Pada 23 julai lepas, Sony Interactive Entertainment (SIE) memberi peluang untuk Aksiz mencuba lebih kurang 3 jam pertama permainan Marvel’s Spider-man yang dibangunkan oleh Insomniac Studio dan akan dikeluarkan pada 7 September ini secara eksklusif untuk PlayStation 4.

Melalui penulisan ini saya akan berkongsi pendapat saya mengenai permainan ini akan tetapi disebabkan Marvel’s Spider-Man adalah satu permainan dunia terbuka yang mempunyai pelbagai kandungan sudah semestinya saya tidak dapat memberikan pendapat penuh permainan ini tetapi jika anda tidak sabar ataupun ingin tahu lebih lanjut mengenai permainan ini berikut adalah pandang pertama saya.

Cerita

Di dalam permainan ini, watak Peter Parker bukanlah seorang budak sekolah, sebaliknya beliau sudah berumur 23 tahun dan telah menjadi Spider-man selama 8 tahun. Mengikut Insomniac Games, mereka mengambil keputusan untuk menggunakan Peter Parker yang sudah berpengalaman agar pemain dapat terus bermain Spider-Man yang sudah berkebolehan dan bagi saya ia membantu untuk terus membawa penceritaan tanpa mengulangi mengenai kisah silam.

Peter Parker merupakan seorang saintis yang bekerja di satu makmal yang membina pelbagai barangan robotik. Di makmal tersebut juga beliau secara bersembunyi mencipta dan juga membaiki barangan-barangan untuk digunakan oleh beliau sebagai Spider-man termasuk kostum.

Walaupun penceritaan sudah semestinya memfokuskan watak Spider-man akan tetapi boleh dikatakan permainan ini turut membawa kehidupan peribadi Peter Parker seperti pekerjaan beliau sebagai saintis dan juga hubungan beliau dengan watak lain seperti Mary Jane (pada awal permainan, mereka tidak lagi bersama tetapi bersahabat baik) serta Aunt May. Berdasarkan penceritaan ringkas pada awal permainan dan juga yang diperkatakan oleh Insomniac sendiri, saya boleh katakan permainan ini akan memfokuskan kepada bagaimana dunia Spider-Man dan dunia Peter Parker akan bertembung.

Berdasarkan pemerhatian saya, boleh dikatakan penceritaan akan memfokuskan mengenai Peter Parker ingin membantu ‘dunia’ sebagai seorang saintis berbanding Spider-man dan ini mungkin akan mencetus pelbagai permasalahan.

Disebabkan saya hanya mencuba permainan ini untuk 3 jam pertama sahaja, tidak banyak penceritaan yang diperlihatkan. Meskipun begitu, berdasarkan penceritaan yang ada, saya boleh katakan ia berpotensi untuk mempunyai jalan cerita yang menarik dan akan menjadi teras utama permainan ini.

Grafik dan Visual

Marvel’s Spider-Man adalah permainan dunia terbuka dan bertempat di bandar New York ataupun dengan lebih khusus, kepulauan Manhattan. Rekaan bandar yang mengikut bandar sebenar menjadikan permainan ini mempunyai satu kawasan yang padat dengan bangunan tinggi serta taman-taman yang menarik.

Semasa bermain, saya meluangkan lebih banyak masa berada di atas bangunan dan ia adalah satu pemandangan yang menakjubkan. Manakala semasa tidak berayun dari satu bangunan ke bangunan lain, keadaan di jalan biasa nampak hidup dengan watak-watak lain melakukan perihal mereka sendiri.

Permainan ini mempunyai sokongan resolusi 4k di PS4 Pro dan 1080p di PS4 biasa dan kedua-duanya dikunci kepada 30 paparan sesaat. Disebabkan permainan ini adalah satu permainan yang pantas dan mempunyai banyak pergerakan, tidak mencapai paparan sesaat yang lebih tinggi sedikit mengurangkan tahap kepuasan saya namun ia adalah satu perkara yang kecil yang tidak sangat menjejaskan pengalaman saya.

