Bersempena dengan beta tertutup buat permainan Call Of Duty: Black Ops 4 yang bakal berlangsung pada 4 Ogos ini, Activision hari ini berkongsi satu trailer khas yang mempertontonkan bentuk permainan bagi beta tersebut.
Menurut Activision, beta tersebut akan mempunyai 10 kelas Specialist yang pemain boleh cuba bersama dengan 6 peta permainan dan 6 mod permainan. Menariknya, beta tersebut juga akan membenarkan pemain untuk mencuba pelbagai senjata dan kelengkapan baru yang bakal tiba khas di Call Of Duty: Black Ops 4.
Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, berikut merupakan masa beta tertutup bersama-sama dengan sesi beta terbuka yang mana ianya bakal tiba khas di PC sahaja.
- Playstation 4 (akses awal) : 4 Ogos jam 1 pagi hingga 7 Ogos jam 1 pagi
- Playstation 4 dan Xbox One : 11 Ogos jam 1 pagi hingga 14 Ogos jam 1 pagi
- PC (akses awal) : 11 Ogos jam 1 pagi hingga 14 Ogos jam 1 pagi
- PC (beta terbuka) : 12 Ogos jam 1 pagi
Tambahan juga, pada penghujung video trailer diatas, Activision juga memperacahkan mod Blackout, iaitu mod pertempuran royale yang bakal tiba buat permainan Call Of Duty: Black Ops 4 tersebut. Menariknya, mod tersebut tampaknya akan membenarkan pemain untuk menaiki helikopter dan berperang dengan pelbagai kenderaan. Beta bagi mod Blackout bakal berlangsung pada September ini secara berasingan.
Call Of Duty: Black Ops 4 merupakan siri seterusnya untuk Call Of Duty bagi tahun ini. Permainan ini memfokuskan bentuk permainan penembak pandang pertama dan kali ini, Call Of Duty: Black Ops 4 tidak mempunyai sebarang mod penceritaan solo dimana ianya akan memfokuskan bentuk multi-pemain. Call Of Duty: Black Ops 4 dirancang untuk dilancarkan pada 12 Oktober ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.