Skip to main content

Marvel’s Spider-Man merupakan permainan yang dibangunkan oleh Insomniac Games dan diterbitkan oleh Sony Interactive Entertainment secara eksklusif untuk PlayStation 4.

Permainan ini akan dikeluarkan pada 7 September 2018 pada harga bermula RM199 sehingga RM699 untuk versi koleksi. Bagi senarai penuh harga anda boleh membacanya di harga rasmi Marvel’s Spider-man.

Pertama kali permainan ini diumumkan pada tahun 2016, ramai yang teruja apabila mengetahui ia bakal dibangunkan oleh Insomniac Games yang tidak asing lagi di kalangan pemain. Namun, menjadi permainan pertama berdasarkan IP sedia ada, adakah permainan ini boleh meneruskan kejayaan permainan Insomniac Games yang lain?

Cerita

Penceritaan untuk permainan ini tidak bermula dari awal, seperti bagaimana Peter Parker menjadi seorang Spider-man, ataupun mengenai kematian pak cik beliau. Sebaliknya, Peter Parker ialah sudahpun berumur 23 tahun dan telah menjadi Spider-man selama 8 tahun. Beliau merupakan seorang saintis dan bekerja di sebuah makmal yang membina pelbagai barangan robotik.

Pemilihan latar masa untuk penceritaan ini adalah satu perkara yang tepat. Ia bukan sahaja membantu untuk memastikan penceritaan dapat memfokuskan kepada perkara terkini, ia juga memberi ruang kepada perhubungan Peter Parker untuk tampil lebih menarik dan segar.

Selain penceritaan mengenai Peter Parker ataupun Spider-man sendiri, penceritaan juga memfokuskan perhubungan beliau dengan watak-watak lain seperti Mary Jane dan Aunt May. Ada beberapa orang lagi watak lain yang memainkan peranan utama di dalam penceritaan yang akan anda temui dalam permainan ini. Perhubungan ini lebih menguatkan penceritaan yang memberikan lebih variasi berbanding sekadar penceritaan mengenai Spider-man sebagai seorang adiwira.

Selain itu penceritaan mengenai watak-watak tersebut juga ditekankan dan dilakukan dengan baik. Ini sekaligus membawa jiwa ke dalam penceritaan dan tidak sekadar dipenuhi dengan kejahatan serta keganasan semata-mata. Bagi saya, penceritaan di dalam permainan ini memberikan asas yang kuat untuk jalan cerita bagi permainan berikutnya.

Selain penceritaan utama, terdapat juga penceritaan selingan yang disampaikan melalui misi serta aktiviti sampingan. Namun, penceritaan tersebut dilakukan dengan sangat ringkas dan saya merasakan ia satu peluang untuk meluaskan jalan cerita yang tidak sepenuhnya digunakan oleh pembangun.

Grafik

Jika anda risau mengenai berita baru-baru ini mengatakan grafik permainan ini direndahkan, saya boleh katakan ia adalah tidak benar sama sekali. Saya bermain permainan ini di PlayStation 4 Pro dengan paparan TV yang menyokong resolusi 4k dan grafik yang diberikan adalah sangat baik.

Permainan ini merupakan permainan dunia terbuka yang mempunyai satu kawasan yang luas dan sudah semestinya kita tidak boleh menjangkakan untuk ia mempunyai kualiti grafik yang sangat tinggi. Namun, saya merasakan apa yang diberikan sudah cukup memuaskan dan sangat foto-realistik.

Sepanjang bermain permainan ini, saya mengalami sedikit permasalahan dari segi tekstur lambat untuk dimuat naik yang menjadikan barangan ataupun watak tersebut nampak janggal. Walaupun begitu, ia sangat jarang berlaku dan tidak terlalu menjejaskan pengalaman bermain. Tambahan pula, permainan ini akan disertakan kemaskini tampalan pada hari pertama yang selain menambah mod foto, ia mungkin akan menyelesaikan masalah tersebut.