Ketika bergerak ataupun bertempur, kedudukan kamera boleh diubah secara sendiri tetapi setakat percubaan saya, kedudukan kamera bersesuaian dengan keadaan menjadikan saya boleh memfokuskan kepada pengembaraan atau pertempuran. Menariknya, jika memasuki satu ruangan yang sempit contohnya di dalam kedai kecil, kamera akan berada di luar dan nampak seperti permainan side-scroller yang memberikan sesuatu yang unik untuk permainan ini.

Mungkin disebabkan permainan ini masih di dalam pembangunan (semasa saya mencubanya) akan tetapi sering berlaku tekstur-tekstur yang tidak dimuat dengan sepenuhnya. Ini menjadikan sesetengah bangunan dan juga watak terutama NPC nampak sangat janggal dan merosakkan sedikit pengalaman saya. Walaupun perkara ini adalah satu kebiasaan untuk permainan dunia terbuka tetapi saya berharap ia akan berkurangan apabila permainan ini dikeluarkan nanti.

Untuk adegan-adegan yang ada saya berpendapat ia dilakukan dengan baik tetapi ada beberapa kecacatan seperti ekspresi muka tidak terlalu tepat dan membuatkan adegan tersebut nampak kaku. Saya juga berpendapat rekaan NPC di dalam permainan ini terlalu berulang seperti pakaian dan rupa wajah, ini adalah masalah biasa untuk permainan dunia terbuka tetapi mungkin dapat diperbaiki lagi.

Secara keseluruhan, permainan ini mempunyai kualiti grafik yang baik dan saya sangat teruja untuk lebih mengembara di bandar dan melihat pelbagai bangunan. Namun, saya juga berharap beberapa masalah kecil diperbaiki sebelum permainan ini dikeluarkan kelak.

Bentuk Permainan

Bentuk permainan Marvel’s Spider-man boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu pengembaraan, pertempuran, misi dan elemen RPG. Selain penceritaan, pengembaraan juga akan menjadi perkara utama mengenai permainan ini. Ia disebabkan kerana anda akan menjadi Spider-Man. Kebolehan beliau menggunakan sawang untuk mengembara adalah satu yang sangat menyeronokkan. Pemain boleh menekan butang R2 + X untuk mengembara dengan mudah dan hanya mengawal arah.

Namun keseronokan sebenar adalah mengawal secara manual. Pemain boleh menekan R2 untuk menembak sawang ke sesuatu arah untuk menuju ke arah tersebut, dan boleh menekan X untuk melompat dan L3 untuk menjunam ke bawah. Semasa menjunam ke bawah, pemain boleh terus menekan R2 untuk dengan cepat naik ke atas dan sekaligus menjadikan pergerakan yang lebih pantas. Campuran pelbagai cara untuk Spider-man mengembara sudah semestinya memberikan alasan untuk pemain menghabiskan masa sekadar mengembara tanpa tujuan.

Permainan ini akan disertakan dengan perjalanan pantas, tapi semasa percubaan saya fungsi tersebut masih tidak dibuka ataupun disertakan. Pemain juga dapat mengawal watak Mary Jane. Permainan beliau lebih memfokuskan penyelinapan untuk menyiasat tempat tertentu kerana beliau bekerja sebagai wartawan penyiasatan.

Pertempuran berpotensi untuk menjadi sesuatu yang menarik akan tetapi semasa percubaan awal saya, pertempuran adalah sedikit ringkas dan penjahat-penjahat yang ada tidak sangat mencabar termasuk juga ketua penjahat. Ada beberapa watak yang mempunyai kebolehan tersendiri yang semestinya memerlukan strategi tersendiri untuk menumpaskan mereka. Saya pasti ada pelbagai lagi penjahat yang akan disertakan dan akan membuatkan pertempuran lebih menarik.

Pemain boleh menumbuk dan menggunakan penembak sawang untuk bertempur, pemain juga boleh mengelak dan mempunyai kebebasan untuk bergerak dan melekat di dinding ataupun siling. Terdapat juga pergerakan kombo, semasa percubaan saya kombo yang sering digunakan adalah menumbuk penjahat sehingga dia terlompat ke atas dan terus menumbuk sehingga ‘pengsan’ sebelum kembali mendarat.

