2018 oleh .

Lebih kurang dua bulan lalu, Activision memperacahkan mod pertempuran royal akan hadir buat Call Of Duty: Black Ops 4. Mod pertempuran royal ini dinamakan sebagai ‘Blackout’, ia menyertakan 80 pemain secara serentak dan bertempur dengan zombi.

Hari ini, Activision mempertontonkan video acah baru mod ‘Blackout’ ini dan sekali imbas ia pasti satu permainan perang aksi yang menyeronokkan. Pemain kini boleh meluncur dari tempat tinggi dan jika mendarat di kawasan air, pemain boleh terus berenang dan menyerang musuh dari dalam air. Kemudian, kerap dilihat adalah adegan dengan helikopter. Pemain kali ini berkemungkinan besar boleh mengawal atau menaiki helikopter ini untuk serang hendap musuh.

Menarik sekali, seperti kebanyakan permainan pertempuran royal lain – akan terdapat ‘supply drop‘ iaitu bekalan yang dihantar melalui payung terjun. Turut terdapat adalah bulatan yang mengehadkan kawasan permainan. Di dalam video acah ini juga dilihat terdapat banyak gajet atau senjata kedua seperti perangkap dan bom monyet mainan yang boleh digunakan untuk menghendap musuh dan memerangkap mereka.

Lebih mengejutkan, terdapat jepitan cangkuk (grappling hook) yang boleh digunakan untuk menuju ke tempat yang tinggi. Ia juga mungkin boleh digunakan untuk bergerak dengan lebih pantas bagi mengelak musuh.

Secara langsung, permainan ini dilihat seolah gabungan Fortnite dan PlayerUnknowns Battlegrounds dengan grafik yang lebih intensif, kesan bunyi perang yang lebih menarik dan akan memberi pengalaman bermain yang mengasyikkan.

Bagi pemain yang sudah membuat pra-tempahan permainan ini, pada 10 September kelak – anda layak untuk mencuba permainan ini dalam bentuk beta tertutup.


TIPS & ULASAN