Tampaknya, selain daripada perolehan Koch Media, THQ Nordic kali ini memperoleh pula studio pembangun permainan HandyGames yang mana mereka terkenal dengan permainan-permainan mudah-alih (Permua), Clouds & Sheep dan permainan realiti-maya.
Melalui perolehan ini, THQ Nordic akan memiliki kesemua hak intelek studio pembangun tersebut, namun dari segi pembangun, lokasi dan sebagainya ianya tidak akan berubah menurut laporan GameIndustry.Biz.
Menurut pengarah pengurusan THQ Nordic, Klemens Kreuzer menyatakan bahawa perolehan ini merupakan satu tindakan pihak mereka untuk memfokuskan pembangunan permainan berskala kecil dan sederhana dimana studio HandyGames akan menjadi pasukan yang bertanggungjawab untuk projek tersebut.
Selain itu, mereka juga berharap dengan hasil perolehan studio HandyGames, THQ Nordic mungkin akan memasuki arena pembangunan permainan realiti-maya dan juga permua pada masa akan datang.
Tampaknya THQ Nordic semakin meluaskan tapak mereka dengan pelbagai perolehan yang dilakukan oleh mereka. Memandangkan THQ Nordic tidak berada di E3 2018 Jun lepas, mereka mungkin akan mengumumkan pelbagai permainan pada acara Gamescom 2018 yang bakal berlangsung Ogos ini.