Pelbagai kombo boleh di-nyah kunci sepanjang permainan yang menjadikan pertempuran lebih menarik. Jika penjahat terlalu ramai dan kesemua keadaan cemas anda boleh menggunakan sistem gerak perlahan untuk merancang pergerakan anda. Sepanjang tiga jam saya bermain hanya ada satu pertempuran melawan ketua penjahat, dan pertempuran tersebut terlalu ringkas dan memerlukan pemain untuk mengulangi kombinasi yang sama bagi mengalahkan ketua tersebut.

Semasa pertempuran Focus bar akan terkumpul dan apabila ia penuh pemain boleh melakukan Finisher yang akan terus menumpaskan seorang penjahat. Focus juga boleh digunakan untuk menambah nyawa yang berkurangnya jika dipukul.

Mungkin ramai yang mengatakan pertempuran permainan ini adalah seakan Batman: Arkham Knight, walaupun ada perasaan yang sama tetapi saya berpendapat pertempuran di dalam permainan ini mempunyai lebih kebebasan untuk bergerak dan menggunakan kawasan yang lebih luas.

Satu perkara yang boleh dikatakan seperti permainan Batman adalah Spider-man mempunyai pilihan untuk menumpaskan kesemua penjahat dengan menyelinap dan menyerang penjahat tanpa dikesan. Dengan Spider-man yang boleh bergerak dengan pantas dan mempunyai gajet yang bersesuaian, saya boleh jangkakan semasa permainan penuh nanti saya akan meluangkan lebih banyak masa menyelinap berbanding bertempur secara terus.

Berdasarkan percubaan saya, pengembaraan dan pertempuran agak senang untuk difahami dan agak mudah untuk pemain terus memahami pergerakan asas. Manakala ia juga mempunyai kepelbagaian dah kedalaman tersendiri yang akan memerlukan lebih ketelitian untuk pemain menjadi mahir.

Seperti permainan dunia terbuka yang lain, Marvel’s Spider-man juga mempunyai misi utama dan misi sampingan. Pada awal permainan, misi utama lebih memfokuskan kepada pengenalan untuk permainan termasuk pengenalan untuk misi sampingan. Misi utama yang ada sudah semestinya digabungkan dengan adegan-adegan penceritaan. Misi utama untuk 3 jam pertama membawa permainan untuk menyerbu tempat penjahat dan melawan penjahat-penjahat yang ada sehingga bertempur dengan ketua penjahat.

Untuk misi sampingan, saya diperkenalkan dengan beberapa aktiviti yang akan memenuhi peta permainan ini. Aktiviti-aktiviti kebanyakan adalah collectible dan ada juga yang melibatkan tekaria. Aktiviti biasa dalam permainan dunia terbuka iaitu membuka peta sesuatu kawasan juga terdapat di dalam permainan ini. Ia akan memerlukan anda membetulkan rangkaian sistem perhubungan Polis. Dengan membetulkan sistem untuk sesuatu kawasan, ia akan membuka peta kawasan tersebut dan juga mengeluarkan lokasi-lokasi untuk misi sampingan yang lain.

Aktiviti sampingan seterusnya adalah mencari beg yang disorok di serata bandar. Saya tidak pasti jika lokasi beg itu akan diperlihatkan di peta selepas membetulkan sistem rangkaian tetapi pada awal permainan, lokasi diperlihatkan dan cuma perlu menuju ke lokasi tersebut. Apabila menjumpai beg tersebut pemain akan diberikan sejarah mengenai beg tersebut yang menceritakan pengalaman Spider-man sebelum ini dan juga Backpack Token yang saya akan terangkan penggunaan selepas ini.

Untuk menggalakkan pengembaraan terdapat juga aktiviti mengambil gambar untuk lokasi-lokasi menarik. Pemain hanya perlu menuju ke tempat tersebut dan mengambil gambar. Dengan melakukannya pemain akan mendapat Landmark Token. Untuk aktiviti yang melibatkan pertempuran, terdapat beberapa kubu yang boleh ditawan dengan menumpaskan kesemua penjahat-penjahat yang terdapat di kubu tersebut. Penjahat akan bertambah secara berperingkat. Selepas berjaya menawan pemain akan mendapat Base Token.