Selepas diumumkan yang permainan ini hanya menyokong kelancaran 30 paparan sesaat sahaja termasuk untuk PlayStation 4 Pro, saya berasa agak kecewa. Namun, selepas bermain, ternyata ia tidak menjejaskan pengalaman dan permainan yang penuh aksi ini ternyata mempunyai kelancaran yang baik.

Rekaan watak dilakukan dengan baik, walaupun ada beberapa watak yang mempunyai wajah dan ekspresi muka yang janggal. Akan tetapi ia tidaklah sebegitu jelas dan nyata. Setiap adegan juga dilakukan dengan baik terutama untuk adegan semasa bertempur.

Selain berayun dari satu bangunan ke bangunan yang lain, Spider-man juga boleh berjalan di kaki lima. Namun, saya sangat tidak menyukainya kerana rekaan watak-watak yang menjadi pengisi adalah sangat generik dan berulang-ulang. Ini sekaligus menjadikan persekitaran nampak pelik dan tidak immersive. Tambahan permainan ini berlaku di sebuah bandar berlatarbelakangkan New York yang banyak memaparkan bangunan tinggi, taman dan pinggir air di mana tidak ada banyak variasi rekaan yang boleh membantu untuk menjadikan dunia ini lebih menarik.

Bentuk Permainan

Marvel’s Spider-man adalah satu permainan dunia terbuka, yang sudah semestinya mempunyai perkara biasa untuk permainan jenis ini. Ia menyertakan misi utama yang menggerakkan penceritaan, misi sampingan yang mempunyai penceritaan selingan dan pelbagai aktiviti lain yang akan memenuhi peta permainan ini.

Bagi misi utama, selain mempunyai pertempuran yang biasa, ia juga disertakan pelbagai pertempuran dengan ketua penjahat. Selain itu, ia turut menyertakan permainan yang mencabar seperti tekaria, penyiasatan. Kesemua ini memainkan peranan untuk menggerakkan penceritaan dan pada masa yang sama memestikan misi tersebut mempunyai variasi.

Selain itu, ketika bermain misi utama, pemain juga berpeluang untuk mengawal watak lain seperti Mary Jane. Beliau merupakan seorang wartawan penyiasatan dan anda harus mengawal beliau untuk menyelinap ke sarang penjenayah. Penambahan ini sudah semestinya memberikan satu pengalaman berlainan dan tidak terhad kepada pemain untuk bermain sebagai Spider-man sahaja.

Misi sampingan adalah seperti misi utama, namun ia adalah lebih ringkas. Selain satu misi sampingan yang memperkenalkan satu watak baharu, misi-misi sampingan yang lain adalah sekadar pengisian dan tidak menarik. Bagi saya, ia adalah satu peluang dilepaskan oleh pembangun permainan ini. Jika misi sampingan dilakukan dengan lebih teliti ia boleh menjadikan jalan cerita lebih meluas. Mungkin kandungan-kandungan yang bakal hadir sebagai DLC seharusnya dijadikan sebagai misi sampingan untuk permainan utama.

Terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang memenuhi peta permainan ini seperti Surveillance Towers, Backpacks, Landmarks, Research Stations, Black Cat Stakeouts, Pigeons, Challenges, Base dan Crimes.

Untuk mengetahui lokasi bagi aktiviti tersebut, memerlukan anda menyelesaikan tekaria ringkas untuk aktiviti Surveillance Towers. Aktiviti seperti Backpacks, dan Landmarks agak senang untuk diselesaikan. Pemain hanya perlu menuju pelbagai tempat dan boleh dilakukan semasa sedang menuju ke tempat misi utama ataupun misi sampingan. Menariknya, dengan menjumpai beg untuk aktiviti Backpacks pelbagai penceritaan lepas akan dikongsikan.

