Assassin’s Creed Baharu Tidak Akan Dikeluarkan Pada Tahun 2019

Siri permainan Assassin’s Creed dikeluarkan secara tahunan sehinggalah bercuti setahun selepas pelancaran Syndicate pada tahun 2015. Masa yang lebih lama diambil untuk menghasilkan Origins tahun lalu bagi memastikan penambahbaikan pada permainan Assassin’s Creed dapat dilakukan dan hasilnya ialah Origins yang menerima sambutan amat baik dari pemain dan pengulas.

Pada Oktober tahun ini Odyssey akan dilancarkan dan ini membawa kepada persoalan adalah siri Assassin’s Creed akan kembali kepada pengeluaran secara tahunan. Di acara Gamescon yang sedang berlangsung, Yves Guillemot yang merupakan ketua pegawai eksekutif Ubisoft mengesahkan tiada permainan Assassin’s Creed akan dikeluarkan pada tahun 2019. Sebaliknya hanya DLC untuk Odyssey akan diberikan bagi menyokong pemain yang menyokong permainan ini.

Odyssey adalah unik dan hadir setahun selepas Origins kerana kebetulan kedua-dua permainan dibangunkan serentak di dua studio berbeza milik Ubisoft. Sebagai peminat siri ini, kami menyukai penghasilan setiap dua tahun sekali kerana ia membolehkan kami berehat dari dunia Assassin’s Creed selama setahun sebelum kembali semula tanpa terasa bosan.

Sohor Kini