Turut disertakan adalah jenayah akan berlaku di sekitar bandar, dengan menumpaskan penjahat-penjahat tersebut pemain akan mendapat Crime Token. Selain itu ada pelbagai cabaran yang pemain boleh selesaikan dengan melakukan aktiviti tertentu. Contohnya, pemain perlu menjunam untuk satu durasi tertentu selepas menyelesaikan cabaran tersebut, pemain akan mendapat Challenge Token.

Seterusnya adalah elemen RPG yang terdapat di dalam permainan ini. Terdapat dua bahagian yang pemain boleh meningkatkan tahap untuk menjadikan Spider-man lebih hebat iaitu kostum, gajet dan set pergerakan.

Pemain boleh menyah-kunci kostum-kostum yang terdapat di dalam permainan ini dengan menggunakan token yang diperoleh dengan menyelesaikan aktiviti-aktiviti sampingan dan barangan yang diperoleh melalui misi utama. Ada kostum yang contohnya memerlukan 2 Base Token dan 1 Landmark Token. Setiap kostum juga boleh dipasang 3 mod berbeza untuk meningkatkan lagi keupayaan Spider-man. Mod-mod tersebut juga perlu dinyah-kunci menggunakan token.

Selain itu token juga boleh digunakan untuk menyah-kunci gajet dan untuk meningkatkan tahap gajet tersebut. Setakat percubaan saya, hanya ada satu gajet yang boleh digunakan iaitu untuk menembak sawang yang boleh terus menahan penjahat ke dinding.

Manakala set pergerakan boleh ditebus menggunakan skill point yang pemain peroleh apabila meningkat tahap. Setiap kali pemain melakukan misi utama atau sampingan, ataupun bertempur pemain akan mendapat pengalaman. Apabila mencapai pengalaman tertentu tahap akan meningkat yang akan memberikan pemain skill point.

Terdapat tiga kategori untuk set pergerakan iaitu Innovator, Defender dan Webslinger. Innovator memfokuskan kepada penggunaan gajet, Defender untuk bertahan dan Webslinger lebih memfokuskan pergerakan. Melalui tiga kategori berlainan ini anda boleh mempunyai Spider-man mengikut pilihan anda, sekurang-kurangnya untuk peringkat awal permainan.

Bentuk permainan yang disediakan agak menarik terutama pengembaraan. Pertempuran pada awal agak ringkas akan tetapi dengan kombinasi pelbagai gajet dan kombo sudah semestinya akan menjadi lebih menarik. Dari segi aktiviti yang disediakan, ia masih awal permainan tetapi saya sedikit risau yang ia akan menjadi seperti kebanyakan permainan-permainan dunia terbuka yang lain iaitu aktiviti yang terlalu berulang dan menjadi bosan selepas sudah lama dimainkan.

Rumusan

Marvel’s Spider-man berdasarkan pandang pertama saya mempunyai potensi untuk menjadi permainan dunia terbuka yang akan menyertakan penceritaan yang menarik dan akan menjadi perkara utama dan bukan sekadar sampingan.

Untuk permainan dunia terbuka, permainan ini mempunyai grafik dan visual yang cukup baik tidak kira untuk adegan ataupun semasa tengah bermain. Namun, ada pelbagai masalah kelancaran dan tekstur lambat untuk dimuat semasa percubaan saya. Masalah tersebut mungkin akan diperbetulkan apabila permainan ini dikeluarkan secara rasmi.

Menjadi Spider-man merupakan penarik utama untuk permainan ini. Disebabkan itu pengembaraan menjadi sangat menyeronokkan ini ditambah lagi dengan pertempuran yang walaupun mudah untuk difahami tetapi memerlukan ketelitian untuk sepenuhnya mahir.

Aktiviti-aktiviti yang ada adalah seperti mana permainan dunia terbuka yang lain, walaupun mempunyai penceritaan di sebalik aktiviti tersebut akan tetapi ada kemungkinan pemain akan merasakan ia sekadar untuk mengisi dan tidak menambah nilai untuk permainan secara keseluruhan.

Akhir kata, Marvel Spider-man mungkin satu permainan yang baik tetapi mempunyai masalah pengisian yang berulang seperti permainan dunia terbuka yang lain.

Sohor Kini