Aktiviti Pigeons memerlukan anda mengejar burung merpati dan bagi saya ia tidak terlalu sukar dan cepat untuk diselesaikan. Manakala aktiviti Black Cat Stakeouts memerlukan anda mencari patung kucing menggunakan kamera yang tersedia, dan ia juga agak mudah. Menyelesaikan aktiviti ini memberi sedikit pengisian mengenai perhubungan antara Spider-man dan Black Cat. Namun, tiada sebarang penampilan watak Black Cat yang ditonjolkan selain mendengar suara semata-mata.

Aktiviti Research Stations dan Challenges adalah lebih menarik kerana ia memerlukan Spider-man untuk melakukan perkara yang berlainan seperti berayun sambil mengelak dari kilat dan mengejar drone yang akan menguji ketangkasan anda untuk bergerak dan juga bertempur. Untuk Challenges akan ada tiga tahap yang boleh dicapai oleh anda. Tahap ini bergantung kepada ketangkasan anda menyelesaikan sesuatu tugasan.

Aktiviti Base memerlukan pemain memasuki kawasan penjahat dan anda harus menawan kawasan tersebut dengan menumpaskan kesemua penjahat yang ada. Manakala aktiviti Crime akan dikeluarkan secara rawak, pemain perlu mengembara di kawasan bandar dan mendengar perbualan polis mengenai jenayah yang sedang berlaku dan anda harus menumpaskan penjahat untuk menyelesaikan akitviti ini.

Aktiviti-aktiviti yang disertakan mengulangi bentuk permainan yang sudah ada di dalam misi utama dan misi sampingan. Selain itu di antara aktiviti berbeza turut mempunyai bentuk permainan yang sama. Walaupun ia agak berulang, namun, selain mempunyai penceritaan ringkas yang tersendiri ia juga menggunakan bentuk permainan seperti pertempuran dan pengembaraan yang menyeronokkan. Ini menjadikan aktiviti tersebut masih lagi memberi kepuasan untuk diselesaikan.

Sebelum menyelesaikan penceritaan utama, saya telah menyelesaikan kesemua aktiviti yang ada kecuali Base dan Crimes dan saya tidak merasa jemu. Namun, saya merasakan jumlah aktiviti Crimes boleh dikurangkan kerana aktiviti ini agak membosankan.

Dengan menyelesaikan aktiviti-aktiviti ini anda akan mendapat pelbagai jenis token. Token ini boleh digunakan untuk nyah-kunci kostum, mod untuk kostum, gajet dan juga penambah-baikkan untuk gajet tersebut. Sesetengah aktiviti juga mempunyai sasaran tersendiri yang jika diselesaikan akan memberikan lebih token.

Terdapat pelbagai jenis kostum yang pemain boleh nyah-kunci. Selain daripada itu, setiap kostum mempunyai satu kebolehan tersendiri namun setiap kebolehan selepas di nyah-kunci akan boleh digunakan bersama dengan kostum yang lain. Selain daripada itu kostum tidak mempunyai sebarang perbezaan selain daripada rekaan. Kostum yang anda guna akan menjadi kostum di dalam adegan, pastikan anda tidak menggunakan kostum yang pelik kerana akan menjanggalkan sesetengah adegan.

Saya ada menceritakan secara lanjut mengenai pengembaraan dan juga pertempuran bagi permainan ini di penulisan pandang pertama, namun apa yang boleh saya ringkaskan yang kedua-dua bentuk permainan ini dilakukan dengan sangat baik.

Mungkin sesuatu yang telah dijangkakan tetapi permainan ini sudah semestinya memberikan perasaan bahawa anda ialah Spider-man. Pergerakan seperti berayun serta melompat dilakukan dengan sangat baik dan lancar memberikan satu keseronokan hanya dengan bergerak. Walaupun disertakan perjalanan pantas akan tetapi saya pasti anda akan jarang menggunakannya.

Manakala untuk pertempuran, dengan gabungan pelbagai skill yang anda boleh nyah-kunci menggunakan skill point dan juga dengan menggunakan pelbagai gajet yang ada akan memberikan satu pengalaman pertempuran yang sangat menarik. Walaupun agak ringkas akan tetapi ia akan memerlukan percubaan yang banyak untuk mahir. Seperti pengembaraan, pertempuran juga dilakukan dengan sangat lancar dan terasa kebebasan untuk bergerak. Ia memberikan pengalaman pertempuran yang sangat menggalakkan kreativiti anda sendiri.

