Skip to main content

Pada acara Playstation Experience (PSX) SEA 2018 lepas, saya berpeluang untuk mencuba salah satu permainan realiti-maya bagi Playstation VR iaitu Astro Bot Rescue Mission, yang mana ianya adalah salah satu permainan realiti-maya yang diumumkan buat Playstation 4 sebelum ini.

Namun, bagi anda yang baru dengan watak Astro Bot, ianya merupakan robot kecil yang asalnya diperkenalkan buat permainan percuma The Playroom buat Playstation 4 sebelum ini.

Kini, Astro Bot tersebut mempunyai permainannya tersendiri dimana pemain berupaya untuk mengembara bersama-sama Astro Bot dan membantu segala cabaran dan halangan yang tiba buatnya. Melalui demo permainan yang tersedia, saya berupaya untuk memainkan sebahagian permainan tersebut dimana ianya sedikit sebanyak merupakan permainan platformer berbentuk realiti-maya.

Secara asasnya, apa yang perlu saya lakukan adalah mengawal Astro Bot tersebut, dan membantunya untuk menyelesaikan sebilangan tekaria permainan bersama-sama menewaskan musuh dan sebagainya. Dari segi bentuk permainan, Astro Bot Rescue Mission tidaklah mempunyai sebarang bentuk permainan yang unik.

Dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4, saya berupaya untuk melompat, mengambil barangan dan membaling bersama-sama menewaskan musuh dengan memukulnya.

Namun, apa yang buat permainan ini menarik adalah bentuk realiti-mayanya. Melaluinya, anda akan mengawal secara bentuk pandangan ketiga, sekaligus ianya memberi satu pengalaman yang menarik dimana anda mempunyai kebebasan untuk melihat segala persekitaran peringkat permainan tersebut secara bebas.

Dengan bentuk sedemikian juga, saya juga mempunyai kebebasan untuk mencari kawasan-kawasan tersembunyi dan juga mencari barangan-barangan yang terlindung untuk menyelesaikan sesuatu tekaria permainan tersebut. Bagi anda yang mencintai permainan realiti-maya, sudah pastinya permainan ini mempunyai konsep yang hampir sama seperti Moss dan Wayward Sky.

Namun, ianya juga terhad setakat itu sahaja dimana kebanyakkan bentuk permainannya hanyalah dengan menyelesaikan tekaria dan melompat untuk mengelak ataupun mencari jalan untuk peringkat seterusnya. Selain itu, pemain juga perlu mengumpul Astro Bot yang lain dimana mereka terpisah dengan Astro Bot yang pemain kawalkan.

Namun pada pendapat kami ketika bermain demo permainan tersebut, ianya hanyalah sebuah permainan platformer dalam bentuk realiti-maya. Walaupun begitu, ianya semenangnya agak menyeronokkan dengan bentuk permainan yang ringkas. Pastinya ia juga merupakan permainan yang sesuai untuk kanak-kanak ataupun buat mereka yang ingin bermain permainan yang ringan tanpa sebarang naratif atau bentuk permainan yang kompleks.

Seperti laporan kami sebelum ini, permainan ini akan mempunyai 26 jumlah peringkat permainan dan sepanjang sesi permainan, pemain juga akan menyah-kunci pelbagai gajet-gajet baru permainan dimana pemain boleh gunakannya melalui alat kawalan Dualshock 4.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permainan Astro Bot: Rescue Mission, ianya kini boleh dipra-tempah melalui laman rasmi Playstation Store dengan harga RM149 dan ianya bakal tiba secara esklusif di Playstation 4 pada 3 Oktober ini.

[info] Pra-Tempah: Astro Bot: Rescue Mission [/info]

Leave a Reply