Terdapat pelbagai jenis penjahat yang berlainan serta mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Pemain harus bertempur dengan menggunakan cara berlainan untuk menjadikan pertempuran lebih efektif. Secara bersendirian penjahat-penjahat yang ada agak lemah akan tetapi permainan ini menekankan aspek jumlah penjahat yang ramai. Ini memerlukan pemain untuk menggunakan pelbagai skill, gajet, dan pergerakan untuk memastikan dapat mengawal keadaan.

Manakala pertempuran dengan ketua penjahat, ia memfokuskan kepada pemain untuk mengetahui pergerakan yang akan dilakukan oleh ketua penjahat dan harus melakukan aksi tersendiri untuk melawannya. Dari segi kesukaran, saya bermain dengan menggunakan kesukaran sederhana dan ketua penjahat agak mudah untuk dikalahkan dan bertempur dengan penjahat biasa yang jumlah ramai lebih sukar.

Disertakan juga elemen Quick-Time Event (QTE) namun ia tidak terlalu kerap dan agak mudah untuk berjaya melakukannya. Saya hanya mengalami sedikit kesukaran untuk QTE yang memerlukan menekan satu butang berulang kali kerana masa diberikan agak pendek.

Bentuk permainan untuk permainan ini tidak banyak berbeza dengan permainan dunia terbuka yang lain, bahkan hampir menyerupai siri permainan Batman: Arkham Knight namun keunikan pengembaraan dan pertempuran sebagai seorang Spider-man menjadikan ia sebagai satu permainan yang mempunyai pengalaman yang berlainan.

Selepas menghabiskan penceritaan utama, pemain dapat terus bermain untuk menyelesaikan aktiviti yang masih tidak diselesaikan ataupun sekadar untuk mengembara terdapat juga aktiviti Challenges yang sudah semestinya memerlukan masa yang lama untuk mencapai tahap yang terbaik.

Audio

Bagi muzik latar, permainan ini tidak mempunyai variasi muzik yang banyak dan ia tidak dijadikan sebagai fokus utama sebaliknya sekadar tambahan. Dialog lebih diutamakan dan ia dilakukan dengan sangat baik.

Peter Parker yang disuarakan oleh Yuri Lowenthal mempunyai keunikan tersendiri tetapi pada masa sama mengekalkan suara Spider-man yang sudah menjadi kebiasaan peminat. Selain Peter Parker watak-watak lain seperti Mary Jana dan Aunt May juga dilakukan dengan baik menjadikan persembahan lakonan suara untuk permainan ini sesuatu yang harus dipuji. Ia sudah semestinya dibantu oleh penulisan skrip yang baik.

Rumusan

Akhir kata, Marvel’s Spider-Man adalah satu permainan dunia terbuka adiwira yang sangat baik. Selain mempunyai penceritaan yang menarik melalui Spider-man tetapi juga menyertakan penceritaan berjiwa melalui perhubungan Peter Parker dengan watak-watak yang lain.

Grafik yang diberikan bukanlah sangat memukau akan tetapi ia sudah cukup baik dan foto-realistik. Terutama bagi permainan dunia terbuka yang mempunyai kawasan yang luas dan pelbagai watak berbeza.

Bentuk permainan tidak jauh berbeza dengan permainan dunia terbuka yang lain namun dengan keunikan pengembaraan dan pertempuran sebagai Spider-man menjadikan permainan ini membawa satu pengalaman yang baharu.

Pada pengakhiran permainan saya merasakan kandungan yang disertakan tidak cukup namun ia adalah satu asas yang sangat baik untuk digunakan bagi siri seterusnya.

Penafian: Kod ulasan untuk Marvel’s Spider-man disediakan oleh PlayStation Asia.

Leave a Reply